1ukm  
Journal of the Social Sciences and Humanities  
line decor
 
line decor

 
 
 

 

 

PANDUAN KEPADA PENYUMBANG

SKOP

Akademika ialah sebuah jurnal berwasit yang komited kepada perkembangan ilmu pengetahuan dengan menggalakkan perbincangan mengenai pelbagai cabang sains kemasyarakatan dan kemanusiaan. Jurnal ini menerbitkan artikel, ulasan buku, dan nota penyelidikan yang menarik minat para sarjana, terutama dari segi kandungan dan pendekatannya.

Akademika diterbitkan oleh sebuah Lembaga Editorial yang bebas, terdiri daripada ahli-ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain itu, para sarjana terkenal daripada universiti-universiti dalam dan luar negara pula dilantik untuk menganggotai Lembaga Penasihat jurnal ini.

PROSEDUR PENYERAHAN MANUSKRIP

Akademika menerbitkan manuskrip yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, manuskrip dalam Bahasa Inggeris juga diterima.

Manuskrip yang diserahkan untuk diterbitkan dalam jurnal ini hendaklah merupakan karya asli yang belum pernah diterbitkan atau tidak dihantar untuk pertimbangan oleh mana-mana penerbitan lain.

Dua salinan manuskrip, ditaip selang dua baris di atas kertas saiz A4, hendaklah diserahkan kepada Ketua Editor, Akademika, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Para penulis yang manuskripnya telah diterima untuk penerbitan dikehendaki menghantar sesalinan manuskrip akhir yang telah disunting beserta dengan salinan fail dalam disket 3.5". Satu nota ringkas biografi penulis perlu disertakan bersama-sama dengan manuskrip. Semasa manuskrip masih dalam pertimbangan Lembaga Editorial, para penulis bertanggungjawab menghubungi editor untuk memaklumkan tentang sebarang perubahan alamat.

FORMAT DAN GAYA

Tajuk sesebuah manuskrip perlulah ringkas, deskriptif, dan seharusnya tidak melebihi 15 perkataan. Setiap manuskrip harus mempunyai abstrak (150 hingga 250 perkataan) dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang memerihalkan isi-isi utamanya. Pihak editor akan memberikan bantuan kepada penulis yang tidak dapat menyediakan abstrak dalam Bahasa Melayu. Abstrak harus diiringi dengan 5 kata kunci (dipisahkan dengan koma) berkaitan dengan kandungan manuskrip bagi tujuan sistem pengesanan komputerr.

Semua ilustrasi termasuk rajah, carta dan graf, mesti dilabel dan disediakan dalam halaman yang berasingan daripada teks. Kedudukan ilustrasi seperti yang dikehendaki dalam teks hendaklah ditanda dengan jelas. Semua ilustrasi ini harus dirujuk dan dinomborkan secara berturutan sebagai rajah. Semua ilustrasi hendaklah sama ada dilukis dengan jelas menggunakan dakwat kekal, difotograf-kan dalam bentuk hitam putih atau warna dan dicetak di atas kertas yang bermutu, atau dalam bentuk imej digital, dan disediakan dalam bentuk camera-ready.

Rujukan dalam teks hendaklah menggunakan sistem nama penulis dan diikuti oleh tahun penerbitan yang diletakkan dalam kurungan. Satu senarai rujukan yang disusun mengikut abjad hendaklah dimasukkan di bahagian akhir sesebuah manuskrip. Para penulis bertanggungjawab memastikan ketepatan dan kesempurnaan maklumat dalam senarai rujukan. Semua manuskrip mesti mengikut garis panduan rujukan Penulisan Rencana Ilmiah Penerbit, Universiti Kebangsaan Malaysia. Gaya rujukan yang digunakan haruslah konsisten di semua bahagian manuskrip. Nota kaki dan lampiran hanya digunakan apabila ianya sangat-sangat diperlukan. Nota kaki hendaklah ditaip di bahagian margin bawah sesuatu halaman dan ditanda dengan jelas dalam teks.

HAKCIPTA

Para penulis bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan manuskrip mereka tidak melanggar mana-mana hakcipta yang sedia ada. Penulis juga membayar gantirugi kepada para editor dan penerbit ke atas sebarang pelanggaran terhadap hakcipta. Para penulis seharusnya mendapatkan keizinan untuk menerbitkan semula atau mengubahsuai bahan-bahan yang mempunyai hakcipta, dan menunjukkan bukti keizinan tersebut semasa menyerahkan naskah akhir manuskrip.

PROSES PEWASITAN

Sesebuah manuskrip akan dinilai dan diwasitkan oleh Lembaga Editorial dan sekurang--kurangnya seorang wasit bebas. Keputusan tentang penerbitan sesebuah manuskrip didasarkan kepada saranan ahli-ahli lembaga ini. Sesebuah manuskrip akan dinilai berasaskan kesesuainnya dengan Akademika, sumbangan kepada disiplin ilmu, kejituan analisis, keluasan konsepsual, persembahan yang jelas, dan kesempurnaan teknikal. Bagi memastikan sesebuah manuskrip dinilai semata-mata berdasarkan meritnya, identiti penulis semasa proses pewasitan tidak didedahkan kepada wasit. Nama penuh dan afiliasi semua penulis manuskrip hendaklah dinyatakan pada halaman depan yang dibuat secara berasingan dengan manuskrip. Manuskrip yang diserahkan oleh mana-mana anggota Lembaga Editorial juga tertakluk kepada prosedur pewasitan yang sama.

NASKAH SEMAKAN, OFF-PRINTS DAN ALAMAT

Satu set pruf akan dihantar kepada penulis bagi tujuan penyemakan kesilapan percetakan. Adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk memaklumkan sebarang pembetulan kepada Lembaga Editorial. Para penulis akan dibekalkan dengan 20 off-prints manuskrip sebaik sahaja ia diterbitkan beserta dengan satu naskah jurnal yang mengandungi manuskrip berkenaan. Sila nyatakan alamat semua penulis manuskrip (termasuk nombor telefon, faks dan e-mail) bagi tujuan surat menyurat.