BERPANTANG SECARA RAWATAN TRADISIONAL DI KALANGAN MASYARAKAT MELAYU
ZURADATOLAKMA BT. HJ. DIN
FPEND
RAWATAN TRADISIONAL
Bertungku
Berurut
menyegarkan badan
Mandi
Mandi
dedaun
Mandi
lulur
Bertangas
Memakai
bengkung
Bertasak
Minum air
akar kayu dan jamu
Makanan
berkhasiat untuk yang berpantang
KESIMPULAN
RUJUKAN
LAMPIRAN
PENGENALAN
Menanti detik kelahiran adalah
sesuatu yang mendebarkan bagi ibu-ibu terutamanya bagi yang menyambut kelahiran
pertama. Tempoh sembilan bulan dilalui dengan penuh harapan dan ketabahan.
Kandungan diberi perhatian yang sewajarnya semoga cahaya mata yang bakal
dilahirkan membawa sinar kebahagiaan.
Detik kelahiran yang tiba ditempuh dengan tabah. Tangisan
pertama yang kedengaran bagaikan memberi semangat, apalagi apabila sicomel yang
didakap buat pertama kalinya lena dalam pelukan. Terasa mengalir perasaan
keibuan dan kasih sayang yang melimpah untuk sicomel.
Selamat melahirkan, bagi ibu-ibu muda tempoh berpantang
merupakan satu pengalaman baru. Badan harus dirawat agar bila tamat tempoh
berpantang, anda tetap kelihatan segar semula seperti sebelumnya. Berpantang
merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana
menunuggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu
akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksimanya untuk mengembalikan
kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.
Amalan yang diwarisi daripada nenek moyang tidak sukar
dilakukan, malah dedaun dan herba yang digunakan bagi tujuan rawatan, kini
boleh dibeli di pasar harian. Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk
mendapatkan dedaun, rempah-ratus dan herba untuk tujuan rawatan sendiri, bolehlah
mendapatkan set bersalin lengkap yang sedia dijual di pasaran. Kini terdapat
pelbagai gedung kecantikan yang menjual dan menawarkan rawatan kecantikan khas
bagi ibu bersalin seperrti Mustika Ratu, Lia Sari, Sari Ayu, Nona Roguy dan
banyak lagi.
RAWATAN
TRADISIONAL
Kebanyakan wanita muda masih
mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi
menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang. Biasanya amalan
berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih
tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.
Misalnya cara wanita Kelantan mungkin berbeza dengan orang
utara. Begitu juga ibu berketurunan Jawa, Arab, Cina atau India berbeza petua
dan rahsia yang menjadi amalan mereka. Walau apa jua cara yang digunakan,
tujuannya tetap sama iaitu ingin menyembuhkan luka dan kesakitan ibu ketika
bersalin dan selepas bersalin.
Banyak perkara misteri yang masih belum terhurai dan
terjawab tentang rawatan selepas bersalin secara tradisi Melayu warisan pusaka.
Apa lagi kalau hendak dihuraikan secara saintifik kerana masih belum ada
penyelidikan dijalankan untuk membuktikan kebaikannya terhadap kaum wanita.
Namun kita sedia maklum akan khasiat herba dalam mengubati beberapa penyakit
seperti akar Tongkat Ali atau nama sainsnya Eurycoma longfolia, Bunga Pakma
dikenali juga sebagai Rafflesia, Kacip Fatimah iaitu Labisia pumila dan
lain-lain lagi.
Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada
beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu. Antara rawatan
tersebut adalah bertungku,
berurut, mandi herba dan mandi
lulur, bertangas, memakai bengkung, berpilis, bertasak, minum air akar kayu dan
jamu serta berpantang makan dan minum.
Bertungku
Amalan bertungku merupakan
amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang
sekiranya tidak bertungku. Biasanya tungku diperbuat daripasda besi sebesar
botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5 kg. Bertungku juga tidak semestinya
menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan. Ini
kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap
kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.
Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu
selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut
dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai
Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu
nama sainsnya Piper betel atau daun
lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam
daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.
Proses bertungku dilakukan
sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha,
berhampiran ari-ari / bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada ). Untuk
kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.
Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat
menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas
bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Biasanya
darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku. Justeru bertungku ada kala
diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan
atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan
hingga habis pantang.
Berurut
menyegarkan badan
Urut juga merupakan amalan
penting dalam pantang. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau
selepas bertungku. Pastikan rawatan ini dilakukan oleh bidan atau tukang urut
yang berpengalaman. Amalan urut perlu dilakukan seminggu selepas bersalin
selama tiga hari berturut-turut. Bagi yang ingin merasa lebih segar, amalan
berurut boleh dilakukan pada penghujung pantang iaitu hari ke 42, 43 dan 44
diikuti pada hari ke 60 dan ke 100
selepas berpantang.
Sebaiknya mulakan urutan pada
sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam. Urut bertujuan
memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin,
membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran
darah nifas serta kekotoran.
Urut hendaklah menggunakan minyak. Kini terdapat banyak
minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran.
Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi. Namun jika
rajin kita sendiri boleh membuat minyak urut.
Berikut adalah ramuan dan cara
membuatnya :-
|
·
Minyak kelapa, dibuat sendiri menggunakan santan
daripada sebiji kelapa, dimasak hingga menjadi minyak. ·
3 camca besar halba ·
4 cm halia ( Zingiber officinale ) ·
4 cm kunyit hidup ( Curcuma domestica ) ·
3 ulas bawang putih ( Allium sativum ) ·
5 biji bawang merah ( Allium cepa ) |
·
Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih
dan bawang merah. Masak bersama halba dan minyak hingga panas. Sejukkan dan
simpan di dalam bekas kering agar tahan lama. |
Mandi
Mandi tidak boleh terlalu kerap
semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun
ataupun mandi lulur menggunakan lulur.
Mandi
dedaun
Setelah selesai bertungku dan
berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa,
kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Sebolehnya
sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan
daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan
ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang. Antara daun
yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi ( Vitex negundo
), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang
kelat, daun capa, daun inai ( Lawsonia terma ), daun bonglai, daun mengkudu (
Morinda citrifolia ) dan rempah halba. Sekiranya ramuan ini payah dicari di
bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar
atau mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.
Berikut ialah contoh ramuan
yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi :-
·
1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
·
10 helai daun limau purut
·
6 batang daun serai bersama serai
·
halia muda sebesar 4 kali ibu jari
·
7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
·
2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
·
seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
·
segenggam halba ( dipunjutkan )
( Rujuk lampiran 1 untuk foto
bahan-bahan yang digunakan )
CARA
MENYEDIAKAN AIR MANDI
Ambil periuk tanah ukuran
sederhana. Sediakan bahan-bahan di atas. Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama
air di atas api yang sederhana. Masukkan halba yang dipunjutkan. Setelah air
panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu
air, suam-suam kuku sahaja.
Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua
orang tua-tua. Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari kaki kanan dahulu
diikuti kaki kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri. Adalah penting
memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena
air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama
dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.
Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok
badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit. Punjut halba juga
boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot
di samping menghalang air dari masuk ke dalam badan. Adalah dipercayai amalan
mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot,
menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.
mandi lulur
Sebenarnya ilmu merawat wajah
dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi
umpamanya puteri raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang
kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit. Begitu juga warisan nenek moyang
kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang
sotong dan daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang
rambai untuk melulur kulit.
Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang
terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang
daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut
tertanggal. Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan
mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita. Kebayakan
ramuan mandian yang digunkan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah
ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.
BERTANGAS
Ia dilakukan selepas mandi.
Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga
cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan
mengelakkan proplase ( keluar tombong ). Berbagai ramuan boleh digunakan untuk
bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.
Ramuan tangas:
·
9 keping asam gelugur
·
2 camca besar garam jantan
·
3 helai daun sirih ( Piper betel )
·
segenggam inai ( Lawsonia terma )
·
halia sebesar ibu jari ( Zingiber officinale )
·
3 biji manjakani
Caranya : Rebus semua bahan bersama air hingga
mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk hasil yang baik ia
dilakukan dua tiga kali sehari hingga 44 hari. Air yang sudah sejuk jangan
dibuang, sebaiknya jadikan pencuci bahagian sulit.
MEMAKAI
BENGKUNG
Selain dari rawatan dalaman,
kita perlu juga mengamalkan rawatan luaran. Antaranya ialah pemakaian param ke
seluruh badan supaya badan tidak masuk angin dan memakai pilis. Pilis disapukan
memanjang menutupi dahi bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering
dialami oleh wanita bersalin
Seterusnya sebelum
memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel ( ubat barut ) yang dicampurkan
dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih
dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa
sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor,
mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.
Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh
digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu
berbarut. Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut :-
·
segenggam jadam ( diperbuat dari kayu gaharu atau lidah
buaya )
·
halia ( Zingiber officinale ) sebesar ibu jari
·
isi kunyit terus sebesar ibu jari
·
tiga ulas bawang putih ( Allium sativum )
·
asam jawa ( Tamarindus indica ) sebesar bola pingpong
·
secawan air kosong
·
periuk tembikar dan sudip
cara
membuatnya:
Masukkan jadam di dalam periuk
tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian
gaul dengan jadam dan campur perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan
hingga mengggelegak.
cara menyapu jadam:
Biarkan jadam suam-suam kuku.
Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu sapu jadam pada seluruh perut
hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan
kemas. Seterusnya untuk lebih kemas pakailah bengkung.
Bengkung haruslah diikat ketat dan kemas meliputi bahagian
punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara. Ini untuk mengelakkan
bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang
membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung. ( Rujuk lampiran 2 untuk
cara-cara memakai barut dan bengkung )
BERTASAK
Bertasak penting untuk
memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan. Sebaiknya ia dimulakan
selepas seminggu bersalin, dan diminum selepas makan. Ia hendaklah dilakukan
sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari pagi dan petang. Setiap tiga
hari, bahan berlainan digunakan. Caranya, bahan-bahan ditumbuk sehingga lumat,
dicampur setengah cawan air, ditapis dan diminum.
Pada hari pertama
hingga ketiga, segenggam daun inai iaitu Lawsonia terma, garam jantan (secukup
rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama sainsnya Piper nigrum. Pada hari
keempat hingga keenam, gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan
nama Melastoma malabathricum dan garam jantan. Sementara pada hari ketujuh
hingga kesembilan, bahannya adalah 5 cm
kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh Piper nigrum.
Minum
air akar kayu dan jamu
Semasa tempoh berpantang
ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari
penjual-penjual ubatan tradisional. Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan
badan di samping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang.
Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam
kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.
Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan
cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan. Tekan ibu jari kaki kanan ke
atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri
digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik
nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa
mual.
Makanan
berkhasiat untuk yang berpantang
Jika merawat diri tetapi tidak
berpantang makan samalah seperti mandi tidak bersabun. Pada minggu awal
bersalin eloklah dimakan makanan yang kering
bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan
terlalu berminyak tidak elok dimakan. Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau
bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan
atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya. Minum
air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan
menjadi kembang. Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara
ini. Perkara yang nyata mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan
ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan
lemak, gula dan minyak yang berlebihan.
Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu
bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau
dikukus. Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah
sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu.
Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma
domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu
(Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan
ibu-ibu di samping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa
berpantang. Menurut orang tua-tua buah mengkudu (Morinda citrifolia) jika
dimakan mentah mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu. Cara
makannya, ia perlu dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak
boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar. (Rujuk lampiran
3 untuk melihat resipi hidangan berkhasiat untuk ibu-ibu yang berpantang )
Makanan yang menyebabkan angin patut dielakkan. Angin atau
dalam bahasa saintifiknya flatulence boleh didefinisikan sebagai situasi di
mana seseorang terasa sangat kenyang. Menurut Mary Easaw, Pengurus Dietetik
& Dietari di Intitut Jantung Negara, selain dari beberapa faktor tertentu,
makanan turut menjadi penyumbang kepada masalah angin. Masalah angin yang
disebabkan oleh makanan adalah berbeza dari seorang individu kepada individu
yang lain. ( Rujuk lampiran 4 untuk melihat senarai makanan yang menyumbang
kepada penghasilan angin di dalam perut ).
KESIMPULAN
Memperolehi badan yang sihat
seperti sedia kala adalah menjadi keinginan setiap ibu selepas selamat
melahirkan. Cara terbaik adalah dengan mengamalkan pantang iaitu dari segi
tingkah laku, makan dan minum serta mengamalkan rawatan-rawatan secara
tradisional mengikut amalan warisan pusaka. Walaupun amalan ini belum
dijalankan penyelidikan yang dapat membuktikan keesahannya namun bagi mereka yang
merawat diri dalam pantang atau tidak dirawat memang ada bezanya dan dapat
dirasakan oleh mereka sendiri semasa dalam tempoh berpantang atau selepas
pantang. Tumbuhan yang dijadikan Allah melata di sekeliling kita banyak gunanya
dan berkhasiat jika kita tahu cara mengadunnya.
RUJUKAN
Fauziah Hassan. 1999.
Mengekalkan kulit halus mulus, ceria selepas bersalin. Saji, April : 62 63
Fauziah Hassan. 1999. Membelai
badan merawat dalaman. Saji, April : 64 66.
Siti Hanim Yacub.1994.
Pengalaman baru dalam pantang. Nona, Jun : 78 79
Zuarida Mohyin. 1999. Wanita
mudah diserang angin berbanding lelaki ? Saji, April : 59 61.
Zunairah Radzi . 1999. Amalan
berpantang masyarakat Melayu. Jelita, Mei : 94 99
Zurilawati Ku Zarifah. 1999.
Petua ibu kembali segar. Jelita, Mei : 68 70
Lampiran 2
Cara-cara mengikat bengkung
1. Sempurnakan
ikatan barut.
2. Ikat
satu hujung kain pada tombol pintu atau dipegang pembantu. Lilit bermula di
bawah paras punggung. Pastikan satu hujung kain pendek, agak-agak melepasi kepala.
Bahagian berkenaan dijadikan tulang bengkung.
3. Lilitan
dipusing ke belakang, apabila tiba di depan, simpul pada bahagian pendek,
kemudian pusing ke belakang semula.
4. Bahagian
depan siap diikat.
5. Bahagian
belakang, dililit kemas dan bertindih setiap satunya.
Lampiran 4
Makanan yang menyumbang kepada penghasilan angin di dalam
perut;
|
·
Legumes
- kebanyakannya dari jenis kekacang kering, kacang
panjang dan kacang soya. ·
Susu
dan hasil susu - susu, aiskrim dan keju. ·
Sayur-sayuran -
kubis, lobak putih, lobak merah, kubis brussel, bawang, kubis bunga,
asparagus, timun dan brokoli. ·
Sayuran
berubi - kentang dan sengkuang ·
Buah-buahan -
prun, aprikot, epal, kismis, pisang, sukun, nangka, pear dan pic. ·
Bijirin
dan roti - kesemua jenis makanan yang mengandungi gandum dan
produk daripada gandum termasuk bijirin, roti dan pastri. ·
Makanan
berlemak - makanan bergoreng, lemak daging, sos krim dan sos
tartar. ·
Cecair -
minuman bikarbonat soda, fizi, minuman bergas, ubatan atau serbuk. ·
Seserat
(fiber) - kacang, oat, bran dan kacang panggang. |