Bandaraya Bestari daripada Perspektif Islam. JALALUDDIN ABDUL MALEK. Islamiyyat 18 & 19
Abstrak
Malaysia kini sedang giat membangunkan bandaraya abad ke-21 yang disebut bandaraya bestari. Bandaraya yang berasaskan teknologi maklumat dan telekomunikasi termaju. Dengan terbentuknya kawasan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor – MSC), ia adalah pemangkin kepada pembangunan dan perancangan bandaraya bestari. Sebagai contoh yang jelas, pembangunan bandaraya bestari yang sedang dibangunkan ialah projek bandaraya bestari Pentadbiran Persekutuan Putrajaya dan Bandaraya Cyberjaya yang kedua-dua kawasan ini disebut kawasan bandaraya bestari Megajaya. Secara umumnya perancangan bandaraya bestari Megajaya ini mengambil kira perspektif Islam dalam konsep perancangannya. Ini dapat dilihat kepada doktrin perancangannya iaitu mengambil kira hubungan simbiosis antara manusia degan Penciptanya, antara manusia dengan manusia, dan antara manusia dengan alam sekelilingnya. Walau bagaimanapun, persoalan juga timbul iaitu apakah perancangan bandaraya bestari itu mengikut perspektif Islam sepenuhnya? Jika ‘ya’ perlu dijelaskan, dan jika ‘tidak’ sesuatu cadangan harus dibuat agar konsep perancangan dan perlaksanaan bandaraya bestari ini selari dengan kehendak agama Islam yang menjadi agama rasmi Malaysia. Kertas kerja ini cuba menjelaskan pengertian, saranan, sokongan dan cadangan bagaimana konsep bandaraya bestari boleh dibangunkan menurut perspektif Islam.