Institut Penyelidikan Kuwait Mahu Jalin Kerjasama Dengan UKM

Khamis, 09 Februari 2012 00:00
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Izzaz bin Mohamed Pelatih Industri UiTM


BANGI, 9 Feb. 2012 – Institut Penyelidikan Saintifik Kuwait (KISR) berminat menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam tiga bidang khusus melibatkan air dan tenaga.


Pengarah Besar KISR Dr Naji Mohammed Al-Mutairi yang melawat dan meninjau pelbagai kemudahan dan hasil penyelidikan saintis UKM di Taman Inovasi Teknologi Tenaga Hijau di kampus UKM di sini hari ini, berkata mereka amat berminat dengan sistem penyejukan dan penggunaan tenaga keterbaharuan teknologi sulingan air.


Dr Naji mendapati sistem penyejukan terutama untuk rumah amat sesuai untuk digunakan di Kuwait. Beliau kini adalah dalam rangka melawat Malaysia selama tiga hari bersama dua rakannya,
Dr Salah Al-Mazidi dan Dr Hamad Al-Hasawi.


Mereka diberikan taklimat oleh Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian dan kumpulan saintis UKM.


Dr Naji juga berhasrat untuk mengetahui peranan dan fungsi organisasi penyelidikan sains dan teknologi dan melihat peluang-peluang kerjasama saintifik di antara KISR dengan organisasi seumpamanya di negara ini.


Beliau amat tertarik dengan kemudahan dan hasil penyelidikan di UKM dan berharap akan dapat menggariskan bentuk kerjasama di antara kedua pihak.


Dr Naji dilantik Pengarah Besar KISR pada 2007 dan telah melancarkan projek transformasi 20 tahun bagi menjadikan institut itu sebuah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Cemerlang.

Di samping menubuhkan pusat dan kemudahan penyelidikan, beliau juga merancang memperbanyakkan jumlah kaum penyelidik di Kuwait.