KANDUNGAN

Pendahuluan

Tokoh-tokoh:

AL-RAZI

AL-ZAHRAWI

IBN SINA

Lampiran

Senarai Rujukan

TOKOH-TOKOH PERUBATAN ARAB

PENDAHULUAN

Zaman Pertengahan menyaksikan Tamadun Islam berkembang dengan jayanya dalam pelbagai bidang. Contoh yang paling ketara ialah dalam bidang perubatan yang menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh agung. Antaranya ialah Al-Razi, Al-Zahrawi dan Ibn Sina. Ketiga-tiga tokoh ini telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna bukan sahaja di Tanah Arab malahan untuk perubatan di seluruh dunia. Mereka telah menghabiskan seluruh tenaga dan usia mereka demi memastikan umat Islam tidak dipandang rendah oleh masyarakat lain.

Usaha yang tidak pernah kenal erti jemu itu meletakkan nama mereka sebaris dengan tokoh-tokoh perubatan Eropah yang lain malahan kadangkala lebih tinggi daripada tokoh-tokoh tersebut. Sebagai contohnya ialah Al-Razi dan Ibn Sina yang dipandang lebih tinggi daripada Hippocrates dan Galen. Justeru, kandungan seterusnya akan membincangkan mengenai biodata, sumbangan dan hasil karya ketiga-tiga tokoh tersebut untuk tatapan bersama sebagai satu penghargaan di atas sumbangan mereka kepada dunia khasnya dalam bidang perubatan.

AL-RAZI (864-930M)

BIODATA

Al-Razi merupakan seorang tokoh perubatan Arab yang terkenal pada Zaman Pertengahan. Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariya tetapi di kalangan masyarakat Eropah, beliau lebih dikenali dengan nama Rhazes. Beliau yang berbangsa Parsi dilahirkan di Rayy berhampiran Tehran, Iran pada tahun 864M bersamaan 251H. Beliau pernah digelar sebagai Jalinus Arab (Galen of the Arab) dan pernah menjadi guru kepada Ibn Sina, seorang lagi tokoh perubatan Arab yang agung.

Pada zaman remajanya, Al-Razi lebih berminat dengan muzik dan nyanyian. Walau bagaimanapun, keinginannya terhadap ilmu pengetahuan menyebabkan beliau beralih ke bidang alkemi, kimia, falsafah, logik, matematik dan fizik. Ketika berusia 40 tahun, beliau telah ke Baghdad untuk menuntut ilmu perubatan. Bidang perubatan seterusnya telah menarik minat beliau sehinggakan hampir seluruh hidupnya dihabiskan dalam bidang ini.

Memandangkan minatnya yang tinggi dalam bidang tersebut, beliau telah dilantik sebagai ketua di sebuah hospital di Rayy setelah kembali dari Baghdad. Reputasi yang cukup membanggakan menyebabkan beliau seterusnya telah diberi kepercayaan untuk menjadi Pengarah di sebuah hospital utama di Baghdad semasa pemerintahan Adhud Daulah.

Adhud Daulah telah meminta Al-Razi untuk membina hospital baru dan untuk itu, Al-Razi telah melakukan satu ujikaji. Beliau telah meletakkan kepingan-kepingan daging di beberapa tempat di bandar Baghdad dan kemudian mengukur tahap kerosakan daging tersebut. Beliau kemudian menentukan tapak hospital dengan memilih kawasan di mana kepingan daging tadi mengalami tahap kerosakan yang paling rendah.

Sebaik sahaja tamat tempoh tugasannya sebagai Pengarah Hospital di Baghdad, beliau kembali ke kampung halamannya di Rayy di mana beliau telah mencurahkan bakti mengajar mengenai kesihatan di hospital tempatan dan menyambung minatnya dalam bidang penulisan. Beliau telah menghasilkan lebih 200 buah buku dan sebahagiannya adalah dalam bidang perubatan.

Al-Razi sememangnya merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa. George Sorton, seorang penulis terkenal pernah menulis di dalam bukunya, 'Pengenalan Kepada Sejarah Sains' mengatakan, "Al-Razi merupakan seorang saintis Islam yang terbaik pada Zaman Pertengahan". Selepas 66 tahun mengerah tenaga untuk memastikan bidang perubatan berkembang maju, Al-Razi akhirnya meninggal dunia pada tahun 930 M.

SUMBANGAN

Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam pelbagai bidang. Beliau menjadi perintis dalam bidang pediatrik (berkaitan kanak-kanak), obstetrik (ilmu perbidanan) dan ophthalmologi (berkaitan mata). Walau bagaimanapun, jasa beliau dalam bidang perubatan memang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau digelar "Bapa Pediatrik" oleh ahli sejarah kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengubati penyakit kanak-kanak. Beliau juga orang yang pertama mengenalpasti penyakit 'hay fever' dan penyebabnya.

Al-Razi juga adalah orang yang pertama memperkenalkan alkohol (Bahasa Arab: Al-Kuhl) untuk tujuan perubatan. Beliau juga adalah pakar bedah yang terkemuka dan orang yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius. Beliau juga menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau mengaitkan ini sebagai hasil pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan.

Al-Razi adalah orang yang pertama membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa dan juga saintis pertama yang membincangkan mengenai pembesaran dan pengecilan pupil mata. Beliau menerangkan bahawa reaksi tersebut berlaku kerana tindak balas terhadap keamatan cahaya.

Al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litoriti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil supaya senang dikeluarkan melalui saluran kencing. Selain daripada itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang yang pertama membezakan kedua-dua penyakit ini seterusnya membuat kajian sistematis mengenai penyakit tersebut. Ini dicatatkan dalam buku beliau yang bertajuk Al-Judari wa al Habsah. Al-Razi juga telah memperkenalkan perkara-perkara berikut dalam ilmu farmasi:

    1. Penggunaan ubat untuk melawaskan pembuangan air besar secara lembut
    2. Penggunaan air sejuk untuk menyembuhkan demam yang melarat
    3. Penciptaan benang seton dan pembakaran tisu untuk kes-kes luka

Al-Razi juga menekankan hubungan di antara doktor dan pesakit. Beliau menyarankan agar wujudnya ikatan kepercayaan antara kedua-dua pihak ini: "Komen yang positif daripada doktor akan menguatkan semangat pesakit, membuatkan mereka rasa lebih selesa serta membantu proses pemulihan". Beliau juga mengingatkan kepada para pesakit: "Bertukar-tukar doktor pula akan hanya membazirkan kesihatan, masa dan wang pesakit itu sendiri".

HASIL KARYA

Al-Razi telah menghasilkan 237 buah buku di mana 140 buah daripadanya adalah berkaitan bidang perubatan. Sepuluh buah daripada buku-buku perubatan tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Antara kitab yang telah beliau hasilkan ialah Kitab al-Mansuri, Kitab al-Hawi Fit-Tibb, Kitab al-Muluki dan Kitab al-Judari wa al-Hasabah.

Kitab al-Hawi Fit-Tibb merupakan karya beliau yang termasyhur. Kitab ini juga dikenali sebagai 'Comprehensive Book' yaang merangkumi ilmu perubatan patologi dan terapi dari sumber-sumber Yunani, India dan Arab. Sepanjang hidupnya, beliau telah membuat pelbagai kajian mengenai ilmu perubatan. Beliau akhirnya telah menghimpunkan kesemua pengalaman perubatan tersebut ke dalam Ensiklopedia Perubatan yang berjumlah 20 jilid. Kitab al-Hawi merupakan pecahan terbesar di mana ia meliputi 9 jilid. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan nama 'Liber Continens' oleh doktor perubatan Yahudi berbangsa Sicily, Faraj Ibn Sallim (Farragut) pada 1279M dan diulang cetak beberapa kali pada 1509M di Venice dan juga 1528M, 1578M dan 1745M di Paris.

Kitab al-Hawi telah menjadi rujukan yang utama di Perpustakaan Fakulti Perubatan Paris di Perancis pada 1395M. Menurut Ali Ibn al-Abbas al-Majusi, kitab tersebut mengandungi:

    1. Cara menjaga kesihatan
    2. Kaedah mengubat penyakit melalui pemakanan
    3. Cara mengenal tanda-tanda penyakit

Kitab al-Mansuri pula merupakan kitab perubatan pertama yang ditulis oleh

beliau. Ia dinamakan sempena nama pemerintah Rayy pada masa itu iaitu Mansur Ibn Ishaq. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1480M di Milan dan dikenali dengan nama 'Liber AlMansoris'. Ia mengandungi 10 jilid dan sebahagian daripadanya telah diterbitkan ke dalam bahasa Jerman dan Perancis. Terjemahan jilid ke-9 yang telah ditulis oleh Gerard Cremona dengan nama 'Nonus Al-Mansuri' adalah teks terkenal di Eropah sehingga kurun ke-16.

Al-Razi dalam bukunya ini membincangkan mengenai teori perubatan dan definisinya secara umum; diet dan dadah serta kesannya kepada badan manusia; penjagaan ibu dan anak, penyakit kulit, kebersihan mulut dan kesan persekitaran kepada kesihatan. Beliau juga memperkatakan mengenai anatomi di mana ia membincangkan mengenai kepelbagaian organ badan manusia dan ransangan terhadap saraf motor.

Kitab al-Judari wa al-Hasabah pula adalah kajian menyeluruh yang pertama berkenaan penyakit cacar dan campak. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin buat kali pertama pada 1565M dan kemudian ke dalam bahasa-bahasa lain dan diulang cetak sehingga 40 edisi di antara 1498-1866M. Ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh William A. Greenhill di London pada 1848M. Tesis berkenaan kedua-dua penyakit ini diiktiraf sebagai kajian sistematis yang sulung dalam sejarah perubatan. Pada masa yang sama juga, beliau telah menyarankan beberapa petua untuk merawat kedua-dua penyakit tersebut.

Selain daripada bidang perubatan, Al-Razi juga pernah menghasilkan buku berkenaan ilmu kimia seperti Kitab al-Asrar dan sebuah lagi buku yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin dengan nama 'Liber Experimentorum'. Beliau juga menghasilkan 21 buah buku berkenaan alkemi selain buku-buku dalam bidang fizik, matematik, astronomi dan optik. Sejumlah buku-buku beliau termasuklah Jami fi-al-Tibb, Maqalah fi-al-Hasat fi Kuli wa al-Mathana, Kitab al-Qalb, Kitab al-Mafasil, Kitab al-'Ilaj al-Ghoraba, Bar al-Sa'ah dan Al-Taqseem wa al-Takhsir telah diterbitkan ke dalam pelbagai bahasa. Sehingga kini, kira-kira 40 buah manuskrip beliau masih lagi disimpan dengan rapinya di perpustakaan dan muzium di Iran, Paris, Britain dan Rampur (India).

Seperti juga tokoh-tokoh lain yang terkenal dalam sejarah Islam, karya Al-Razi diakui amat mengkagumkan dan setiap hasil kerja beliau sentiasa diingati ramai. Tidak mustahillah jika sumbangannya amat mempengaruhi perkembangan sains secara umum dan perubatan khususnya.

AL-ZAHRAWI (936-1013M)

BIODATA

Abu Al-Qasim Al-Zahrawi merupakan seorang lagi tokoh perubatan Arab yang terkenal. Beliau dilahirkan pada tahun 936M di Zahra, Cordova, ibu negeri Sepanyol. Nama sebenar tokoh yang dikenali sebagai Albucasis di Eropah ini ialah Abul Qasim Khalaf ibn Al-Abbas. Al-Zahrawi pernah berkhidmat dengan Raja Sepanyol, Raja Al-Hakam II. Penglibatan beliau dalam bidang perubatan lebih tertumpu kepada bidang pembedahan. Umum mengenalinya sebagai pakar bedah yang terbaik pada Zaman Pertengahan dan tidak mustahillah ketokohannya itu menyebabkan beliau digelar sebagai "Bapa Pembedahan Moden"

Selain daripada bidang pembedahan, beliau juga pakar dalam bidang pergigian. Beliau telah memperkenalkan banyak pembaharuan dalam bidang ini. Selain daripada itu, beliau juga telah menghasilkan pelbagai jenis karya yang sentiasa menjadi rujukan pada masa kini. Banyak di antara buku-bukunya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Selepas 77 tahun menumpukan seluruh tenaga dalam bidang perubatan, Al-Zahrawi akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1013M dengan meninggalkan banyak jasa.

SUMBANGAN

Al-Zahrawi sememangnya seorang pakar bedah yang dikagumi dan dihormati ramai. Ramai pesakit dan pelajar yang datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan dan meminta nasihat. Menurut Will Durant, Sepanyol pada masa tersebut telah menjadi tumpuan orang Eropah untuk menjalani rawatan pembedahan. Dr. Campbell dalam bukunya, "Sejarah Perubatan Arab" menyatakan bahawa prinsip perubatan Al-Zahrawi telah menjadi asas Kurikulum Perubatan Eropah.

Sebagai seorang pengkaji alat-alat pembedahan, Al-Zahrawi terkenal dalam menghasilkan alat-alat untuk mengenalpasti bahagian dalaman badan seperti telinga. Beliau juga memperkenalkan teknik pembakaran tisu dalam 50 jenis pembedahan yang berbeza. Sebagai tambahan, Al-Zahrawi juga menyumbang kepada penyediaan ubat-ubatan dan aplikasi teknik-teknik dalam pembedahan. Beliau juga menjadi orang yang pertama menceritakan dengan terperinci mengenai hemofilia dan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat.

HASIL KARYA

Al-Zahrawi juga terkenal kerana penghasilan Ensiklopedia iaitu 'Kitab al-Tasrif' yang berjumlah 30 jilid. Kitab ini telah menjadi panduan kepada doktor-doktor pembedahan sepanjang abad. Di dalam kitabnya ini, beliau telah memberi penjelasan secara terperinci dan tersusun mengenai perubatan Islam. Pada jilid terakhir buku ini terdapat ilustrasi lebih daripada 200 alat pembedahan yang mana kebanyakannya dicipta sendiri oleh beliau.

Kitab al-Tasrif ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gerard Cremona pada Zaman Pertengahan. Ia telah dicetak dalam bahasa Latin dan Yahudi dengan nama 'Medical Vademecum' pada 1497M. Bab berkenaan pembedahan yang dicatatkan dalam buku ini adalah suatu tesis pembedahan berilustrasi yang julung-julung kalinya. Ia mengandungi 3 bahagian iaitu:

    1. Berkenaan pembekaman (kaedah mengeluarkan darah) bagi penyakit 'apoplexy' (penyakit yang disebabkan pecahan urat darah di otak mengakibatkan kehilangan deria)
    2. Pembedahan yang dibuat denagn pisau belah (skalpel) dan pembedahan mata, telinga dan mulut
    3. Pembedahan bagi pelbagai bentuk pecah tulang dan seliuh serta berkaitan kelahiran anak

Al-Zahrawi juga pakar dalam bidang pergigian dan pembedahan mulut. Bahagian yang terakhir dalam buku ini membincangkan mengenai penyakit gigi dan pengubatannya. Ia mengandungi lakaran-lakaran alat yang diciptanya. Beliau juga mengenalpasti langkah-langkah untuk menyediakan gigi tiruan yang dibuat daripada tulang haiwan.

Kitab Al-Tasrif sememangnya amat bernilai. Justeru, beberapa edisi buku ini (bab pembedahan) telah diterbitkan di Venice (1497M), Basel (1541M) dan Oxford (1778M). Ia juga telah diiktiraf sebagai teks rasmi pembedahan di universiti-universiti di Salerno, Italy, Montpellier di Perancis dan beberapa buah universiti di Eropah untuk hampir 5 kurun lamanya.

IBN SINA (981-1037M)

BIODATA

Jika disebut Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah, mungkin ramai yang tidak mengenali beliau namun jika disebut Ibn Sina, semua orang pastinya tidak akan melupakan tokoh perubatan Arab berbangsa Parsi yang terkenal ini. Ibn Sina dilahirkan pada tahun 981M di Afshana berhampiran Bukhara (kini dikenali sebagai Uzbekistan). Beliau yang lebih dikenali sebagai Avicenna di kalangan masyarakat Eropah merupakan pakar perubatan, sains, falsafah, muzik, matematik, puisi dan kaji bintang pada masa tersebut. Pengikut-pengikutnya menggelarkan beliau sebagai "Putera Perubatan".

Walaupun lahir dalam keluarga seorang pemungut cukai, beliau cukup bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang amat mementingkan pendidikan agama dan keduniaan. Pada usia 10 tahun, beliau telah menghafaz Al-Quran dan memahami mengenai asas-asas sains. Beliau belajar logik daripada Abu Abdullah Natili, seorang Ahli Falsafah terkenal pada masa itu. Beliau juga mengulangkaji pelbagai jenis buku Yunani dan Islam demi untuk menambahkan kefahamannya dalam bidang falsafah, undang-undang, matematik dan fizik. Beliau pernah membaca buku "Metafizik Aristotle" sebanyak 40 kali semata-mata untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.

Pada zaman remajanya, beliau telah menunjukkan ketokohan dalam bidang perubatan sehingga dikenali ramai. Sebagai contoh, pada usia 17 tahun, beliau telah berjaya menyembuhkan Putera Raja Bukhara, Nooh Ibn Mansoor selepas semua pakar perubatan yang terkenal gagal dalam usaha tersebut. Raja Mansoor amat terhutang budi dan menawarkan hadiah yang lumayan namun beliau menolak dan hanya meminta kebenaran untuk menggunakan perpustakaan DiRaja..

Selepas kematian ayahnya ketika berusia 20 tahun, beliau telah mengembara ke Jurjan di mana beliau telah bertemu dengan Abu Raihan Al-Biruni. Kemudian beliau telah berhijrah ke Rayy dan kemudian ke Hamadan. Di Hamadan, beliau telah mengarang buku Al Qanun Fit Tibb yang cukup terkenal. Di sini juga, beliau telah mengubati Shams al-Daulah, Raja Hamadan. Dari Hamadan, beliau ke Ispahan (Iran) di mana beliau telah menyempurnakan penulisannya dalam pelbagai bidang. Beliau merancang meneruskan pengembaraannya namun terpaksa kembali semula ke Hamadan kerana faktor kesihatan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di sana pada tahun 1037M dalam usia 56 tahun. Kematian beliau cukup memberi kesan. Potret beliau telah digantung di dinding Fakulti Perubatan di Universiti Paris sebagai mengenang jasa yang telah disumbangkan dalam bidang perubatan.

SUMBANGAN

Ibn Sina dianggap sebagi 'Bapa Perubatan' oleh penulis-penulis Barat kerana beliau telah menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen, pengalaman ahli-ahli perubatan India dan Parsi serta hasil pengalaman beliau sendiri untuk diamalkan. Beliau telah menjalankan kajian terhadap tubuh manusia yang dikenali sebagai anatomi. Beliau menyarankan kepada pakar-pakar bedah dan doktor untuk meletakkan asas ilmu pengetahuan mereka dalam bidang anatomi. Hasil daripadanya, beliau mendapati aorta mengandungi 3 injap yang akan terbuka dan tertutup dengan sendirinya semasa jantung mengepam darah.

Beliau juga memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung untuk mengenalpasti ketidakseimbangan hormon yang berkenaan. Apa yang menarik mengenai ilmu ini ialah beliau dapat memulihkan pesakit yang menghadapi masalah sakit jiwa kerana perpisahan dengan kekasihnya. Beliau turut memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan menemui ilmu yang kita kenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatis di mana ia menunjukkan perkaitan antara psikologi dengan kesihatan. Ibn Sina juga menyedari betapa pentingnya emosi dalam usaha pemulihan pesakit. Minatnya yang mendalam dalam bidang berkaitan kesan akal ke atas jasad menyebabkan banyak daripada hasil karyanya berkisar mengenai gangguan psikologi.

Ibn Sina merupakan doktor yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru adalah suatu penyakit yang boleh berjangkit. Beliau juga ada menceritakan simptom-simptom penyakit kencing manis (diabetes) dan masalah yang akan timbul daripadanya.

Selain daripada bidang perubatan, beliau juga memberi sumbangan dalam bidang kimia, matematik, fizik, muzik, astronomi dan lain-lain. Sebagai contohnya ialah dalam bidang fizik, beliau ada membincangkan mengenai kepelbagaian bentuk tenaga, haba dan cahaya serta konsep-konsep seperti tekanan, vakum dan ketakterhinggaan.

HASIL KARYA

Sepanjang hayatnya, Ibn Sina telah menghasilkan 250 buah buku dan 116 daripadanya adalah dalam bidang ilmu perubatan. Banyak daripada karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan juga ada beberapa yang ditulis dalam Bahasa Parsi.

Al Qanun Fit Tibb atau 'Peraturan Perubatan' adalah karya Ibn Sina yang termasyhur. Buku ini mempunyai pengaruh yang besar dalam ilmu perubatan di Eropah terutamanya pada Zaman Renaisans. Ia digunakan sebagai bahan rujukan, buku panduan dan seterusnya sebagai teks perubatan rasmi sehingga kurun ke-19 melebihi mana-mana buku perubatan yang lain. Buku ini terdiri daripada 14 jilid dan dianggap sebagai himpunan seluruh ilmu perubatan. Kebanyakan ilmu perubatan moden hari ini didasarkan kepada karya Ibn Sina sama ada dari segi penggunaan ubat, diagnosis mahupun pembedahan.

Pada abad ke-12, Gerard Cremona yang berpindah ke Sepanyol telah menterjemahkan Al Qanun Fit Tibb ini ke dalam bahasa Latin. Buku ini telah diulang cetak sebanyak 16 kali, 15 edisi dalam bahasa Latin dan satu lagi edisi adalah dalam bahasa Yahudi (Hebrew). Sementara itu, pada abad ke-16, ia telah dicetak sebanyak 21 kali. Pada 1930M pula, Cameron Gruner telah menterjemahkan buku ini ke dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk 'A Treatise on the Canons of Medicine of Avicenna'.

Al Qanun Fit Tibb adalah setanding dengan Al-Hawi oleh Al-Razi, Maliki oleh Ali Ibn Abbas mahupun hasil karya Galen. Kitab ini membincangkan mengenai ubat-ubatan, dadah (kira-kira 760 jenis), serangan penyakit di seluruh badan dari kepala hingga ke kaki seperti barah payudara, ketumbuhan otak, ulser di dalam perut di samping pelbagai penyakit hepatitis dan penyebabnya. Kitab tersebut juga ada menyebut mengenai penemuan anatomi yang telah diterima pakai pada masa kini. Ibn Sina juga menjadi saintis yang pertama menerangkan mengenai bahagian-bahagian berbeza pada mata seperti kornea, koroid, iris, retina, lapisan kanta dan lain-lain.

Dalam buku Al Qanun Fit Tibb ini juga, beliau menulis mengenai kajian tumbuh-tumbuhan di jilid yang kedua. Beliau telah membahagikan bahagian pertama jilid ini kepada 6 bab mengenai pengenalan campuran ubat-ubat dadah melalui percubaan. Bahagian kedua pula mengandungi beberapa lukisan dan peraturan. Beliau telah mencatatkan ubat dadah yang boleh didapati dari setiap tumbuhan pada setiap bab.

Ibnu Sina juga ada menceritakan mengenai bentuk dan sifat tumbuh-tumbuhan dengan tepat dan membandingkan dengan tumbuh-tumbuhan yang serupa. Kemudian, beliau membuat ujian bagi setiap tumbuhan mengenai tabi'i dan sifat-sifatnya. Beliau ada menyebut mengenai tumbuh-tumbuhan herba, tanaman berbunga, kulat, rumpai-rumpai dan mengambil perhatian terhadap spesies yang berlainan begi setiap genus di samping membincangkan mengenai habitat tumbuhan tersebut.

Selain daripada kitab Al Qanun Fit Tibb, Ibn Sina juga mengarang Kitab al-Shifa iaitu 'Buku Kesihatan'. Ia adalah ensiklopedia perubatan dan falsafah yang merangkumi ilmu pengetahuan mengenai falsafah hinggalah sains. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan dikenali dengan nama 'Sanatio'.

Al-Razi juga menghasilkan 2 buah buku lagi dalam bidang falsafah iaitu al-Najat dan Israhat. Beliau telah mengklasifikasikan kedua-duanya kepada dua kategori iaitu ilmu teori dan ilmu amali. Al-Najat meliputi bidang fizik, matematik dan metafizik sementara Israhat meliputi ekonomi dan politik.

SENARAI RUJUKAN

INTERNET

http://www.erols.com/gmqm/euromed1.html

http://www.erols.com/gmqm/euromed2.html

http://www.erols.com/gmqm/euromed3.html

http://www.erols.com/gmqm/places1.html

http://www.erols.com/zenithco/razi.html

http://www.erols.com/zenithco/sina.html

http://www.erols.com/zenithco/zahravi.html

http://www.muslimsonline.com/~azahoor/index.html#biosc

http://www.evans.carson.amedd.army.mil/PHARM/clfps/thom/hist13.html