ARAS 2

Koleksi Am

Koleksi ini mengandungi buku-buku dalam bidang bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu termasuk bahan-bahan Melayu-Polinesia seperti Melayu Surinam, Sri Lanka, Afrika Selatan, Australia Barat dan Taiwan.


ARAS 3

Koleksi Rujukan

Koleksi ini mengandungi bahan-bahan rujukan am seperti kamus, ensiklopedia, direktori, bibliografi, indeks, abstrak dan buku panduan.  Bahan-bahan dalam koleksi ini mempunyai awalan Ruj pada nombor panggilan buku.

 

Koleksi Terbitan Bersiri

Koleksi terbitan bersiri (jurnal kini dan kebelakangan) ini mempunyai awalan Siri pada nombor panggilan.  Bahan-bahannya hanya untuk rujukan di dalam Perpustakaan sahaja.

Koleksi Media

Koleksi ini mengandungi bahan pelbagai bentuk seperti slaid, kaset audio, kaset video, mikrofilem, mikrofis, CD-ROM dan Multimedia.  Kemudian peralatan untuk membaca bahan tersebut ada disediakan.

Koleksi Khas

Koleksi ini merupakan koleksi istimewa Perpustakaan ATMA yang menempatkan bahan-bahan mengenai rumpun Melayu dari seluruh Nusantara dan dunia Melayu-Polinesia, ini termasuk Koleksi Melayu Sri Lanka, Afrika Selatan, Koleksi Bahasa Melayu Surinam dan Koleksi Buku-Buku Sastera Sunda. Antara koleksi-koleksi yang termasuk dalam koleksi ini ialah:

1. Koleksi Nadir

Koleksi buku nadir merupakan koleksi yang mengumpulkan bahan habis cetak, buku bernilai tinggi   serta bahan yang diterbitkan sebelum tahun 1950. Terdapat lebih kurang 5,000 naskhah buku nadir yang berkaitan dengan pengajian alam dan tamadun Melayu.  Koleksi yang sebahagian besarnya terdiri daripada bahan-bahan dalam Bahasa Belanda merupakan bahan penyelidikan yang amat penting tentang sejarah dan diskripsi bahasa Melayu dan masyarakat penggunanya pada abad ke-16.

2. Koleksi N.A Halim

Koleksi yang diwariskan oleh Allahyarham Encik Abdul Halim Nasir pada tahun 1992 ini sangat kaya dengan maklumat tentang bentuk senibina Melayu tradisi.  Ia terdiri daripada 1417 judul buku dan karya-karya lain, 7736 keping gambar, 7983 keping slaid, 300 keping pelan dan 150 keping peta dan merupakan satu sumber rujukan yang sangat penting kepada pelajar, pensyarah, penulis dan pengkaji-pengkaji senibina Melayu. 

3. Koleksi Wiramanja

Koleksi peribadi Encik Abdul Rahman bin Ahmad Hanafiah (Wiramanja) yang diwariskan kepada Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu  mengandungi 573 keping cakera padat dan piring hitam album lagu-lagu ( sebahagian besarnya lagu-lagu Melayu), 300 naskhah buku, peta video, kaset rakaman, dan karya peribadi seperti antologi puisi dan skrip drama yang sebahagiannya telah diterbitkan oleh RTM.  Koleksi ini merupakan sumber rujukan yang tinggi nilainya kepada pengkaji-pengkaji muzik melayu.

4. Koleksi Saad Shukri

Koleksi ini mengandungi 44 naskhah bahan karya taipskrip Saad Shukri Hj. Muda yang terdiri daripada daftar ejaan, istilah, ungkapan, ensiklopedia dan kamus tentang bahasa Melayu, politik, kesenian dan adat istiadat Melayu.

5. Koleksi Sastera Sunda

Koleksi “Sastera Sunda” dalam Perpustakaan ATMA ialah buku-buku novel picisan dalam Bahasa Sunda terbitan tahun-tahun 1969-1975.  Koleksi yang berjumlah 275 judul (2,367 naskhah) ini merupakan bahan dalam Bahasa Sunda yang terbesar ‘di perantauan’ menjadikan ianya amat bernilai, justru ditempatkan di bahagian Koleksi Khas PATMA dan hanya boleh dirujuk dalam Perpustakaan sahaja.

Senarai Koleksi Sastera Sunda ini disediakan sebagai meneruskan usaha berterusan Perpustakaan ATMA dalam menyediakan sumber-sumber rujukan tentang alam dan tamadun Melayu.  Buku-buku dalam koleksi ini telah pernah didaftarkan dalam Katalog Koleksi Melayu, 1990, bersama karya-karya dalam bahasa-bahasa daerah Indonesia lain,  di bawah tajuk Sastera Daerah Indonesia.  Memandangkan pengguna sentiasa memerlukan maklumat yang tepat dan cepat, Perpustakaan telah menyusun semula judul-judul berkenaan dan dikeluarkan dalam senarai ini yang bersifat lebih khusus.

Susunan

Buku-buku dalam senarai ini disusun secara berabjad mengikut nama pengarang/judul buku.  Pada hujung setiap tajuk diberikan nombor eksesyen buku (contoh : 0800027255).  Pengguna perlu mencatat nombor berkenaan untuk mendapatkan bahan yang diperlukan.  Terjemahan setiap tajuk juga disediakan untuk kemudahan pengguna.

Keratan Akhbar

Perpustakaan menyimpan koleksi keratan akhbar mengenai MELAYU daripada Berita Harian dan Utusan Malaysia sejak tahun 1986.  Keratan akhbar berjilid ditempatkan bersama koleksi terbitan bersiri dan keratan akhbar dalam bentuk mikrofilem ditempatkan bersama koleksi media yang lain.  Indeks keratan akhbar boleh dirujuk melalui Koleksi Digital.