Cabaran Globalisasi: Strategi Ekonomi Upah Tinggi. ZULKIFLY OSMAN
& MOHD AZLAN SHAH ZAIDI. Jurnal Ekonomi Malaysia 36 2002
Abstrak
Dalam model ekonomi upah tinggi, upah tidak harus dianggap sebagai faktor
kos semata-mata. Sebaliknya, ia juga harus dianggap sebagai faktor pendapatan
kepada pekerja. Ini membawa maksud bahawa jika upah tinggi, keselesaan hidup
pekerja akan meningkat dan ia boleh menyumbang kepada peningkatan daya usaha
dan seterusnya produktiviti pekerja. Fenomena ini sekali gus dapat meningkatkan
keuntungan majikan. Namun persoalannya ialah adakah upah yang menyebabkan
produktiviti meningkat atau kerana produktiviti tinggi maka upah tinggi.
Dengan menggunakan ujian penyebab Granger (1969) dan ujian penyebab versi
Toda dan Yamamoto (1995), rencana kajian dibuat untuk melihat hubungan timbal
balik antara kedua-dua pembolehubah-pembolehubah berkenaan. Hasilnya didapati
bahawa kemungkinan kewujudan fenomena ekonomi upah tinggi amat sukar untuk
ditolak. Ertinya, kenaikan upah akan disusuli dengan peningkatan produktiviti.
Ini merupakan petanda baik bagi Malaysia dari segi strategi dalam menghadapi
saingan pasaran global akibat hakisan kelebihan kos buruh murah.
Kata kunci: Upah, produktiviti, buruh, arah penyebab