| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Kesusasteraan | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
.
.. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan.  ISBN 967-942-334-4. RM35.00 (kl) ISBN 967-942-333-6 (kk). RM45.00.  Ishak Haji Muhammad 

Selepas Putera Gunung Tahan (1938), banyak lagi karya Ishak Haji Muhammad muncul dalam berbagai-bagai genre - pantun, syair, sajak, cerpen, rencana dan novel. Beliau juga penulis pojok yang tajam dan keras. Beliau memilih untuk mengabdikan hidup dan matinya kepada pena dan kertas. Setelah meninggalkan segala kesenangan sebagai pegawai kerajaan beliau bergiat dalam politik tetapi menjadi kaya dengan beraneka pengalaman sebagai wartawan dan penulis. Liku-liku hidupnya sebagai majistret kelas tiga di Kuala Lumpur, sebagai wartawan dan penulis dipaparkan dalam memoir ini. Sebagai nasionalis dan pejuang kebangsaan, beliau akrab kepada rakyat. marhaen sama ada dalam karyanya mahupun dalam kehidupan seharian. Inilah yang mengekalkan dirinya sebagai pejuang rakyat meskipun setelah meninggalkan politik. 


Teks pengenalan buku di acara Pelancaran Memoir Pak Sako di Temerloh, Pahang Darul Makmur pada 9 November 1996 
 

Pak Sako Sebagai Pencinta Alam Yang Sejati* 
oleh 
Sulong Mohamad

Pak Sako ialah tokoh besar dalam sejarah tanah air kita. Beliau sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi, kecuali kepada generasi yang baru. Telah banyak yang ditulis tentangnya. Sesetengahnya ialah kajian ilmiah untuk meraih ijazah pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Sebahagian lagi tulisan dihasilkan oleh penulis yang juga besar, seperti Pak A. Samad Ismail, Prof. Khoo Kay Kim, Usman Awang, Prof. Ismail Hussein, Dr. Rajakumar, Ahmad Boestamam, Shahrom Mohd Dom dan Abdul Latiff Abu Bakar. 

Kajian mengenai kemerdekaan tanah air dan perkembangan kesusasteraan Melayu tidak lengkap tanpa mengaitkan nama Ishak Hj. Muhammad. Hasil daripada kajian dan tulisan yang terhimpun sekian banyak itu, maka lahirlah pelbagai pandangan dan gelaran yang diberikan kepada Pak Sako, antaranya Pak Sako sebagai gergasi sastera Melayu, Pak Sako sebagai sasterawan yang tidak pandang kesenangan, Pak Sako sebagai sasterawan yang berani dan tajam, Pak Sako sebagai wartawan pemula dan pembawa pembaharuan, Pak Sako sebagai wartawan contoh, Pak Sako sebagai wartawan yang kritis, Pak Sako sebagai nasionalis rakyat, Pak Sako sebagai wartawan yang kritis, Pak Sako sebagai nasionalis rakyat, Pak Sako sebagai pejuang politik yang prihatin terhadap suara hati masyarakat desa dan golongan marhein dan Pak Sako sebagai intelektual rakyat. Sebagai seorang tokoh masyarakat yang namanya dikenali ramai pada zamannya, terdapat juga suara sinis yang Pak Sako seorang romantis lagi kuat merajuk. Itu adalah sebahagian penilaian orang terhadap Pak Sako. 

Oleh kerana pelbagai aspek telah ditulis tentang tokoh besar kelahiran Tanah Temerloh ini - daripada sejarah hidupnya sampailah kepada perjuangannya dalam politik dan persuratan - maka amatlah sukar bagi saya mencari suatu dimensi mengenai tokoh ini yang belum lagi disentuh secara serius. Walau bagaimanapun, bukunya yang terbaru, Memoir Pak Sako - Putera Gunung Tahan, yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada 1996 memberi kesempatan kepada saya untuk menyelit satu lagi lembaran dalam sejarah hidupnya. Sebenarnya, memoirnya itu ialah kumpulan tulisan Pak Sako tentang riwayat hidupnya sendiri yang disiarkan dalam Utusan Melayu pada tahun 1970-an. Setelah membaca memoirnya setebal 256 halaman dan dihiasi dengan 20 gambar itu, saya mendapati Pak Sako bukan sahaja seorang pejuang kemerdekaan, ahli politik, wartawan dan pemikir tetapi juga seorang pecinta alam yang sejati. Dimensi inilah tentang peribadi Pak Sako yang akan saya bicarakan pada kali ini. Persoalan alam sekitar memang dekat dengan saya sebagai seorang ahli geografi dan perancang bandar dan wilayah. 


Rencana ini diubah suai daripada teks ucapan memperkenalkan buku Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan pada 9 November 1996 di Temerloh, Pahang. 

Di bahagian awal memoirnya, Pak Sako membicarakan kehidupan kampung, khususnya kampung kelahirannya, yang indah lagi permai. Pak Sako membicarakan kampungnya yang dikelilingi dengan pokok getah dan kebun buah-buahan, hutan yang tebal dan hijau dan haiwan yang berkeliaran. Beliau memperkatakan air sungai yang jernih, dalamnya dasar Sungai Pahang yang membolehkan kapal besar mudik sehingga ke Jerantut bagi mengangkut hasil keluaran penduduk kampung, banyaknya ikan yang menjadi sumber makanan penghuni kampung dan banjir besar yang melanda bumi kelahirannya. 

Sungai Pahang yang mengalir melalui daerah Temerloh sangat besar ertinya kepada Pak Sako. Sebahagian besar waktu ketika beliau masih kanak-kanak dihabiskan di sungai ini. Di dalam sungai inilah beliau berendam ketika hendak disunatkan, disinilah beliau belajar berenang dan di sungai ini jugalah beliau mengenali kaum Hawa. Sungai ini dan kehidupan kampung banyak menyediakan asas kehidupan kepadanya. Jadi, tidak hairanlah kalau kehidupannya sewaktu kecil di kampung kelahirannya dilukis dengan indah sekali dan penuh nostalgia. 

Sikapnya terhadap kehidupan bandar amat jelas. Beliau tidak gemar dengan gaya hidup bandar yang merosakkan bukan sahaja dari segi akhlak dan nilai tetapi juga terhadap alam sekitar. Beliau lebih gemar dengan kehidupan desa yang murni dan mesra terhadap alam sekeliling. Lantas, beliau mencemuh corak pembangunan yang dibawa ke tanah airnya yang indah dan mewah ini kerana pembangunan telah banyak memudaratkan alam sekitar. Beliau kesal dengan kemusnahan tersebut bukan sahaja kerana beliau tidak lagi dapat menikmati alam sekitar sebagaimana sewaktu zaman kanak-kanaknya tetapi juga sedih kerana generasi sekarang tidak lagi berpeluang mengalami dan menikmati alam yang pernah beliau lalui. 

Membandingkan alam sekitar pada zaman kanak-kanaknya dengan dekad tujuh puluhan, beliau mendapati Sungai Pahang sudah menjadi cetek dan tidak lagi boleh dilalui oleh kapal besar. Airnya berubah menjadi keruh dan banyak spesis ikan yang telah pupus. Masyarakat desa tidak lagi boleh bergantung kepada sungai sebagai sumber kehidupan. 

Kemusnahan alam sekitar yang Pak Sako bicarakan dalam memoirnya, khususnya dari Bab 1 ke Bab II, memoirnya bukan sahaja berlaku di Sungai Pahang tetapi juga terjadi di Great Lakes di Benua Amerika Utara. Kerana pembangunan perindustrian yang pesat di sana, Great Lakes musnah dan penghuni di sekitar tasik besar itu mengalami kemerosotan pendapatan; malah ada yang hilang mata pencarian. Tetapi di Kanada dan Amerika Syarikat, dua negara pasca-perindustrian yang maju, penduduknya tidak berdiam diri. Menyedari kemusnahan yang berlaku, mereka bertindak dan mendesak bagi memulihkan Great Lakes kepada keadaan asal. Di Malaysia, kita hanya bersuara tanpa diiringi dengan suatu tindakan yang tersusun. Sejak 1970-an, ekoran pembangunan yang pesat, kita mendengar suara lantang daripada beberapa orang environmentalis seperti Gurmit Singh, Sham Sani dan beberapa individu lain di menara gading. Malangnya, kita tidak sedar bahawa Pak Sako adalah salah seorang daripada mereka. Dengan mengenangkan zaman silam dan kehidupan desa, Pak Sako sebenarnya bukanlah seorang romantis. Dengan caranya yang tersendiri, beliau menunjukkan sikapnya yang mesra lagi prihatin terhadap warisan semula jadi dan cuba meningkatkan kesedaran alam sekitar. Pada tahun 1950-an, Pak Sako mengambil keputusan untuk meninggalkan Utusan Melayu yang diasasnya bersama Rahim Kajai. Ada penulis mengatakan beliau bertindak demikian kerana pergeseran dalaman. Tetapi Pak Sako memberi sebab lain. Beliau berhenti daripada bertugas di harian itu kerana terkenang kampung halaman, mahu menghidu udara segar dan mahu melihat pokok yang hijau serta air sungai yang mengalir. Senarai sebab tersebut, walaupun mungkin helah beliau untuk menutup perkara yang bersifat peribadi, membayangkan betapa rapatnya hubungan beliau dengan kehidupan kampung dan alam sekeliling. 

Pak Sako bukan sahaja bersuara tentang alam sekitar tetapi juga mengamal nilai-nilai yang mesra terhadap warisan semula jadi dalam kehidupannya. Mesranya beliau terhadap alam sekitar dan kehidupan kampung, antara lain, dapat dilihat daripada mudahnya dia menerima cadangan Tentera Jepun ketika kependudukan Jepun pada tahun 1940-an dulu untuk menambahkan bekalan makanan. Beliau bersama-sama orang lain meninggalkan Singapura menuju ke Pulau Bentan bagi memulakan kehidupan baru sebagai petani. Tetapi hasratnya gagal. Beliau jatuh sakit kerana diserang malaria. Akhirnya beliau diselamatkan oleh sahabat-sahabatnya dengan membawanya keluar dari Bentan. Hal ini diperkatakan oleh Pak Samad Ismail dalam kata pendahuluan yang mengiringi memoirnya. 

Ketika bertugas semula di Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, beliau menolak gaya hidup bandar. Sebaliknya, beliau mencari suatu tapak di Hulu Langat untuk dijadikan kampung halamannya. Di sini dia dan keluarganya tinggal sambil berkebun. Gaya hidupnya sangat sederhana. Rumahnya tidak mempamirkan kemewahan kebendaan moden, tetapi dilengkapi dengan kemudahan asas yang diperlukan sahaja. Beliau tidak memiliki kenderaan, apatah lagi kereta mewah seperti kebanyakan orang yang telah mencapai kedudukan istimewa dalam masyarakat. Beliau berulang-alik dari rumah kediamannya di Hulu Langat ke pejabatnya di Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan awam. Sepanjang hayatnya, hanya dalam tempoh yang singkat beliau memiliki sebuah kereta jenis Fiat yang dibelinya di Temerloh ketika dia ditukarkan di Rembau. Dalam memoirnya, Pak Sako mengatakan beliau membeli kereta, yang kini dianggap oleh kebanyakan orang sebagai keperluan hidup dan simbol status, bukan kerana beliau berkehendakkannya tetapi kerana terpedaya dengan kepintaran jurujual. Sayangnya, tidak ada maklumat yang tercatat dalam memoirnya tentang tempoh lama beliau memiliki kenderaan itu. Pada tekaan saya, itulah satu-satunya kereta yang beliau pernah miliki. Menurut Pak A. Samad Ismail, Pak Sako tidak pernah memandu sepanjang hayatnya. Kereta Fiat yang beliau miliki itu dipandu oleh pemandunya. Dengan menolak gaya hidup mewah dan memilih untuk menggunakan kenderaan awam, walaupun beliau mempunyai pilihan lain, secara sedar atau tidak sedar, Pak Sako menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar. 

Dengan menyediakan keperluan yang asas sahaja bagi memenuhi kehidupannya dan keluarganya, beliau mencampak jauh comsumerism dan throw-away cultural yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat kini. Sebaliknya, gaya hidupnya yang amat sederhana itu membuktikan bahawa beliau memiliki gaya hidup "balik kepada kehidupan asal. 

Sejak tahun 1970-an, dia Amerika Syarikat dan beberapa negara maju yang lain, setelah sedar akan kemusnahan warisan semulajadi yang teruk akibat perbuatan manusia sendiri, maka muncullah segolongan manusia yang memilih kehidupan backtonature, dengan membina kediaman di desa yang permai. Kehidupan mereka sederhana dan mereka memiliki harta yang diperlukan sahaja. Walaupun golongan ini, sebenarnya, mampu menjalani gaya hidup mewah yang membazir. Di negara kita, akhir-akhirnya, juga telah ada sebilangan insan yang memilih gaya sedemikian. Tetapi di serata dunia, bilangan mereka masih kecil, seperti antah dalam beras. Pak Sako, nampaknya, mendahului golongan baru ini yang belum lagi melahirkan suatu trend. Maka kerana itu, Pak Sako dan golonan yang memilih gaya hidup kembali kepada kehidupan asal masih mewakili utopia. Seseorang insan tidak boleh bertindak sendiri-sendirian bagi meningkatkan kesejahteraan alam sekitar. Tindakan menyeluruh yang disertai oleh sebahagian besar masyarakat amat perlu bagi tujuan yang mulia ini. 

Tokoh besar yang saya bicarakan pada kali ini, Pak Sako rupa-rupanya bukan sahaja seorang nasionalis, perjuang, ahli politik, sasterawan, wartawan dan pemikir, tetapi juga seorang pencinta kehidupan asal dan alam sekitar. Beliau tidak setakat mengungkapkan rasa hatinya yang amat rapat lagi prihatin terhadap warisan semula jadi tetapi juga mengamal dengan setia nilai hidup yang mesra dengan alam sekitar. Memoirnya, walaupun tidka terperinci, merakamkan aspek ini tentang peribadinya. Sayangnya dimensi ini terselindung daripada perhatian karyawan yang menulis tentangnya.