| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Ansos | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
.
..

Siri IKMAS/  
Malaysia and 
International 
Studies Series

Negara-bangsa: Proses dan Perbahasan.  ISBN 967-942-510-X. 148 hlm. RM15.00. ABDUL RAHMAN EMBONG

Persoalan negara-bangsa dan bangsa Malaysia menarik perhatian pelbagai pihak, lebih-lebih lagi setelah Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad mengemukakannya pada 1991. Ada yang memberikan sambutan positif pada gagasan itu dan tidak kurang juga yang melihatnya secara negatif. Dari segi konseptual, ada yang menganalisis ‘bangsa Malaysia’ secara legalistis dengan menghubungkannya dengan konsep ‘warganegara’, manakala ada yang melihatnya sebagai ‘ras’. Negara-bangsa: Proses dan Perbahasan cuba menyumbangkan terhadap wacana mengenai negara-bangsa dengan memberi tumpuan kepada pelbagai isu berkaitan proses pembinaan bangsa Malaysia. Dengan mendefinisikan bangsa atau nation sebagai satu komuniti politik yang terbentuk dalam sejarah yang dipertautkan melalui perkongsian wilayah bersama, ekonomi bersama, budaya dan bahasa bersama serta perasaan sebangsa dan nama kolektif bersama, buku ini menegaskan bahawa kita perlu membezakan bangsa dengan ras dan juga dengan warganegara. Sambil menunjukkan perbezaan pengalaman pembinaan negara-bangsa di Eropah dengan di Malaysia, buku ini melihat pembinaan bangsa dari segi sejarah dan juga masa kini dengan mengambil kira kesinambungan dan perubahan yang berlaku. Berdasarkan pengalaman sejarah di alam Melayu dan perkembangan bangsa Melayu, kesenjangan antara bangsa cita dengan bangsa yang lahir dalam politik sebenar ditonjolkan. Selain membincangkan persoalan-persoalan di atas, perbincangannya berkisar pada proses pembinaan negara-bangsa dan bangsa Malaysia dalam era globalisasi dan menganjurkan perlunya nasionalisme ditakrifkan semula.

ABDUL RAHMAN EMBONG, Ph. D., Profesor Madya dan Felo Penyelidik Kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia, Ketua Editor Akademika, jurnal sains kemasyarakatan dan kemanusiaan UKM, dan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia. Buku terbaru suntingan beliau yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia ialah Negara, Pasaran dan Pemodenan Malaysia (2000) dan Southeast Asia into the Twenty First Century: Crisis and Beyond (2000) (bersama Juergen Rudolph).



011200