Program Prasiswazah
Program Pengajian PPBSBT peringkat prasiswazah Pusat Pengajian BioSains dan Bioteknologi menawarkan tujuh (7) program pengajian yang membawa kepada penganugerahan ijazah-ijazah sarjanamuda sains dengan kepujian berikut:
Biokimia, Genetik dan Mikrobiologi adalah 3 daripada disiplin asas biosains. Dengan menggunakan ilmu dan pendekatan biologi molekul yang telah berkembang sejak awal lapan puluhan, Tiga disiplin ini telah berkembang dengan pesat sehingga, pada akhir sembilan puluhan, disiplin-disiplin ini juga telah dikenali sebagai disiplin-disiplin biosains molekul. Disiplin-disiplin biosains molekul inilah yang menjadi asas kepada bioteknologi moden.
Program Bioteknologi Tumbuhan adalah satu program yang berteraskan sains tumbuhan yang menggunakan pendekatan biologi sel dan molekul. Program Zoologi pula ialah satu program yang memberi penekanan kepada aspek gunaan sains haiwan. Komponen major dalam program Major-Minor Bioteknologi dengan Pengurusan ialah program yang memberikan asas bioteknologi moden yang berteraskan biologi molekul.
Bionformatik adalah bidang baru berasaskan sains komputer dan teknologi maklumat yang boleh menjana, menyimpan dan menganalisis data seperti jujukan DNA dan struktur protein. Program Bioinformatik ini ialah program kerjasama Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, FST, dengan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat.
Semua 7 program ini dengan tegasnya menerapkan ilmu dan pendekatan biologi molekul. Ini dilakukan melalui penawaran kursus-kursus biologi molekul pada semua peringkat pengajian dalam semua program. Kursus-kursus ini ialah: Asas Biologi Molekul, Genetik Mikrob, Pengekspresan Gen, Teknologi DNA Rekombinan I, Teknologi DNA Rekombinan II dan Biologi Molekul. Kursus-kursus Teknologi DNA rekombinan adalah kursus-kursus amali yang memberi peluang kepada pelajar melakukan sendiri pemencilan, pencirian dan pengklonan DNA. Kemahiran ini adalah kemahiran asas yang diperlukan dalam bioteknologi. Kursus-kursus dikendalikan secara kuliah dan tutorial yang interaktif di samping pendedahan kepada teknik-teknik terkini dalam biosains dan bioteknologi melalui kelas-kelas amali.
Pendedahan kepada Latihan Industri selama 8 minggu di institusi-institusi penyelidikan kerajaan dan swasta adalah diwajibkan untuk mendapat pendedahan persekitaran kerja yang sebenar. Pelajar wajib menjalankan projek penyelidikan dalam bidang tertentu untuk memantapkan pengetahuan dan kepakaran yang diperolehi daripada program pengajian.
Semua program yang dihuraikan secara ringkas di atas membawa kepada penganugerahan ijazah kepujian. Dengan itu, bagi mengikuti mana-mana program, calon-calon dikehendaki mengikuti sekurang-kurangnya seratus (100) unit kursus yang telah ditetapkan melainkan Bioteknologi dengan Pengurusan yang perlu mengambil sebanyak seratus enam (106) unit, dan Program Bioinformatik (104). Semua program perlu mengambil 12 unit kursus Pusat Pengajian yang terdiri daripada kursus-kursus tahun I yang sepunya bagi semua program. Kursus-kursus Major ialah kursus-kursus yang menakrifkan sesuatu Major dan jumlah unitnya ialah 49 bagi semua program kecuali program Bioteknologi dengan Pengurusan dimana jumlah unitnya ialah 65 dan program Bioinformatik, 63.
Syarat kemasukan
Semua pelajar yang lulus;
1. kursus Matrikulasi Kementerian Pendidikan/Asasi Sains ATAU
2. lulus mata pelajaran Kertas Am dan lulus dua (2) mata pelajaran dengan gred E (termasuk Biologi) dan satu mata pelajaran dengan gred R pada peringkat STPM
- adalah layak memohon untuk masuk ke Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi.
Untuk Program Bioinformatik, semua pelajar yang lulus;
1. sekurang-kurangnya tiga (3) matapelajaran Sains termasuk Matematik dalam Matrikulasi Kementerian Pendidikan/Asasi Sains
ATAU
2. lulus dengan gred E mata pelajaran Pengajian Am/Kertas Am dan matapelajaran Biologi dan Matematik pada peringkat STPM
- adalah layak memohon.