Taman Paku-Pakis

                                                            

Projek pembinaan Taman Paku-Pakis ini dimulakan pada 1 Jun 1988, iaitu dari tahap perancangan dan diikuti dengan kerja-kerja dasar.  Majlis perasmian telah diatur bersempena dengan perayaan ke-20 Universiti Kebangsaan Malaysia, pada tahun 1990.  Taman ini telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Canselor pada 18 Mei 1990.  Penubuhan projek ini telah mendapat galakan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Dekan, Fakulti Sains Hayat pada masa itu.

 

 

Tujuan pembinaan Taman Paku-Pakis ialah untuk mengumpul semua tumbuhan paku-pakis yang terdapat di Malaysia bagi mengelakkannya daripada mengalami kepupusan.  Tumbuhan yang ditanam juga digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pengajaran.

                                                                                                      

 

Taman Paku-Pakis ini adalah suatu projek jangka panjang, dan pada masa ini taman ini dibuka kepada masyarakat akademik dan umum.   Taman ini telah menerima ramai pelawat khususnya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi tempatan serta pelawat luar negara.

 

Taman Paku-Pakis Universiti Kebangsaan Malaysia terletak di pinggir Hutan Simpan Bangi, bermula dari bahagian tepi kawasan letak kereta di hadapan bangunan Sains Biologi sehingga ke pinggir tasik berhampiran Bangunan Kimia, dan membatasi kompleks Rumah Haiwan yang melingkungi kawasan seluas kira-kira 20 ekar.

 

 

Di dalam kawasan tersebut terdapat dua batang anak sungai, hutan asal yang terdiri daripada pelbagai spesies tumbuhan tinggi (Shorea, Scaphium, Dillenia, Palaquium dan lain-lain) dan tumbuhan herba dan syrab seperti Eugissona, Macaranga, Oncosperma, Vitex, ficus dan lain-lain.  Pada masa ini terdapat lebih kurang 150 spesies paku-pakis yang telah ditanam di sini.  Spesies yang sukar diperoleh seperti Brainea insignis ditanam di Taman Paku-Pakis UKM.

 

                                               

Taman Paku-Pakis dibahagikan kepada tiga kawasan utama

 

1.  KAWASAN PAKU-PAKIS BERNILAI EKONOMI.

Di sini ditempatkan kesemua spesies tumbuhan paku-pakis yang digunakan sebagai sayuran, bahan pembuatan ubatan tradisional dan pembuatan kraftangan.  Kawasan ini terletak dalam lingkungan Rintis.  Di antara tumbuhan paku-pakis ubatan yang telah ditanam di sini ialah Drynaria sparsisora, Asplenium nidus, Helminthostachys zeylanica, Cibotium barometz dan Schizaea dichotoma.  Sementara paku-pakis sayuran yang ditanam ialah Stenochlaena palustris, Diplazium esculentum, nephrolepis biserrata dan Acrostichum aureum.  Paku-pakis kraftangan terdiri daripada beberapa spesies genus Lygodium; L. circinnatum, L. flexuosum dan L. polystachyum.

 

2.  KAWASAN PAKU-PAKIS TERANCAM DAN LANGKA.

Di kawasan ini ditanam dengan sebanyak mungkin paku-pakis yang kewujudannya terancam di dalam habitat asalnya akibat penerokaan dan pembukaan tanah.  Di samping itu paku-pakis yang berstatus langka juga dikumpulkan di sini demi menjaga kelangsungan hidup spesies-spesies tersebut, andainya habitat asal tergugat.  Kawasan ini meliputi kolam 1, dan kawasan yang dirangkumi oleh Rintis 1, 2, 3 dan 5.  Di antara spesies terancam yang diperkenalkan ialah Platycerium hottumii, Tectaria zeylanica, Osmunda javanica dan Botrychium daucifolium.  Kebanyakan spesies ini dibawa dari Langkawi, Pulau Tioman, Cameron Highlands dan Bukit Fraser.

 

3.  KAWASAN FAMILI PAKU-PAKIS.

Di kawasan ini akan diperkenalkan famili-famili paku-pakis Malaysia dan juga dari luar Malaysia yang diperoleh dari sumber-sumber taman botani luar negeri dan paku-pakis hiasan yang telah diusahakan selama ini di Malaysia.  Kawasan ini meliputi kolam 2 dan kawasan yang dirangkumi oleh Rintis 6.  Di antara famili yang agak lengkap diperkenalkan di Taman Paku-Pakis ialah Adiantaceae, Tectariaceae, Blechnaceae, Angiopteridaceae dan Dicksoniaceae.

 

                                               

PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Taman Paku-Pakis ini telah didaftarkan dan diiktiraf oleh Botanic Gardens Conservation Secretariat, yang berpusat di International Union for Conservation Resources (IUCN) Kew, United Kingdom.  Dengan adanya hubungan dengan IUCN ini, secara langsung Taman Paku-Pakis telah dikenali di peringkat antarabangsa.  Pihak IUCN akan dapat menguruskan pertukaran spora dan germplasma dengan taman-taman Botani lain yang terdapat di seluruh dunia.

 

                                                                                                    

TAMAN PAKU-PAKIS

KEPENTINGAN DAN KEGUNAAN DALAM PEMBELAJARAN

Kepentingan dan kegunaan utama Taman Paku-Pakis ini ialah sebagai suatu tempat perlindungan tumbuhan pteridofit yang terancam atau berkemungkinan besar terancam kelangsungan hidupnya akibat pembangunan pesat.  Kepentingan kedua ialah dari segi pembelajaran dan penyelidikan.  Dengan adanya suatu kawasan tempat kumpulan tumbuhan ini telah tersedia, maka penyelidikan dan pembelajaran terutamanya daripada kalangan penyelidik dan mahasiswa akan lebih mudah dan berkesan.

                                                                                                    

Di antara bidang penyelidikan yang dapat dijalankan di kawasan Taman Paku-Pakis ialah pteridologi, morfologi dan anatomi, ekologi, fitokimia, etnobotani, entomologi, sitogenetik dan klimatologi.  Bagi mahasiswa bidang-bidang tersebut, taman ini merupakan suatu "makmal semula jadi" yang terletak di dalam kawasan kampus dengan segala kemudahan yang tersedia ada