| Menu Utama | Buku & Monograf | Buku Terbaru | Indeks Pengarang |
.
Mengenali Kanser: Langkah Pertama Pembasmian. 2008. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 978-967-942-853-7 (kulit lembut). 68 hlm. RM20.00. A Rahman A Jamal.
Kanser adalah penyebab utama kematian di kebanyakan negara maju dan penyebab keempat kematian di Malaysia. Setiap tahun lebih 10 juta kes baru dikenal pasti di seluruh dunia dengan anggaran kematian sebanyak 5 juta setahun. Anggaran di Malaysia adalah sebanyak 40,000 kes baru setiap tahun. Kanser terhasil akibat perubahan genetik ke atas sel induk yang normal sehingga menyebabkan pembahagian sel menjadi tidak terkawal. Tiga kumpulan utama gen terlibat secara langsung, iaitu gen penggalak kanser, gen penindas kanser dan gen pembaikan DNA. RB1 dan p53 adalah dua gen penindas kanser yang amat penting dalam mengawal kitaran sel. Kebanyakan atau hampir kesemua kanser mempunyai perubahan yang melibatkan dua gen ini. Sekurang-kurangnya dua perubahan genetik diperlukan untuk pembentukan sel kanser. Dalam beberapa jenis kanser, mutasi gen yang menyebabkan kanser tersebut diturunkan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya. Kanser juga terjadi akibat interaksi gen, persekitaran dan gaya hidup. Mereka yang merokok mempunyai risiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis kanser, sementara mereka yang terdedah kepada benzin mempunyai kecenderungan untuk mendapat leukemia. Indeks jisim tubuh yang tinggi, pengambilan lemak dan daging merah yang tinggi serta pengambilan serat yang rendah kesemuanya memberikan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser. Kanser boleh disembuhkan sekiranya dikesan pada peringkat awal, ataupun yang dapat dirawat dengan berkesan dan sempurna. Kadar penyembuhan pesakit kanser di Amerika Syarikat kini mencecah 65% tapi kadar penyembuhan adalah lebih rendah di negara kurang membangun kerana kekurangan kepakaran dan kos rawatan yang tinggi. Masyarakat awam harus berwaspada dengan penggunaan rawatan pelengkap dan alternatif kerana kebanyakan atau semua rawatan yang ditawarkan adalah tidak berasaskan bukti. Antara bidang utama penyelidikan kanser masa kini adalah penemuan tanda biologik yang lebih sensitif dan spesifik untuk pengesanan awal kanser melalui kaedah genomik dan proteomik. Di negara kita, projek The Malaysian Cohort yang disokong oleh kabinet sedang dilaksanakan dan akan membangunkan sumber yang tidak ternilai untuk penyelidikan kanser. Penyelidikan melibatkan penyaringan dan penemuan ubatan serta rawatan baru dan terhala juga diperlukan bagi memastikan kadar respons yang optima. Teknologi ‘omik’ termasuk genomik, transkriptomik, proteomik dan metabolomik kini digunakan untuk mendapatkan profil terperinci dan ciri yang unik bagi setiap kanser bagi tujuan klasifikasi, prognostikasi serta dalam penemuan ubatan baru. Pembasmian kanser adalah tidak mustahil dan merupakan azam yang realistik. Ia memerlukan penglibatan, komitmen dan kerjasama dari semua pihak. Pembasmian kanser akan berjaya sekiranya kita dapat mengesan dan menyaring kanser pada peringkat awal, memberikan rawatan yang berkesan kepada semua pesakit, dan mencegah serta mengelak risiko kanser yang diketahui melalui amalan gaya hidup sihat termasuk pengambilan pemakanan yang seimbang, mengamalkan aktiviti fizikal secara berkala, dan tidak merokok. Pendidikan awam dan sebaran am tentang kanser perlu dipertingkatkan bagi memastikan semua individu mengenali kanser. Ayuh kita sama-sama basmi kanser di Malaysia menjelang tahun 2025!
280108