Motivasi dan Implikasi Pemasaran Pelancongan ke Pulau Peranginan di Kalangan
Segmen Eksekutif Muda. AHMAD AZMI MOHD. ARIFFIN. Jurnal Pengurusan 18 (1999)
Abstrak
Kajian awal ini cuba mengenalpasti faktor motivasi dwi-dimensi ‘Tolakan-Tarikan’
di kalangan para pelancong golongan eksekutif muda tempatan untuk melancong
ke pulau-pulau peranginan tempatan. Perbandingan antara eksekutif di sektor
kerajaan dan swasta juga dilihat bagi menentukan arah aliran strategi pemasaran
yang sesuai. Kajian ini yang melibatkan responden seramai 160 orang dengan
menggunakan soal selidik sebagai kaedah pengutipan data mendapati faktor
tolakan yang terpenting adalah faktor ‘kerehatan’ diikuti oleh ‘pengetahuan
dan pengalaman’ dan ‘status social dan ego-diri’. Tiga faktor daya tarik
atau tarikan yang terpenting pula adalah ‘persekitaran semulajadi’, ‘keselesaan’
dan ‘kemudahan rekreasi’. Terdapat perbezaan yang agak ketara di antara segmen
eksekutif kerajaan dan swasta. Eksekutif kerajaan lebih mementingkan faktor
‘pengetahuan dan pengalaman’ berbanding eksekutif swasta yang lebih kepada
motif ‘kerehatan’. Begitu juga dengan faktor motivasi tarikan di mana eksekutif
kerajaan lebih menitikberatkan aspek ‘persekitaran semulajadi’ manakala eksekutif
swasta lebih mengutamakan faktor ‘keselesaan’ dalam percutian mereka. Hasil
kajian serta implikasi pemasaran yang dirumuskan dapat membantu pihak pemasar
pelancongan pulau yang ingin mensasarkan perkhidmatan mereka kepada segmen
eksekutif muda. Konsep ‘percutian pasif’ adalah efektif untuk eksekutif swasta
manakala konsep ‘percutian aktif’ pula untuk eksekutif kerajaan.