ISI
KANDUNGAN
SEJARAH PISANG
NAMA DAN JENIS-JENIS
PISANG
CIRI-CIRI DAN SIFAT PISANG
CARA PENANAMAN PISANG
PENUAIAN DAN DAN PERANUMAN
PISANG
BINATANG PEROSAK DAN PENYAKIT
PISANG
KEGUNAAN PISANG
PENUTUP
LAMPIRAN
BIBLIOGRAFI
PENDAHULUAN
Sesungguhnya
Malaysia adalah bumi yang bertuah, dianggarkan bahawa terdapat ratusan malahan
ribuan flora yang tumbuh melata di tanahair kita. Di antara tumbuhan yang tidak
asing lagi dalam kehidupan manusia ialah pisang. Pisang dikatakan buah yang
paling popular kerana senang ditemui dan murah pula harganya. Tambahan rasanya
memang enak. Walaupun masyarakat sering menikmatinya, namun tidak ramai yang
tahu mengenai latar belakang tumbuhan jenis buah-buahan ini. Maka didorong atas
rasa ingin, lalu penulis memilih topik pisang untuk dihuraikan di dalam tugasan
ini. Apatahlagi bila menyedari bahawa
tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Order
Zingerberalis ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Melalui
tugasan ini, penulis akan menerangkan serba sedikit mengenai pisang; merangkumi
sejarahnya, nama dan jenis-jenisnya, ciri-ciri dan sifatnya, cara penanamannya,
penuaian dan peranumannya, binatang perosak dan penyakitnya serta kegunaannya.
SEJARAH
PISANG
Pisang
dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Ianya dikenali di negara-negara tropika
seantero dunia akibat dari perkembangan aktiviti perdagangan. Pisang mula
diperkenalkan oleh saudagar-saudagar Arab di Afrika Timur. Pada tahun 1402, ianya
telah dibawa ke Kepulauan Canary oleh orang-orang Portugis. Manakala bangsa
Sepanyol memperkenalkan pisang ke
Mexico sekitar tahun 1531 dan ke Benua
Eropah Barat serta Amerika Utara pada tahun 1866.
NAMA DAN
JENIS-JENIS PISANG
Malaysia
kaya dengan pelbagai jenis pisang, dari sebesar-besar pisang seperti pisang
Tanduk hinggalah sekecil-kecil pisang seperti pisang Emas. Terdapat lebih dari
14 jenis pisang yang boleh ditemui dan ditanam di sini. Dalam istilah sainsnya,
pisang tergolong dalam Order Zingerberalis,
iaitu kumpulan keluarga Musaceae dan genus Musa. Genus Musa boleh dibahagikan kepada dua kumpulan; Eumusa iaitu kumpulan yang boleh dimakan
dan Phusocaulis, yang tidak boleh
dimakan.
Antara jenis-jenis
pisang yang terdapat di tanahair kita adalah seperti:
Pisang
Embun
Pisang
ini juga dikenali sebagai pisang Bunga. Pisang ini berbentuk panjang, pada
peringkat permulaannya ianya berwarna hijau dan kemudian berubah menjadi warna
kuning pucat. Ianya berkulit tebal dan senang dikupas. Satu tandan pisang Embun
yang besar, beratnya boleh menjangkau antara 15 hingga 35 kilogram. Setiap
tandan pula mempunyai 7 hingga 9 sikat dengan bilangan 100 hingga 200 biji buah
pisang. Manakala setiap sikat pula mengandungi 14 hingga 15 biji buah pisang.
Panjang buah pisang ini berukuran 15 hingga 20 sentimeter dan lebarnya 4
sentimeter . Ketinggian pokok pisang jenis ini ialah kira-kira 5 meter .
Pisang
Emas
Saiz
buah pisang ini adalah kecil tetapi rasanya lazat berbanding dengan pisang
jenis lain. Apabila ianya ranum, buah serta isinya berwarna kuning keemasan . Buah pisang ini mudah
lebam dan bertukar menjadi kehitaman. Setiap tandan mempunyai berat antara 7
hingga 9 kilogram, 6 hingga 7 sikat dengan bilangan 100 hingga 150 biji buah
pisang. Panjang buah pisang ini bersaiz 9.0 saentimeter dan lebarnya ialah 3.5
sentimeter. Pokok pisang Emas adalah kecil sahaja.
Pisang
Rastali
Buah
pisang ini bersaiz sederhana. Kulitnya berwarna kuning dan agak kasar. Terdapat
bintik-bintik hitam dan coklat di atas permukaan kulitnya serta ianya mudah
dikupas. Isinya pula berwarna putih atau krim pucat. Setiap tandan mempunyai
berat kira-kira 10 kilogram, 7 hingga 8 sikat
dengan bilangan 90 hingga 100 biji buah pisang . Manakala setiap sikat
mengandungi 10 hingga 14 biji buah pisang. Panjang buah pisang Rastali ialah
kira-kira 12.0 sentimeter dan lebarnya berukuran 3.7 sentimeter.
Terdapat
pelbagai jenis pisang yang tumbuh subur di negara kita selain dari tiga jenis
pisang yang telah diterangkan. Ianya adalah seperti pisang Berangan, pisang
Masak Hijau, pisang Nipah, pisang Raja, pisang Tanduk, pisang Awak dan tidak
ketinggalan juga pisang Raja Udang yang dipercayai tidak boleh dimakan. Satu
lagi jenis pisang yang kurang dikenali ramai iaitu pisang Kaki. Pisang ini unik
kerana bentuknya tidak menyerupai pisang-pisang biasa yang lain. Buahnya
berbentuk bulat, berisi ranggup dan berbiji ini berasal dari keluarga Ebenacea.
CIRI-CIRI
DAN SIFAT PISANG
Pisang
adalan buah klimak terik kerana sifat peningkatan kadar respirasi ketara ynag
sejajar dengan berlakunya peranuman. Manakala morfologi pokoknya pula tergolong
dalam jenis tumbuhan herba kerana sifat
tumbuhnya yang cepat dari batang palsu (pseudostem),
iaitu tangaki daun yang tersusun seperti gelang sepusat dan muncul daripada
umbisi atau batang utama. Manakala pengkelasan pisang bergantung kepada
kultivarnya iaitu saiz, bentuk, warna kulit, tekstur dan citarasa pisang.
CARA
PENANAMAN PISANG
Pokok
pisang mudah ditanam dan berbuah sepanjang tahun. Ianya tidak memerlukan
penjagaan rapi tetapi hanya berbuah sekali sahaja sepanjang tempoh hayatnya.
Walaubagaimanapun, untuk tujuan penanaman secara besar-besaran dan bagi
mendapatkan hasil yang lebih baik, kaedah-kaedah tertentu mestilah diikuti.
Sebagi langkah permulaan, kawasan penanaman pokok pisang mestilah dibersihkan
terlebih dahulu. Setelah itu, anak-anak pisang sudah sedia ditanam dengan jarak
kira-kira 3 hingga 4 meter antara satu dengan yang lain. Namun begitu, jarak
penanaman adalah bergantung kepada jenis pisang. Sedikit bahan organik diisikan
ke dalam lubang sebelum anak-anak
pisang ditanam. Bahan organik tersebut boleh dicampurkan dengan bahan-bahan
yang lain seperti kapur mengikut keperluan .
PENUAIAN
DAN PERANUMAN PISANG
Buah
pisang sedia dituai selepas ditanam kira-kira dua setengah hingga lima bulan.
Namun begitu, penuaiannya adalah bergantung kepada jenis pisang tersebut.
Pisang mula dipetik pada peringkat hijau matang. Kebiasaannya, pisang
diranumkan dan tidak dibiarkan masak di pokok. Ini adalah untuk mengelakkan
pisang masak tidak serata atau dimakan oleh haiwan.
Untuk
jumlah yang sedikit, memadailah dengan hanya membalut pisang dengan kain atau
guni jerami. Ia bertujuan supaya suhu yang terperangkap membolehkan pisang
masak dengan baik. Manakala kebanyakan peruncit tempatan meletakkan kalsium
karbida ke dalam kelompok pisang yang hendak diranumkan.Jika hendak memastikan
pisang masak pada waktu yang dikehendaki, caranya ialah dengan mengawal
peranumannya. Ia dilakukan dengan mengubahsuaikan atmosfera sekeliling berserta
penyimpanan pada suhu rendah, 14 C. Kaedah peranuman jenis ini dilalukan ke
atas pisang-pisang yang hendak dieksport.
BINATANG
PEROSAK DAN PENYAKIT POKOK PISANG
Binatang
perosak yang seringkali menyerang pokok pisang ialah bubuk atau kumbang.
Masalah ini dapat diselesaikan dengan menggunakan racun serangga seperti
dieldrin. Manakala penyakit yang boleh memusnahkan pokok pisang ialah
Anthracnose. Gejala ini berlaku apabila bintik-bintik telah muncul dan
menyerang buah pisang yang sedang dalam penghantaran dengan menggunakan kapal.
KEGUNAAN
PISANG
Sejak
turun temurun lagi, pisang telah digunakan oleh nenek moyang kita dalam
kehidupan seharian mereka. Kegunaan pisang adalah pelbagai, ia meliputi akarnya,
batangnya, daunnya, buahnya mahupun jantung pisang. Pada hari ini, kegunaan
pisang adalah lebih meluas lagi . Ia bukan setakat sumber makanan, malah
diusahakan dengan menggunakan teknologi moden sehingga mampu mendatangkan
pulangan yang lumayan.
Antara
kegunaan pisang adalah seperti berikut:
Sumber
Makanan
Kegunaan
pisang sebagai sumber makanan boleh dikategorikan kepada dua; pisang untuk
dimakan segar atau mentah (dessert
banana).Nama botani bagi pisang ini ialah Musa acuminata.Antara kultivar yang tergolong di dalamnyaialah
pisang Emas, pisang Rastali dan pisang Berangan.
Manakala
pisang yang dimakan selepas dimasak atau diproses (cooking banana) dikenali
dengan nama botani sebagai Musa
Paradisiaca dan antara kulvitar yang popular dalam jenis ini ialah pisang
Awak, pisang Nangka, pisang Tanduk, pisang Raja dan pisang Nipah.
Oleh
itu, pisang menjadi buah yang bersifat pelbagai. Selain dimakan segar ia juga dijadikan campuran kepada koktel
buah, salad buah-buahan , campuran kepada yogurt, puding aiskrim malah inti
untuk pai dan tat. Manakala jantung
pisang
pula boleh dijadikan ulam yang boleh dimakan bersama sambal mahupun aneka kuah.
Bukan setakat ini sahaja, malah umbut pisang iaitu bahagian yang lembut di
tengah-tengah batang pisang juga boleh dijadikan berbagai hidangan yang lazat.
Pisang boleh juga dinikmati dengan pelbagai cara
seperti digoreng untuk dijadikan kerepek, digoreng dengan bersadur tepung,
direbus, dibuat pengat ataupun disalai mahupun disajikan dalam pelbagai bentuk
jenis kuih atau kek. Untuk tujuan pasaran komersial, pengeluaran pisang telah
diperluaskan seperti diproses menjadi sebahagian makanan bijirin, tepung dan
digunakan untuk kepelbagaian formulasi makanan.
Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) adalah antara agensi yang
terlibat di dalam pengusahaan pisang secara besar-besaran. Agensi ini juga
telah menjalankan kajian tentang pemprosesan tepung pisang, pure pisang,
minuman, cuka pisang, kepingan pisang sebagai bahan pencampur di dalam pembuatan
ais krim dan kek. Menurut agensi ini, untuk membuat kerepek, pisang Tanduk
adalah yang paling terbaik di samping menggunakan pisang Nangka dan pisang
Berangan. Tepung pisang pula diproses dari menggunakan pisang Emas selain dari
pisang Nangka, pisang Berangan, pisang Rastali dan juga pisang Embun.
Bagaimanapun, rasa pisang Nangka yang agak masam sesuai juga kalau dicampurkan di dalam rumusan
makanan bayi.
Adat
Istiadat
Di
kalangan masyarakat India, pokok pisang memainkan peranan penting dalam
kehidupan mereka. Daun pisang telah lama dikenali sebagai bekas mengalas makana
bagi mengantikan pinggan. Selain itu juga, pokok pisang turut digunakan dalam
upacara-upacara seperti perkahwinan dan kematian.
Dalam
majlis perkahwinan orang Melayu di Negeri Sembilan pula, daun pisang dan batang
pisang digunakan sebagai pengalas dan penutup lapisan pulut kuning serta wajik
sebelum dicacakkan batang pisang bagi mencucuk bunga telur nasi pancak yang
bakal dibawa ke rumah pengantin lelaki.
Daun
pisang juga sering digunakan sebagai pembungkus pulut membalas pemberian beras
yang dibawa oleh para tetamu di dalam bakul sia. Batang pisang yang tegak
berdiri lazimnya digunakan bagi mencucuk bunga telur di luar rumah untuk
diberikan kepada tetamu tatkala hendak pulang. Selain itu, batang pisang juga
memang telah lama dikenali sebagai penegak sirih junjung tradisional dalam
majlis pertunangan dan menghantar belanja.
Di
kalangan masyarakat Melayu pula, terdapat nasi kunyit atau disebut juga sebagai
pulut kuning. Mengikut setengah-setengah tempat, ia biasanya dibahagi-bahagikan
kepada para jiran sebagai tanda kesyukuran jika sesuatu niat itu dimakbulkan
oleh Tuhan. Nasi atau pulut ini sering dihiasi dengan pelapik daun pisang yang
digunting zig zag sama ada sebagai pengalas pulut ataupun lauk pauk seperti
rendang, kari kering, timun, telur dadar, udang goreng dan sebagainya.
Mayarakat
berketurunan Jawa juga sering mengadakan kenduri kematian, perkahwinan,
pertunangan, cukur jambul, berkhatan
dan berlenggang perut dengan menyediakan hidangan nasi ambang yang diisi di
dalam dulang besar beralaskan daun pisang yang dinamakan 'sanggir'.
Para
tetamu yang hadir cuma menjamahnya sedikit kemudian dibawa pulang dengan
mengisi bahagian masing-masing di dalam bekas yang diperbuat dari daun pisang
yang berbentuk empat persegi yang dipanggil 'takir'. Satu hidangan hanya akan
dikhaskan untuk 4 atau 5 orang sahaja. Lauk-pauk dan hidangan iringan yang disediakan juga berbeza mengikut acara
majlis.
Perubatan
Getah pisang didapati mustajab untuk
menyembuhkan luka. Caranya ialah dengan menyapukan getah pisang pada luka.
Hasilnya, darah berhenti mengalir dan luka segera sembuh. Di samping itu juga,
ia boleh digunakan sebagai penawar mengubati bisa akibat dipatuk ular atau
disengat kala jengking.
Selain
itu, bunga pisang boleh direbus dan airnya diminum bagi mengubati penyakit
kencing manis. Kulit pisang boleh digunakan untuk merawat kudis. Caranya ialah
dengan menggosokkan kulit pisang pada kudis, dua atau tiga kali sehari sehingga
kudis sembuh.
Buah
pisang pula boleh menjadi penyembuh kepada masalah sembelit. Caranya ialah
dengan mengisar halus dua biji pisang bersama dua gelas air. Kemudian sejukkan
jus tersebut di dalam peti ais selama setengah jam dan amalkan meminumnya
sebanyak dua kali sehari. Jus pisang ini boleh melegakan penyakit ulser dan
penyakit gastritis atau radang perut.
Di
samping itu juga, menurut perubatan Cina, pisang Kaki dipercayai amat berkesan
untuk meredakan demam. Serbuk putih yang terdapat di permukaan buahnya baik untuk
paru-paru dan jantung. Pisang jenis ini juga dipercayai berkhasiat dalam
menurunkan tekanan darah tinggi, meningkatkan pengaliran darah dalam pembuluh
darah koronari, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu.
Kegunaan
Harian
Sejak
dahulu lagi masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu telah mengenali
daun pisang yang berbentuk lebar itu sebagai pelapik dan pembungkus makanan.
Hidangan yang berbungkus daun pisang menerbitkan bau harum serta menbangkitkan
selera pemakannya.
Nasi
lemak,pulut inti, pulut panggang, kuih koci, kuih lapis, lemang, lontong,
lepat, nagasari, puteri dua sebilik, abuk-abuk sagu, tepung peklita, tapai, dan
berbagai lagi kuih tradisional menggunakan daun pisang sebagai pembungkusnya.
Bentuk-bentuk pembungkusnya pula mepunyai ciri-ciri keindahan yang tersendiri
seperti panjang, tiga segi, bentuk sampul surat, empat persegi dan sebagainya.
Selain
dari itu juga, daun pisang digunakan sebagai penutup hidangan untuk dihantar ke
rumah jiran di kampung-kampung ketika bulan puasa dan sebagainya. Daun pisang
juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana ianya dapat mengantikan
minyak masak semasa memanggang ikan agar ikan tidak melekat.
Masyarakat
Melayu di Johor pula menggunakan daun pisang sebagai bahan mencuci usus ayam setelah
dibelah. Kemudian bilah buluh runcing dijolok bersama daun pisang ke dalamnya
untuk mengeluarkan kekotoran. Menurut orang-orang tua daun pisang digunakan
bagi menghilangkan bau hamis usus ayam di samping dapat membersihkannya. Usus
yang sedia dibelah dua diramas dengan daun pisang bercampur dengan sedikit air
sehingga semua kekotoran keluar kemudian barulah dibilas beberapa kali hingga
ianya betul-betul bersih.
Satu
ketika dahulu, batang pisang telah digunakan sebagai tempat mengalas kepala
mayat sewaktu memandikannya di Sarawak dan di beberapa tempat di Semenanjung
Malaysia. Ini kerana batang pisang memang mudah didapati dan ianya lembut.
Bagaimanapun kini, peranan batang pisang ini telahpun diambil alih oleh tempat
mayat yang khas yang diperbuat dari aluminium yang tidak membasahkan lantai
kerana ianya mempunyai saluran air ke longkang di luar rumah.
Antara
bahagian pokok pisang yang sering digunakan dalam kehidupan seharian ialah
pelepah pisang. Para surirumahtangga seringkali menggunakan pelepah pisang
untuk membersihkan kerang.
Kraftangan
Di
kalangan masyarakat Melayu lama di Pantai Timur telah lama menggunakan tali
pisang dalam proses mencelup benang losing bagi menenun kain cindai atau kain
ikat. Tali pisang yang dibuat dari batang pisang 'gala' yang kuat, kukuh dan
tidak rapuh telah digunakan bagi mengikat benang losing tersebut. Daun pisang
yang telah kekuningan atau kering pula digunakan sebagai pembalut sebelum
diikat dan dicelup.
Manakala
di Sarawak pula, satu usaha telah dibuat bagi menghidupkan kembali seni
kraftangan yang dibuat dari pelepah
pisang.
Kecantikan
Air
dari batang pisang dikatakan berkhasiat bagi melebatkan rambut, caranya mudah
sekali hanya perlu membuat lubang pada batang pisang kemudian ditutup dengan
plastik dan dibiarkan semalaman hingga air bertakung didalamnya lalu disapukan
ke kulit kepala.
Manakala
kulit pisang Emas pula digosokkan pada kulit untuk mendapatkan wajah yang harus
dan licin.
Kegunaan
pokok pisang adalah tidak terbatas, antara lain ialah dalam;
Kepercayaan
Spiritual
Di
dalam kepercayaan masyarakat Melayu, kononnya seseorang yang ingin memperolehi
kekuasaan seperti 'Orang Minyak'
dikehendaki betapa di bawah pokok pisang bagi tempoh yang tertentu dan meminum
air dari pokok pisang.
Pembiakan
Kupu-kupu
Sebenarnya,
kaedah ini telah dipelopori oleh sebuah zoo di London. Caranya ialah membiakkan
beberapa jenis kupu-kupu dengan memberikan makanan berupa pisang Emas yang
masak ranum atau yang hampir busuk.
PENUTUP
Populasi
rakyat yang meningkat dari tahun ke setahun telah mendorong kerajaan untuk
mengimport bahan-bahan keperluan dari luar. Ini termasuklah bahan makanan
seperti buah-buahan. Pengimportan bahan-bahan ini semakin bertambah lantaran
kedudukan ekonomi Malaysia yang stabil. Walaupun ia berjaya menampung keperluan
rakyat, namun sedikit sebanyak telah mendatangkan kerugian terhadap buah-buahan
tempatan. Tambahan pula, buah-buahan import digembar-gemburkan mempunyai
khasiat yang tinggi berbanding buah-buahan tempatan.Namun begitu, ramai yang
tidak mengetahui bahawa buah tempatan seperti pisang mengandungi khasiat yang
tinggi. Dikatakan bahawa selain karbohidrat, pisang juga kaya dengan vitamin C,
B6, B2, folate, air, tenaga, kalium, karoten, protein, fiber, abu, kalsium,
fosforus, natrium, zat besi dan niasin. Menyedari hakikat itu, maka pelbagai
agensi seperti MARDI berusaha untuk menaiktaraf semula kedudukan buah-buahan
tempatan di mata masyarakat. Pokok pisang yang dulu dibiarkan tumbuh melata di
belakang rumah kini terdapat di dalam menu di hotel-hotel terkemuka. Bukan itu
sahaja, pisang juga telah pun ditanam dan diusahakan secara besar-besaran. Kini
banyak kawasan perladangan pisang telah diusahakan seperti di Raub, Teluk Intan
dan Kuala Kangsar. Hari ini, dengan peranan semua pihak buah-buahan tempatan
semakin mendapat tempat bukan sahaja di tanahair sendiri malah ia telah
menyumbangkan keuntungan yang besar kepada ekonomi negara. Dengan ini,
terbuktilah bahawa pisang memang mempunyai nilai yang unggul kerana ia bukan
sekadar pencuci mulut malah mampu memenuhkan isi poket.
BIBLIOGRAFI
Betty
Molesworth Allen, 1981, Malaysian Nature
Handbooks: Common Malaysian Fruits, Longman Malaysia Sdn. Bhd, Singapore.
Mohamad
Isris bin Zainal Abidin, 1990, Cultivation
of Tropical Fruits, HI-TECT Enterprise, Kuala Lumpur.
J.A
Saman, 1980, Tropical Agriculture Series: Tropical Fruits, Longman, London dan
New York.
Fauziah
Hassan,1989, Keistimewaan Pokok Pisang
dari Pucuk hingga ke Akar, Pisang dalam Berbagai Kegunaan, Wanita Disember
1989, Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, Hal. 40-42.
Faizah
Din, 1997, Pisang di Sebalik Misteri dan
Kandungan Vitaminnya, Wanita Mei 1997, Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala
Lumpur, Hal. 122-124.
-------------------------------,
1996, Pisang Kaki Turunkan Tekanan Darah
Tinggi, Mastika Disember 1996, Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, Hal.
27.