..
Siri
Memoir |
Memoir
Kalam Hamidi. 2001. ISBN 967-942-556-8.
RM25.00. Kalam Hamidi
Siapa yang
menyenangi Kalam Hamidi? Tokoh drama dan teater ini berbadan gempal, besar
dan pendek. Matanya bulat. Bicaranya tegas bercampur sinis. Suaranya meninggi.
Panas baran selalu mengekorinya ke sesi latihan teater. Tidak ramai yang
betah berlakon di bawah arahannya. Apa lagi bersahabat dengannya. Kalam
sendiri, dalam memoirnya ini mengakui: egonya tinggi. Di sebalik watak
garangnya ini, Kalam menunjuk ajar ramai pemuda pemudi yang mahu berjinak
dengan drama dan seni lakon. Kalam juga seorang pendendam. Suatu hari beliau
dirotan oleh guru pondok di Sungai Udang hanya kerana beliau mengepalai
beberapa murid sekolah itu bermain bola. Hukuman bagi kesilapan itu, kepada
Kalam adalah keterlaluan. Beliau angkat kaki dan pulang ke kampung. Peristiwa
tersebut berbekas di hatinya dan masih diingati apabila terserempak dengan
guru tersebut bertahun-tahun kemudian sewaktu menunaikan fardhu haji di
Mekah. Di bahagian lain memoir ini Kalam menceritakan bagaimana beliau
membelasah seorang teman yang melarikan manuskripnya. Kalam sempat menyulam
memoir ini dengan kisah cinta pertamanya dengan Masmerah, gadis Brunei.
Kisah cinta dua darjat ini mendapat halangan keluarga si gadis. Kekasihnya
dikahwinkan dengan teruna yang setaraf tetapi berakhir dengan kematian
setelah bekas kekasihnya itu disahkan menghidap barah otak. Kalam membawa
diri pulang ke Singapura. Hatinya berbunga kembali setelah menemui Sa’diah,
seorang gadis yang masih menuntut yang akhirnya dipilih menjadi teman hidup
sehingga sekarang. Kisah kegigihan dan keperitan hidup anak seni yang tidak
mengharapkan keuntungan ini juga memperlihatkan kekuatan watak Kalam mengharungi
kehidupannya sebagai peniaga gerai makanan. Demikianlah Kalam mementaskan
kembali beberapa babak daripada drama kehidupannya sendiri sejak mula menghendap-hendap
di dinding Victoria Hall di Singapura sehinggalah diberi peluang mementaskan
Nyiur Gading Puncak Mahligai di Istana Budaya, Kuala Lumpur. |