| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
...

Pembangunan Modal Insan: Isu dan Cabaran. 2008. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-840-7 (kulit lembut). RM30.00. 218 hlm. Yahaya Ibrahim & Abd. Hair Awang (sunt.).

Teori dan bukti empirik lampau tentang sumbangan pelaburan pendidikan dan latihan dalam pembangunan modal insan kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi dilihat selari dengan hasrat mencapai status negara maju menjelang 2020. Modal insan adalah suatu elemen penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Pelaburan dalam pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan di Malaysia adalah sangat penting dalam menyediakan masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran. Kejayaan masa hadapan negara sangat bergantung kepada kualiti modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga keperibadian. Justeru, modal insan menjadi peneraju utama membentuk sebuah negara yang maju serta seimbang pembangunan ekonomi dan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Langkah yang lebih agresif dan berkesan dalam pelaburan di sektor pendidikan modal insan dan pelaburan bagi modal fizikal dijangka dapat meningkatkan daya serap teknologi agar terus mengukuhkan daya saing negara dalam pasaran antarabangsa. Buku ini secara khusus memaparkan pelbagai isu dan cabaran dalam pembangunan modal insan yang perlu ditangani dalam proses perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negara. Liputan isu dan cabaran yang dipilih melibatkan sektor awam, swasta, masyarakat dan individu pada peringkat lokal dan global. Buku ini juga membincangkan tentang peranan modal insan yang berkualiti dalam memberikan sumbangan yang diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi mempertingkatkan produktiviti ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang.

YAHAYA IBRAHIM, Ph. D., adalah Profesor Madya di Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Fokus penyelidikan beliau adalah pembangunan komuniti dan pelancongan. ABD. HAIR AWANG Ph. D., adalah Pensyarah Kanan di pusat yang sama. Perancangan dan pembangunan insan serta komuniti desa adalah menjadi fokus penyelidikan beliau. 


310308