Abstrak
Sektor industri, khasnya sektor perkilangan, memainkan peranan yang
penting dalam ekonomi Malaysia. Tiap-tiap firma di dalamnya saling berkait
rapat antara satu dengan yang lain untuk membentuk satu sistem bagi menggalakkan
pengeluaran input asas dan menggunakannya untuk mengeluarkan output. Bagaimanapun
mentransformasikan input kepada output bukanlah satu proses yang mudah.
Ia melibatkan pelbagai kekangan. Dari sudut penawaran, kedapatan sumber-sumber
input dan jenis teknologi yang digunakan akan menentukan jumlah keluaran.
Dari sudut permintaan pula jangkauan dan keadaan pasaran akan menentukan
penggunaan output. Di Malaysia, dari sudut penawaran, pertumbuhan output
berkait rapat dengan pergerakan bahan mentah, buruh dan faktor-faktor lain.
Kajian ini bertujuan untuk menilai kesan perubahan dalam struktur dan perubahan
dalam tingkat serta komposisi permintaan akhir terhadap input perantaraan,
buruh dan keperluan modal dalam beberapa industri di Malaysia untuk tempoh
1978-87 dengan menggunakan kerangka input-output. Walaupun kedua-dua pemboleh
ubah ini boleh berubah serentak, percubaan akan dibuat untuk memisahkan
antara satu kesan dengan kesan yang lain. Keputusan kajian ini menunjukkan
bahawa perubahan teknologi dalam penggunaan input perantaraan adalah neutral,
berkesan dalam penggunaan buruh, dan agressif dalam penggunaan modal. Dalam
masa yang sama, perubahan dalam tingkat dan komposisi permintaan akhir
telah memberi kesan yang signifikan terhadap penggunaan input yang digunakan.