|
Latar belakang Perpustakaan
Perpustakaan Alam & Tamadun Melayu (PATMA) merupakan sebuah
perpustakaan penyelidikan yang mengkhusus dalam bidang pengajian alam dan
tamadun Melayu iaitu suatu bidang yang menjadi penyumbang utama terhadap
Pengajian Asia Tenggara. Ditubuhkan pada tahun 1982, PATMA bertempat di Aras
2 dan Aras 3, Bangunan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Matlamat utama perpustakaan ini ditubuhkan ialah untuk membantu usaha
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dalam mengumpul, memperkaya serta
mendokumentasikan bahan yang berkaitan dengan alam dan tamadun Melayu. Kini
setelah usianya lebih satu dekad, PATMA bertekad untuk menjadi sebuah
perpustakaan penyelidikan yang mapan dan terkehadapan.
Bermula dengan koleksinya berjumlah kira-kira 5,000 naskhah kini telah
mencapai lebih 47,000 naskhah termasuk koleksi am, jurnal dan koleksi nadir.
Selain dari itu, koleksi bahan di PATMA juga merangkumi bahan mikro, koleksi
khas iaitu Koleksi N.A. Halim yang berjumlah lebih 18,000 bahan dan Koleksi
Rumpun Melayu-Polinesia.
Perpustakaan menyediakan kemudahan ruang bacaan dan rujukan serta ruang
membaca akhbar harian. Kemudahan reprografi turut disediakan untuk kemudahan
pelanggan. Perkhidmatan pinjaman, pemulangan dan pencarian maklumat
dilakukan secara berkomputer. Perkhidmatan Pinjaman Antara Perpustakaan juga
ditawarkan kepada ahli akademik dan pelajar pasca siswazah. PATMA kini
mempunyai ahli seramai lebih 2,000 orang yang terdiri dari pensyarah,
sarjana, pegawai dan pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia.
Orang awam dan penyelidik luar dibenarkan menjadi ahli dengan bayaran
tertentu.
|