Ulasan Buku/Book Review
Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam oleh Siti Zalikhah Md. Nor. Kuala Lumpur: Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam. Cetakan Kedua. 1996. 129 hlm.  Islamiyyat 20

Buku ini pada dasarnya ditujukan kepada umat Islam Malaysia khususnya untuk mereka memahami apakah landasan dasar dalam pembentukan institusi perkahwinan selaras dengan jalur-jalur yang sudah tersedia di dalam Islam. Keterikatan di dalam perkahwinan adalah menjadi kunci di dalam perkem-bangan ummah selaras dengan ungkapan-ungkapan yang digembar-gemborkan pada dewasa ini iaitu ‘Rumahku syurgaku’.
Pengarang telah membahagikan penulisan beliau kepada sebelas bab. Pembahagian-pembahagian bab ini dapat membantu khalayak untuk memahami setiap isu yang ingin dibahaskan. Daripada judul-judul bab yang diberi, kita dapat merumuskan bahawa pengarang ingin merealisasikan sesebuah perkah-winan yang ideal seharusnya berlandaskan ciri-ciri keislaman. Segala kemelut dan keruwetan di dalam rumah tangga dilihat berpunca dari ketidakfahaman yang berkaitan dengan peranan yang harus dimainkan oleh setiap individu yang berkaitan sama ada si menantu, anak, kedua orang tua di dalam sesebuah rumah tangga. Hubungan di antara individu di dalam sesebuah rumah tangga turut disentuh oleh pengarang sebagaimana yang tertulis pada halaman 8 yang memaparkan perhubungan secara vertikal dan horizontal.
Pengarang memberatkan kepada prinsip-prinsip perkahwinan ideal dari perspektif Islam yang saya kira sudah diketahui umum seperti paparan yang diberikan pada bab satu mengenai tujuan perkahwinan iaitu ‘perkahwinan ada-lah untuk memenuhi fitrah emosi manusia seperti mendapat ketenangan jiwa dan kasih sayang’ sebagaimana yang diungkapkan di dalam al-Qur’an, surah al-Rum 30:21. Tujuan-tujuan perkahwinan menurut syarak turut dihuraikan lagi di halaman 26 dengan meletakkan lima perkara seperti – sebagai suatu cara penghalalan hubungan di antara lelaki dan perempuan, suatu sistem yang diiktiraf, suatu bentuk agihan tanggungjawab, memperkembangkan muhibbah dan sebagai benteng pertahanan moral. Pengarang tidak memperincikan setiap satu tujuan ini secara lebih jitu. Mungkin pengarang hanya ingin memaparkan landasan sebenar yang dituntut oleh Islam.
Selain itu pengarang juga turut membincangkan ketidak keberkesanan konsep kekeluargaan sebagaimana yang disarankan oleh Islam (halaman 10). Pada pandangan saya bahagian ini pengarang sebaiknya memperluaskan secara lebih terperinci faktor-faktor ketidakberkesanan ini dan tidak hanya menulis seperti: … kursus-kursus perkahwinan harus diberi perhatian di samping mengemaskini kursus berkenaan. Sejauh ini sememangnya amat banyak kursus perkahwinan diadakan tetapi kesannya seperti perceraian, penderaan di dalam keluarga masih terus berlaku. Di sini kita persoalkan di mana silapnya? Adakah peserta kursus atau jentera kursus yang dikendalikan itu kurang keber-kesanannya atau kurang impaknya. Teknik mengemaskini sebaiknya disentuh dengan memberi saranan-saranan yang jitu. Hal ini dapat disamakan dengan ungkapan “Jagalah kebersihan supaya sihat!”, tetapi tidak dihuraikan apakah langkah-langkah yang harus diambil berdasarkan umur, jantina dan lingkungan.
Untuk meneliti kelangsungan perkahwinan secara ideal menurut wadah yang ditetapkan Islam pengarang telah meneruskan penulisan dengan me-maparkan ketepatan pemilihan calon menantu sama ada yang perempuan atau lelaki berdasarkan sifat-sifat yang dianjurkan oleh syarak (halaman 27).
Pengarang telah memaparkan ciri khusus sejak institusi perkahwinan ini bermula dengan menampilkan cara pemilihan pasangan yang dikaitkan dengan sistem lamaran. Di sini pengarang hanya menyentuh kepada satu pihak sahaja iaitu lelaki meminang wanita. Saya dapati tidak disentuh kalau wanita yang meminang lelaki sebagaimana yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah kepada Nabi besar Muhammad (s.a.w.). Mungkin ini jarang berlaku tetapi saya kira suatu kewajaran untuk disentuh dan dilihat pula dari perspektif Islam. Lebih-lebih lagi dari senario budaya Melayu yang berpegang kepada prinsip ‘perigi tidak akan mencari timba dan lesung tidak akan mencari alu’. Dengan ketetapan yang sedemikian dapat menghindarkan diri dari terjerumus ke dalam gejala kumpul kebo (sekedudukan) dan perkara seperti ini amat sering dilukiskan di dalam pantun Melayu:

ke teluk sudah ke Siam sudah
Mekah saja saya yang belum
kupeluk sudah kucium sudah
hanya nikah lagi yang belum.

Jika setiap individu memahami prinsip perkahwinan yang sebenarnya sebagaimana yang ditulis oleh pengarang pastinya segala keruwetan dapat dihindarkan. Namun apa yang saya dapati pengarang lebih banyak menyentuh dari segi prinsip kerana pengarang tidak memaparkan fakta-fakta yang sebenarnya wujud di dalam lingkaran masyarakat kita hari ini sebagai bahan bukti dan bahan perbandingan. Akan lebih menarik jika pengarang dapat mem-berikan contoh dan fakta dari temuan lapangan seperti gambaran putus tunang yang dipaparkan dalam bab 4. Bila saya melihat contoh nama-nama seperti Adnan dengan Anisah, Johari dengan Juliana dan Nina dengan Nordin saya terus terkenang kepada nama-nama watak di dalam cerpen-cerpen Ahmad Lutfi, Ahmad Kotot di awal-awal 1950-an yang amat kerap menggandingkan nama-nama tokoh yang mempunyai persamaan aksara awal seperti Shamsuddin dengan Shamsiah, Jamil dengan Jamilah. Pengarang mungkin mempunyai justifikasi tersendiri, namun sebagai khalayak pada waktu ini saya kira mereka lebih tertarik kepada contoh-contoh yang realistik dan tidak fiksyen.
Walaupun demikian keharmonian sesebuah rumah tangga dapat juga dilihat dari perspektif budaya sesuatu bangsa yang menekankan peranan sang suami dan isteri. Pada umumnya di dalam budaya Melayu yang berteraskan Islam sememangnya mempunyai landasan keharmonian bahawa setiap individu harus ada kesesuaian kedudukan dan peranannya di dalam sesebuah rumah tangga seperti ungkapan ini “Yang tua dituakan dan yang muda dimudakan”. Konsep seperti ini wujud di dalam masyarakat Melayu. Sungguhpun keidealan sistem kekeluargaan dalam Islam amat indah namun dari segi realitinya amat banyak timbul gejala negatif. Di sini pengarang telah membeberkan sebab dan punca selain memberi contoh bagaimana mengatasi masalah ini di samping me-maparkan cara-cara menerajui sesebuah keluarga dengan memaparkan bentuk pengurusan sesebuah rumah tangga (halaman 55-62).
Pengurusan yang dipaparkan amat menarik seperti pengurusan masa, pengurusan tanggungjawab individu, pengurusan tugas harian di kalangan keluarga, tugas berasingan, tugas bersama dan pengurusan kewangan. Pengarang telah memberikan suatu keseimbangan peranan di dalam keluarga seperti apakah peranan yang seharusnya dilakukan oleh sang suami dan sang isteri sebagaimana yang dipaparkan pada halaman 58 dan 59. Namun demikian pengarang sebaiknya menyedari bahawa kedudukan wanita masa kini bukan sekadar teman belakang yang mendorong kejayaan suami tetapi adalah teman sampingan yang berperanan sama berat dengan lelaki. Gambarannya amat ideal tetapi masyarakat yang dipaparkan oleh pengarang adalah golongan per-tengahan dan bagaimana pula pada golongan bawahan yang menjadikan pangan sebagai matlamat kehidupan? Ambil sahaja contoh keluarga nelayan, petani atau peniaga yang pengurusan waktunya amat berbeza dengan golongan yang dipaparkan oleh pengarang. Mereka tidak akan punya waktu untuk beriadah kerana kerja-kerja yang dilakukan sudah cukup melelahkan.
Pengarang terus memaparkan keretakan di dalam rumah tangga dengan memaparkan punca-punca utama yang menimbulkan ketegangan (halaman 86). Beliau juga telah memberikan langkah-langkah bagaimana untuk mengatasinya dengan memaparkan suatu judul ‘Mekanisma Pengurusan Krisis’. Di sini juga pengarang telah menghuraikan mekanisma ini dari segi prinsipnya dan fakta realiti yang berlaku tidak diberikan dan mungkin pengarang mempunyai sebab-sebab tertentu berbuat demikian.
Bila pergeseran timbul pastinya ada jalan keluar dan di sini pengarang telah memaparkan perlunya kaunseling yang berlandaskan Islam dan ciri-ciri ini ditulis pada halaman 114 sehingga ke akhir penulisan. Namun demikian bahagian yang amat memikat ialah yang berkaitan dengan topik ‘Kaunseling menurut perspektif undang-undang keluarga Islam Malaysia’. Saya kira di sinilah pihak mahkamah syariah harus memainkan peranan penting. Pengarang ada menyebutkan sebelum tahun 1980-an lagi kesedaran untuk menempatkan pegawai wanita di pejabat kadi amat diperlukan kerana hanya wanita sahaja yang memahami masalah yang dihadapi wanita. Sungguhpun secara ideal pengarang telah memaparkan beberapa perkara yang berkaitan dengan kaunseling yang sewajarnya (halaman 121) namun saya kira dari segi mereali-sasikannya secara berkesan masih dapat dipertingkatkan terutama dari segi perlaksanaannya. Dewasa ini khidmat kaunseling yang dikendalikan masih belum sampai pada tahap yang membanggakan walaupun pada dasarnya kaunseling perkahwinan amat berkait rapat dengan empat faktor utama seperti kaunselor, kelayan, organisasi dan metod dan etika. Sungguhpun kaunselor Muslim lebih dituntut agar pro aktif dalam menjalankan tugasnya untuk kaun-seling, namun kadangkala terdapat kekangan-kekangan seperti kelayan yang tidak memerlukan pertolongan dan kadangkala adanya sikap yang tidak mahu menjaga tepi kain orang di kalangan kaunselor sendiri. Untuk membantu sese-buah keluarga mencapai keharmonian berumah tangga saya kira banyak faktor yang harus diambil kira.
Sebagai penutupnya saya kira buku ini dapat dijadikan sebagai dasar pengenalan dalam pembentukan sesebuah rumah tangga kerana pengarang amat kerap menggunakan kata-kata seperti mestilah, hendaklah sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Pastinya juga khalayak tidak akan mempersoalkan sama ada benar atau tidak kerana perkara-perkara yang disebut itu adalah dasar yang sudah dimantapkan dan dituntut dalam Islam. Walaupun demikian saya memperkirakan buku ini akan lebih memikat jika bahagian Kaunseling Perkahwinan dalam Islam  (judul bab 11) itu ditulis secara lebih terperinci dan meluas berdasarkan fakta-fakta yang jitu dan semasa dan dengan tidak secara langsung dapatlah dikatakan cocok dengan judul yang diberikan. Jika buku ini, terutama isinya masih ingin dikekalkan seperti yang disajikan ini, ia akan lebih sesuai ditambahkan perkataan ‘pengenalan’ pada judulnya seperti: ‘Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam: Suatu Pengenalan’.

Prof. Madya Dr. Noriah Mohamed
Jabatan Persuratan Melayu
Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi
Selangor Darul Ehsan



211100