HOMEOPATI DAN MANUSIA
AIZAN BINTI SAHPRI ( A57886)
KANDUNGAN
1.
Pengenalan
2.
Sejarah Pengasas dan Perkembangan Homeopati
3.
Falsafah Penyembuhan Penyakit secara Homeopati
4.
Konsep Penyembuhan Penyakit secara Homeopati
5.
Penawar Homeopati
6.
Materia Medica
7.
Cadangan Penawar Homeopati
8.
Pantang Larang dalam Rawatan Homeopati
9.
Penutup
10.
Bibliografi
PENGENALAN
Homeopati berasal
daripada dua perkataan iaitu " homoios" dan "pathos". Homoios bererti 'serupa' atau 'seumpama'
. 'Serupa' merujuk kepada tanda -
tanda atau simptom. Maksudnya ialah jika sekiranya seseorang itu mengalami
tanda - tanda penyakit seperti loya dan muntah, maka ia akan dirawat secara
homeopati dengan penawar yang mampu mengeluarkan atau menghilangkan penyakit
tersebut. Sementara pathos membawa
maksud 'penderitaan' , 'perasaan' atau 'penyakit'. Dengan itu , homeopati merujuk kepada cara
"merawat penyakit atau pesakit menerusi prinsip serupa dengan yang serupa
"atau" Law of similars".
SEJARAH
PENGASAS DAN PERKEMBANGAN HOMEOPATI
Sejarah perubatan
homeopati telah bermula semenjak 200
tahun lampau hasil usaha seorang doktor berbangsa Jerman, Samuel Hahnemann atau nama sebenarnya
Christian Friedrich Samuel. Beliau dilahirkan di Meissen, German Timur pada
tahun 1755.
Semasa menerima
pendidikan tinggi di Meissen, beliau dianggap sebagai seorang pelajar yang
cerdas dan pintar. Pada tahun 1775, beliau memasuki Universiti Leipzig untuk
mempelajari ilmu perubatan. Dua tahun kemudian beliau meninggalkan universiti
tersebut dan menetap di Vienna dan Transylvania. Beliau mengambil keputusan
untuk menamatkan pengajian perubatannya di Universiti Erlangen di mana beliau
telah dianugerahkan ijazah Doctor of
medicine pada 10 Ogos 1779.
Beliau memulakan
kariernya sebagai pengamal perubatan di Hettssted iaitu sebuah kawasan
perkampungan galian di Saxony. Sembilan bulan berikutnya , Dr. Hahnemann
berpindah ke Dessau dan bekerja di Mohren Pharmacy. Kemudian beliau berkahwin
dengan anak tiri pemilik farmasi tersebut yang bernama Johanna Kuchler. Apabila
beliau berpindah keDresden, beliau menyambung pelajarannya dalam ilmu kimia dan
perubatan di samping menterjemahkan buku dalam bahasa Perancis , Inggeris,
Latin dan Greek ke bahasa Jerman. Ketika beliau sekeluarga berpindah ke Leipzig
pada tahun 1789, beliau merasakan amalan perubatan pada waktu itu sebagai kasar
dan tidak bertamadun serta kurang berkesan. Ini menimbulkan kemarahan oleh
pihak yang berada dalam profesion tersebut. Dalam pada itu, sistem perubatan
baru yang dikenali sebagai 'homeopati' mula berputik. Pada tahun 1799, satu
tragedi telah melanda di Leipzig iaitu wabak demam scarlet. Beliau dengan penuh
yakin memberikan penawar iaitu Belladona dan ternyata ianya berkesan. Pada
tahun 1810, karya beliau iaitu ' Organon
of Rational Medicine' telah
diterbitkan dan nama barunya ialah ' Organon of the Healing Art'. Di dalam organon inilah beliau mengembangkan
prinsip asas homeopati iaitu 'SIMILIA SIMILIBUS CURENTER' atau 'Let likes be cured with likes'.
FALSAFAH
PENYEMBUHAN PENYAKIT SECARA HOMEOPATI
Falsafah penyembuhan
homeopati ialah mengembalikan sakit kepada sihat sebagaimana yang dikehendaki.
Cara penyembuhan yang paling ideal ialah mengembalikan kesihatan dengan jalan
yang cepat , lemah - lembut dan berkekalan ,atau menyembuhkan penyakit secara
keseluruhannya dalam jangka masa yang pendek, dapat dipertanggungjawabkan serta
paling tidak memudaratkan menurut kaedah ma'kul.
Dalam homeopati , asas
penyembuhan yang saintifik dan rasional dapat mudah difahami. Dr. Hahnemann percaya bahawa doktor - doktor
atau pengamal - pengamal yang cekap harus memiliki ;
·
Pengetahuan tentang penyakit - penyakit tertentu.
·
Pengetahuan tentang kuasa tiap - tiap penawar.
·
Mengetahui penawar mana yang harus dipilih
·
Mengetahui dos yang betul.
KONSEP
PENYEMBUHAN PENYAKIT SECARA HOMEOPATI
Homeopati adalah satu sistem perubatan yang membantu menguatkan keupayaan tubuh
melawan penyakit yang menyerang dan bukannya menyediakan bahan untuk membunuh
kuman penyakit berkenaan. Prinsip asas perubatan homeopati ialah bersandarkan
konsep 'persamaan' ataupun Law of
Similars yang juga merupakan maksud bagi perkataan homeopati iaitu homois
dalam bahasa Yunani.
Konsep ini bermaksud
penawar homeopati yang diberikan kepada pesakit ialah benda yang sama yang
mampu menghasilkan gejala penyakit
tersebut. Teori persamaan ini diasaskan oleh Hippocrates , seorang
pengamal perubatan Greek yang juga digelar sebagai Bapa Perubatan. Melalui ilmu
perubatan Hippocrates, Hahnemann akhirnya mengambil konsep ini sebagai intipati perubatan
homeopati dengan mentakrifkan persamaan
sebagai 'Let likes be cured by likes'
yang bermaksud ' Yang sama menyembuhkan yang sama'. Sebagai contoh ,kuinin
berkesan mengubati malaria, tetapi jika diberikan kuinin kepada orang yang
sihat, ia boleh menyebabkan individu itu mendapat simptom malaria.
Dalam kajian yang
dilakukan oleh Hahnemann, beliau menemui konsep pemberian ubat dalam dos yang
paling minimum dan hanya sejenis ubat
diberikan dalam tempoh satu masa supaya sistem dalam badan pesakit tidak
terlalu kompleks dalam tempoh itu. Beliau percaya, ubat sepatutnya digunakan
secara halus dan lembut bagi merangsangkan pemulihan secara semulajadi tanpa membangkitkan kesan sampingan yang
berbahaya dan seterusnya menyebabkan kecederaan lain yang lebih parah. Dalam
perubatan homeopati , diagnosis atau nama penyakit tidaklah begitu penting
tetapi diri pesakit itu lebih penting kerana dipercayai apabila seseorang itu
sakit, ia disebabkan kuasa hayat atau fitrahnya yang terganggu. Akibat gangguan
itu, maka lahirlah pelbagai simptom sama ada mental, emosi atau fizikal. Ini berbeza dalam rawatan
alopati di mana rawatan diberikan berasakan pengenalan penyakit. Oleh itu
seorang doktor alopati lebih teliti dalam aspek pemeriksaan seperti ujian
makmal atau x-ray bagi tujuan memastikan masalah sakit dan puncanya seperti
yang diadukan pesakit. Justeru itu, dalam homeopati penawar yang diberi
berdasarkan keadaan pesakit secara keseluruhan. Ia bukanlah suatu keanehan jika
dua pesakit yang mempunyai sakit yang
sama tetapi diberi dua penawar yang berbeza. Inilah yang membezakan antara
rawatan homeopati dengan rawatan lain yang menyediakan ubat untuk membunuh
kuman penyakit berkenaan. Dengan kata lain, homeopati lebih kepada rawatan holistik
iaitu memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakitnya. Rawatan
homeopati pada hari ini adalah sama dengan yang diamalkan pada zaman Hahnemann.
Pesakit akan ditemu bual oleh pengamal homeopati dan dibiarkan bercakap. Doktor
akan menilai pesakit itu dari segi bentuk tubuh , kelakuan dan emosinya dan
penawar akan dipilih mengikut keseluruhan simptom .Tidak semestinya semua
simptom yang disenaraikan bagi satu -
satu penawar adalah pilihan yang tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai
untuk membantu doktor membuat pilihan penawar.
PENAWAR
HOMEOPATI
Penawar
homeopati dihasilkan daripada bahan - bahan semula jadi tanpa menyebabkan
kerosakan kepada persekitaran. Jumlah bahan yang diperlukan untuk membuat
penawar adalah sedikit dan sumber bahan
- bahan ini mudah diperolehi dan
didapati daripada tumbuhan , galian dan haiwan .
Penawar
homeopati diperolehi dari alam semula jadi seperti galian dan logam, daripada
tumbuhan dan haiwan dan kini diperolehi
dari sumber sinaran / pancaran. Penawar
- penawar baru dibentuk melalui proses kimia menggunakan eksperimen (
digelar "pembuktian" atau "proving") ke atas manusia secara
sukarela . Penawar - penawar dibuat
melalui proses larutan berulang ( repetitive
dilution) dan proses goncangan
digelar "mempotensi" (potentisation).
Hasil terakhir biasanya dalam bentuk globiul - globiul " gula susu"
atau cecair. Satu atau dua globiul diletakkan ke bawah lidah pada satu - satu
masa dikira sebagai satu dos.
Oleh
kerana pembuatan penawar homeopati berteknologi rendah, maka ia tidak
memerlukan penglibatan syarikat - syarikat besar. Ini kerana sesiapa yang
mempunyai pengetahuan dan kepakaran
yang betul serta bertanggungjawab mampu menghasilkan penawar. Selain itu, kesan
penawar homeopati terbukti selamat dan tiada kesan sampingan , maka ujian dan
percubaan yang mahal tidak diperlukan.
MATERIA
MEDICA
Materia Medica Homeopati
merujuk kepada rekod - rekod tentang kesan - kesan bahan bernilai perubatan
yang aktif ke atas orang - orang yang sihat yang secara teknikalnya dikenali
sebagai 'uji bukti'. Terdapat juga tumbuh - tumbuhan yang digunakan sebagai
materia medica . Antaranya ialah Allium
cepa , Cadendula officinalis , Aconitum napellus, Cocculus indicus dan Iris
versicolor. Selain tumbuhan, terdapat bahan - bahan semulajadi lain yang
digunakan sebagai penawar homeopati. Bahan - bahan tersebut ialah Apis mellifica , Calcaria carbonica , vigatibilis
carbo , Sepia dan sulfur.
Allium
cepa
Bawang
besar jenis merah adalah sumber utama Allium
cepa. Ia digunakan sebagai penawar untuk simptom badan sejuk akibat
perubahan cuaca (sejuk) dan batuk. Selain itu ia juga digunakan sebagai penawar
untuk simptom demam dengan tanda hidung berair, mata berair dan berhingus,
bersin yang kuat dan sakit kepala. Ada ketikanya ia berkesan merawat suhu badan
yang terlalu tinggi.
Cadendula
officinalis
Calendula
sangat berguna dalam menghasilkan penawar untuk pertolongan cemas. Krim atau
losen daripada Calendula boleh didapati dengan meluas di kebanyakan farmasi dan
tidak memerlukan rujukan pakar homeopati secara khusus. Calendula dihasilkan
daripada bunga Marigolds dan banyak ditemui di kawasan pedalaman Eropah
Selatan. Keseluruhan pokok ini digunakan untuk membuat penawar masalah
berkaitan kulit seperti luka, melecur ,kesan kebakaran kecil dan jangkitan
kulat.
Aconitum
napellus
Aconite
adalah penawar yang disarankan apabila simptom muncul dengan tiba - tiba.
terutama akibat terdedah kepada angin sejuk dan kering. Ia juga dijadikan
penawar untuk simptom - simptom demam dengan kulit panas dan kering , gelisah
serta cemas akibat terperanjat, terkejut dan takut.
Cocculus
indicus
Cocculus indicus
adalah penawar bagi loya, muntah dan
pening. Oleh itu ia sangat sesuai untuk mereka yang mabuk kenderaan darat
seperti menaiki kereta atau keretapi , mabuk laut atau pesakit yang berasa
hendak muntah apabila bangun dari tidur.
Iris
versicolor
Iris versicolor
adalah penawar paling berkesan untuk melegakan kesakitan dan kencing tidak
lawas, cirit - birit. Kadangkala pesakit yang mengalami masalah di atas juga
diserang sakit kepala yang kuat dan gastrik.
Apis
mellifica
Apis mellifica dihasilkan
daripada madu lebah dan keseluruhan tubuh badan serangga ini termasuklah bisanya
sekali. Ia mungkin diperlukan bagi mengatasi masalah tekanan seperti rasa takut
yang tidak terkawal , marah/meradang , cemburu dan tertekan selepas mendapat
berita buruk. Simptom ini mungkin akan diikuti dengan perlakuan terburu - buru
( samada secara terang - terangan ataupun tidak)
Calcaria
carbonica
Calcaria carbonica adalah
antara penawar paling penting dalam perubatan homeopati. Ia dihasilkan daripada
sejenis tiram yang banyak ditemui di negara - negara Eropah dan merupakan
prekripsi utama untuk menyeimbangkan tahap kalsium atau membetulkan tugas badan
yang tidak teratur. Kalsium penting untuk mempertingkatkan keberkesanan fungsi
badan dengan bergabung dengan protein membentuk sebatian - sebatian penting.
Jika kalsium tidak diserap dengan sebaiknya, terlalu berlebihan atau terlalu
berkurangan ia akan menimbulkan masalah lain dalam badan.
Carbo
vigatibilis
Penawar
ini dihasilkan daripada arang kayu. Dr. Hahnemann menggunakan arang daripada
kayu pokok birch tetapi rawatan homeopati moden menggunakan arang daripada
pokok bic. Carbo vigatibilis sering
digunakan sebagai penawar masalah pembuangan tidak lancar disebabkan oleh angin
terutama pada bahagian atas kawasan perut. Dalam sesetengah keadaan ia berkesan
sebagai penawar bagi masalah batuk.
Sepia
Sepia
diklasifikasikan sebagai penawar untuk wanita dan selalunya digunakan bagi
masalah sakit sewaktu datang haid dan masalah oleh menopous. Penawar ini
diambil daripada cairan dakwat yang terdapat pada sotong.
Sulfur
Belerang
adalah antara bahan utama dalam perawatan homeopati. Ia berkesan untuk membuang
toksin dalam badan. Ia boleh digunakan untuk kedua - dua jenis penyakit; akut
mahupun kronik.
CADANGAN
PENAWAR HOMEOPATI
Baberapa penawar
homeopati disenaraikan di bawah berdasarkan simptom - simptom yang ditunjukkan
oleh pesakit. Ia boleh digunakan dalam keadaan sakit akut.Bagaimanapun jika
simptom berterusan, rawatan homeopati profesional adalah lebih sesuai. Antara
penawar yang ditunjukkan adalah penawar bagi simptom - simptom senggugut
,selesema dan resdung.
MASALAH
SENGGUGUT
|
Petunjuk
utama |
Penawar
homeopati |
|
Sakit yang menghiris.
Perlu membongkok. Mengurang dengan tuaman panas atau minuman panas. |
Magnesia phosphorica |
|
Ketidakselesaan bahagian
perut yang mengejang. Sakit memberat ke bawah. Perlu menyilang kaki. Ingin
bersendirian. |
Sepia |
SELESEMA
|
Petunjuk
utama |
Penawar |
|
Datang secara perlahan.
Dahaga. Anggota rasa berat (rasa kebas dan sukar digerakkan). Mabuk atau
pening. Rasa mengantuk. |
Gelsemium |
|
Peluh lampau. Tak
tahan haba panas. Lidah "berpeta" terdapat lekukan gigi. Rasa logam
dalam mulut. |
Mercurius |
SINUSITIS
( RESDUNG)
|
Petunjuk utama |
Penawar |
|
Mudah berpeluh. Nak
cepat. Tak puas hati. Bercanggah. Pemarah dan membuat keganasan. Hidung
sentiasa berhinggus. Hinggus pekat berwarna kunung kehijauan serta berbau. |
Calcureum |
|
Perubahan gejala
mendadak. Mudah menangis. Perlu diteman. Banyak hingus dan berwarna kuning.
Diiringi masalah selaput mata (konjuktivities). Ia melarat jika panas dan
akan mengurang apabila sejuk. |
Pulsatilla |
PANTANG
LARANG DALAM RAWATAN HOMEOPATI
Terdapat beberapa
pantang larang yang perlu diikuti oleh
pengguna apabila mengambil rawatan homeopati bagi mengekalkan keberkesanan
penawar. Antara pantang larang itu ialah ;
1. Penawar
hendaklah dimakan ketika perut kosong dan mulut hendaklah bersih. Jangan makan
atau minum dalam masa setengah jam sebelum atau selepas mengambil ubat
homeopati.
2. Sewaktu
mengambil ubat, sebolehnya jangan terkena jari. Gunakan tudung botol ubat untuk
memasukkannya ke dalam mulut.
3. Elakkan
daripada minum kopi ,teh , kopi segera dan bahan lain yang menggunakan kafeina.
Elakkan juga merokok kerana bahan - bahan ini ( termasuklah nikotin) boleh
menghilangkan kuasa penawar ubatan homeopati.
4. Ubat
- ubat homeopati sangat sensitif terhadap suhu panas dan bau - bau yang kuat seperti minyak wangi dan rempah.
Tutup botol penawar kemas - kemas setelah digunakan.
5. Jauhkan
ubat daripada kapur barus dan yang sama jenis dengannya.
6. Elakkan
memakan makanan bercuka dan masam.
7. Jauhkan
ubatan daripada semua jenis minyak angin. Jika perlu menggunakannya , jarakkan
jangka masa penggunaan dengan pengambilan ubat.
8. Elakkan
mengambil bahan lain yang mengandungi
bahan dadah dalam masa rawatan.
9. Ubat
homeopati bekerja lebih berkesan sewaktu perut kosong. Oleh itu ,ambillah ubat
1/2 jam sebelum makan atau minum.
10.
Elakkan daripada terdedah pada haba atau cahaya
kuat.
PENUTUP
Kesimpulannya perubatan homeopati merupakan
perubatan tradisional yang semakin popular
sehingga kini. Walaupun ia bukanlah suatu bidang profesional namun keberkesanan
perubatannya sungguh menakjubkan. Ini kerana perubatan homeopati lebih
mengutamakan diri pesakit berbanding penyakit yang dihidapinya. Oleh itu , keadaan mental serta bagaimana
hubungan pesakit dengan alam sekeliling paling diutamakan dalam pemilihan
penawar.
BIBLIOGRAFI
1.
Majalah Wanita . Mei 1998 . Kumpulan Syarikat
Utusan Melayu Berhad.
2.
Mohammad Hatta Abu Bakar. 1997. Perubatan Homeopati.
3
Burhanuddin
al - Helmy. 1985. Sepintas lalu
Perkembangan Ilmu Perubatan. Majalah Perubatan Homeopati.