..
|
Kritikan Sastera Melayu:
Antara cerita dengan Ilmu. 2007. Penerbit UKM: Bangi. ISBN
978-967-942-851-3 (kulit lembut). 88 hlm. RM20.00. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.
Dua tradisi
besar yang memainkan peranan penting dalam kegiatan penulisan di rantau ini
ialah Islam dan Barat. Sementara tradisi persuratan Melayu-Islam dengan jelas
menjadikan ‘ilmu’ sebagai tunggak pekerjaan kalam, unsur ‘ilmu’
atau ‘didaktisisme’ tidak pula diperuntukkan kedudukan yang sama dalam
tradisi Barat, dan konsep ‘ilmu’ itu sendiri diberi tafsiran yang tertentu
menurut cita rasa semusim. Pemahaman tersebut bertambah kukuh apabila
gandingan novel dan realisme, yang diperikan sebagai warisan Barat kurun ke-19
yang utuh itu, semakin meluas pengaruhnya. Secara khususnya ialah pegangan
yang mengutamakan cerita sebagai dasar asas atau tulang belakang sesebuah
naratif. Berhadapan dengan dua tradisi besar untuk dipilih dan dimanfaatkan,
karya kreatif Melayu lebih sendeng kepada tradisi sastera Barat, sama ada
daripada segi konseptual mahupun segi praktiknya. Seterusnya, selaku pengiring
setia karya kreatif, tulisan kritikan mengikut rentak karya kreatif dan turut
mengutamakan cerita. Rata-rata kritikan berlegar di tahap cerita, sementara
urusan utama kritikan pula ditumpukan kepada perkara yang berkait dengan
cerita dan mekanisme membikin cerita. Tinjauan perkembangan tulisan kritikan
sastera Melayu jelas menunjukkan keutamaan cerita ini ditubi dan perkukuhkan
pada pelbagai tahap, iaitu daripada segi perungkaian teks, penilaiannya
hinggalah kepada cara menulis kritikan itu sendiri. Penerapan teori,
pendekatan, kaedah, kerangka yang pelbagai, sama ada yang datang daripada luar
atau yang dijana oleh orang tempatan, tidak memperlihatkan perbezaan yang
signifikan, dan kritikan tetap menatang cerita dan tertumpu pada cerita dan
mekanisme membikin-cerita. Kritikan sendeng-cerita ini yang terus mendominasi
landskap sastera Melayu, tergugah apabila munculnya gagasan Persuratan Baru,
yang menjadi anjakan radikal apabila keutamaan ‘cerita’ itu dicabar dan
digantikan dengan ‘ilmu’ sebagai dasar utama kegiatan penulisan bagi karya
kreatif dan juga tulisan kritikan. Dengan membezakan ‘cerita’ dan ‘ilmu,
Persuratan Baru mempertikaikan beberapa konsep utama yang diterima pakai,
khususnya konsep yang terpenting, iaitu cerita adalah ilmu. Dengan
mengembalikan ilmu, berbanding cerita, sebagai asas pekerjaan kalam,
Persuratan Baru mendefinisikan semula peranan tulisan kreatif dan kritikan
agar dapat berhadapan dengan masyarakat pembaca tidak lagi sebagai cerita
khayalan semata, tetapi sebagai sumber ilmu yang sah dan berwibawa, yang boleh
dimanfaat dengan yakin. Sesuai dengan hasrat untuk membina masyarakat yang
berilmu dan bertamadun, adalah diharapkan semoga perbincangan ini dapat
menggalakkan renungan semula yang serius dan kritis terhadap kerya kreatif dan
kritikan sastera dewasa ini, dan ilmu sebagai tunggak pekerjaan kalam
dimahkotakan semula dalam dunia penulisan Melayu. |