Kesan Latihan Silang Budaya Terhadap Tanggapan Kawalan dan Sikap Silang
Budaya. JUNE M. L. POON, ROHAYA ABDUL-GHANI & RASIDAH ARSHAD.
Jurnal Pengurusan 19 Julai/July 2000
Abstrak
Kesan interaksi antara kaedah pengajaran dan gaya pembelajaran terhadap hasil
pembelajaran telah ditemui dalam beberapa kajian. Namun, masih kurang jelas
kenapa pembelajaran lebih berkesan apabila kaedah pengajaran sepadan dengan
gaya pembelajaran. Oleh itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti pembolehubah
proses bagi menjelaskan fenomena tersebut. Keberkesanan sesuatu program latihan
silang budaya juga dinilai. Peserta kajian terdiri daripada 123 pelajar MBA
yang dibahagikan menjadi dua kumpulan secara rawak. Peserta dilatih dengan
menggunakan kaedah didaktik dan kaedah pengalaman. Data demografi, gaya pembelajaran,
dan sikap silang budaya dikutip sebelum latihan dijalankan. Ukuran-ukuran
selepas latihan pula ialah sikap silang budaya dan penilaian pelatih mengenai
latihan. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelatih melaporkan sikap silang
budaya yang lebih positif selepas latihan dan kesan pemadanan gaya pembelajaran
dan kaedah latihan terhadap sikap silang budaya dapat diterangkan melalui
persepsi tentang kawalan. Implikasi dapatan-dapatan ini dan cadangan penyelidikan
turut dibincangkan.