ISI KANDUNGAN
Pendahuluan
Lidah Buaya
Bawang Putih
Pokok Belimbing Buluh
Sirih
Asam Jawa
Halia
Senduduk
Rujukan
PENDAHULUAN
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada sebuah majalah tempatan , terdapat sebanyak 150000 spesies tumbuhan yang didapati di kawasan tropika dan sebanyak 6000 spesies dilaporkan mempunyai khasiat perubatan. Bagaimanapun, sebilangan kecil spesies didapati hampir pupus.Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap warga negara mengekalkan kewujudan spesies ini daripada pupus.
Terdapat banyak tumbuhan berubat yang boleh dijadikan tanaman hiasan.Dengan cara menanam tanaman seperti ini kawasan rumah, ia bukan sahaja mencantikkan dan menyegarkan keadaaan sekitaran, malahan ia berguna sebagai bahan ubatan.Amalan seperti ini akan menggelakkan tumbuhan berubat ini daripada pupus.
Sejak dahulu lagi, nenek-moyang kita telah menggunakan tumbuhan-tumbuhan ini dalam perubatan .Sebagaimana yang kita sedia maklum, pada masa kini usaha memodenkan perubatan traditional berunsur tumbuhan ini sedang berjalan rancak.Melalui tugasan ini, sedikit-sebanyak rahsia tumbuhan ubatan yang terdapat di sekeliling kita dapat dikupas.
Secara umumnya, bahagian-bahagian yang sering digunakan termasuklah akar, batang, bunga, pucuk dan daun. Bahagian-bahagian ini biasanya direbus dan diminum airnya. Terdapat juga tumbuhan yang diasah dan disapu airnya kepada bahagian yang sakit. Kaedah ini dipercayai dapat menyembuhkan sesuatu penyakit.
Sebahagian tumbuhan yang ingin digunakan sebagai ubat hendaklah dikenalpasti dengan betul. Ini kerana tumbuhan yang berbeza mungkin akan mempunyai khasiat yang berbeza dan sesetengahnya juga boleh memudaratkan. Tumbuhan ubatan juga perlu diambil dalam sukatan yang ditentukan.Ini kerana sukatan yang berlebihan kemungkinan besar akan memberikan kesan yang tidak baik.
Oleh itu, setiap ubatan yang dihasilkan daripada tumbuhan mestilah disediakan dan diambil dengan cara dan sukatan yang betul.
LIDAH BUAYA
Tumbuhan Kosmetik
Pokok lidah buaya atau nama saintifiknya Aloe vera merupakan salah satu tumbuhan ubatan yang dikaitkan dengan berbagai-bagai jenis penyakit. Famili bagi pokok lidah buaya ini ialah Aloaceae. Ia boleh dikatakan sebagai antara tumbuhan yang paling popular dalam perubatan traditional. Pokok ini kelihatan menyerupai pokok kaktus kerana ia tidak mempunyai helaian daun, sebaliknya daunnya diubahsuai menjadi seperti batang dan mempunyai duri di bahagian sisinya.
Pokoknya berisi dan lembap serta mempunyai jus yang melekit di dalam daunnya. Jus ini amat pahit jika dimakan . Terdapat kepercayaan bahawa kepahitan jus ini adalah sebab utama kemujaraban pokok ini dalam perubatan. Pokok ini mudah hidup terutamanya di tanah yang berpasir dan bercahaya matahari. Ia sering ditanam di kawasan rumah untuk tujuan perhiasan dan kegunaan perubatan.
Pokok yang berasal dari Afrika dan kawasan Mediteranean ini mempunyai jus yang digunakan untuk melembutkan kulit dan mengubati luka serta kudis. Jus lidah buaya ini terdapat di pasaran dalam bentuk losyen, krim, pelembab, pelindung ultra-violet, syampu dan sabun.
Terdapat juga ubat-ubatan moden seperti ubat luka dan ubat melecur yang menggunakan jus lidah buaya sebagai ramuan utama. Ekstrak daripada daunnya yang kering digunakan sebagai julap untuk memudahkan pembuangan air besar.
BAWANG PUTIH
Busuk Baunya Banyak Khasiatnya.
Pokok bawang putih merupakan sejenis herba yang hidup sepanjang musim. Ia memerlukan cuaca yang panas bagi meneruskan hayatnya. Saiz pokoknya boleh mencapai ketinggian sehingga 60 cm. Daunnya pipih dan panjang serta tirus di hujungnya. Pokok ini mempunyai bunga yang bewarna putih. Buahnya pula terdapat pada bahagian rizomnya dan disebut sebagai umbisi. Bawang ini mempunyai bau yang kuat dan tajam. Penyelidikan saintifik telah mendapati bahawa bawang putih mengandungi sebatian
sativin dan alisin. Selain itu, ia juga mengandungi vitamin A, B1, B2, dan C. Penyelidikan juga menunjukkan bahawa bawang putih boleh menurunkan aras kolesterol dalam darah.
Bawang putih atau nama saintifiknya Allium sativum digunakan sebagai penawar bagi penyakit batuk, sakit tekak dan selesema. Ia boleh dimakan mentah atau dijadikan sirap. Untuk membuat sirap bawang putih, beberapa ulas bawang putih diambil dan direbus selama 6 jam, kemudian airnya diminum.
Manakala bagi mengubati penyakit lelah dan batuk, sedikit umbisi bawang putih yang segar digiling. Airnya diambil dan dicampurkan dengan sedikit madu dan gula. Air ini juga boleh digunakan untuk mengubati serangan barah perut. Bawang putih juga terkenal sebagai ubat cacing, terutamanya untuk menahan serangan cacing pita. Cacing ini boleh dihindari dengan mengunyah sedikit bawang putih mentah setiap hari, selama berapa hari.
Bawang putih boleh juga digunakan sebagai penawar bagi sengatan kala jengking dan lipan. Umbisinya digiling lumat dan kemudiannya disapu pada bahagian yang cedera dan dibalut dengan kain. Ia juga digunakan sebagai demahan pada tempat yang cedera. Cara ini dikatakan boleh mengurangkan sakit kepala.
*Cacing pita merupakan sejenis cacing yang berbentuk pipih dan mendiami usus manusia.
POKOK BELIMBING BULUH
Masam Rasanya, Tinggi Khasiatnya
Umumnya, pokok belimbing buluh atau nama saintifiknya Averrhoa bilimbi mudah dijumpai di kawasan kampung dan kawasan perumahan. Ini kerana pokok ini mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Buahnya boleh digunakan untuk berbagai-bagai tujuan. Famili bagi pokok belimbing buluh ini ialah Oxalidaceae.
Secara amnya, daun pokok belimbing buluh ini mempunyai dua jalur anak daun yang kecil dan tersusun rapi di kedua-dua belah urat. Anak-anak daun ini mudah gugur daripada tangkainya. Bunga belimbing ini berwarna merah dan pada kebiasaannya terdapat di bahagian batang pokok dan juga pada dahan-dahan yang matang.
Di kawasan Pantai Timur, buahnya dicampur ke dalam kuah nasi dagang untuk menyedapkan rasa. Buah belimbing buluh ini juga digunakan dalam perubatan traditional untuk melembutkan kulit muka dan menghilangkan jerawat. Caranya ialah dengan memarut buah belimbing muda, sedikit air dicampurkan dan disapukan pada muka. Buahnya yang amat masam digunakan dalam masakan sebagai alternatif dalam menggantikan cuka. Selain daripada itu, ia juga digunakan untuk menghilangkan kotoran pada pakaian.
Air belimbing buluh muda digunakan untuk menurunkan tekanan darah tinggi, kencing manis dan untuk menggelakkan pitam. Bunganya digunakan oleh sesetengah masyarakat untuk melegakan sakit gigi. Untuk menyembuhkan batuk, daun, bunga dan buah belimbing buluh direbus dalam jumlah yang sama banyak sehingga mendidih dan diminum setiap pagi.
Walau bagaimanapun, kajian saintifik menunjukkan bahawa buah belimbing buluh mengandungi kandungan oksalat yang tinggi. Kandungan oksalat yang terlalu tinggi di dalam badan boleh menyebabkan penyakit karang pada saluran kencing.
SIRIH
Daun Berubat Unsur Budaya
Sirih atau nama saintifiknya Piper betle L digunakan dalam perubatan traditional Melayu dengan meluasnya. Ia merupakan suatu tumbuhan yang simbolik dan juga merupakan makanan yang digemari ramai sebagai pencuci mulut dan makanan pada waktu rehat.
Kebiasaannya, pokok sirih ditanam di kampung-kampung. Namun begitu terdapat juga pokok sirih yang tumbuh meliar di kawasan semak-samun. Daun sirih berwarna hijau gelap dan bersaiz kira-kira 15 cm panjang dan 10 cm lebar. Ia juga boleh didapati dengan mudah di pasar, terutamanya di kawasan pedalaman.
Daun sirih dimakan bersama-sama gambir dan kapur sebagai makann harian pada waktu lapang. Ia amat digemari oleh orang Melayu dan India. Kadang-kala ia dijadikan hidangan kepada tetamu.Walaupun begitu, dewasa ini bilangan penggemar sirih semakin berkurangan.
Sirih digunakan oleh orang Melayu sebagai pengeras, iaitu sebagai syarat yang diberikan kepada bomoh apabila bomoh itu mengubati seseorang pesakit. Ia juga dijadikan hantaran dalam istiadat perkhawinan orang Melayu. Sirih juga digunakan dalam upacara menjampi seseorang dalam proses mengubati pesakit.
Selain daripada itu, daun sirih juga boleh dimakan bersama-sama gambir untuk mengubati penyakit cirit-birit. Bagi mengubati pendarahan pada hidung , daun sirih digulung dan disumbat ke dalam lubang hidung untuk menghentikan pengaliran darah dari dalam hidung.
ASAM JAWA.
Pelega Suara yang Serak
Asam jawa atau Tamarindus indicus digunakan dengan meluasnya dalam masakan orang Melayu dan India di Malaysia. Kebiasaannya, ia dijual dalam bentuk isi asam jawa yang telah dikeluarkan daripada kulitnya. Pokok asam jawa merupakan pokok rendang yang besar. Daunnya halus dan berwarna hijau muda. Buah asam jawa berbentuk bulat pipih dan memanjang seperti kacang. Panjang buahnya kira-kira 15 cm dan berwarna perang. Pokok ini didapati tumbuh secara meliar dan sering ditanam di kawasan perumahan.
Bahagian pucuk daunnya sering dijadikan ulam oleh masyarakat Melayu. Asam jawa boleh digunakan untuk merawat bisul, lelah dan suara yang serak. Selain daripada itu, asam jawa juga dijadikan kordial dan diminum sebagai minuman biasa. Kini, minuman air asam jawa boleh diperolehi dengan mudah di pasaran. Bagi mengubati serak suara, sedikit asam jawa diambil dan digaulkan dengan gula atau gula batu. Untuk kesan yang lebih efektif, ia boleh diembunkan selama satu malam dan dimakan pada keesokan harinya.
Daun asam jawa boleh digunakan untuk merawat bisul. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daun asam jawa dan dicampurkan dengan sedikit kunyit. Campuran ini ditumbuk sehingga lumat dan disapukan pada bisul. Langkah ini perlu diulang beberapa kali sehingga bisul menjadi kecut.
Kulit batang pokok asam jawa pula digunakan untuk mengubati penyakit lelah. Sedikit batang pokok asam jawa diambil dan diasingkan kulit batangnya. Kulit batang pokok ini direbus dengan secawan air sehingga airnya menjadi sepertiga cawan. Airnya diminum sehingga habis.
Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa kulit biji asam jawa mengandungi sebatian yang disebut sebagai flobatinin.
POKOK HALIA
Ubat Gastrik yang Mujarab
Pokok halia merupakan sejenis tanaman yang biasanya didapati di sekitar kawasan perumahan. Ia ditanam untuk mendapatkan rizomnya yang boleh digunakan sebagai bahan penambah rasa dalam masakan. Halia lebih dikenali sebagai bahan masakan daripada sebagai bahan ubatan.
Halia hidup subur di kawasan tanah gembur dan mendapat bekalan cahaya matahari yang secukupnya. Pembiakannya adalah melalui rizom. Ini bermakna sekiranya rizom ditanam, rizom itu akan bercambah dan membentuk pokok yang baru.
Halia digunakan dalam perubatan untuk mengubati sakit perut dan boleh melegakan sakit gastrik. Bagi mengubati sakit perut, sedikit halia iaitu kira-kira 10 cm direbus selama 3 jam. Kemudian airnya diminum sehingga habis. Bagi mengubati sakit gastrik pula, 10 cm halia dikupas dan dimakan kesemuanya. Ia juga boleh ditumbuk dan airnya diminum.
Bagi menghilangkan sendawa, langkahnya adalah lebih kurang sama iaitu dengan mengambil 10 cm halia dan ditumbuk bersama-sama dengan bawang putih. Kedua-dua campuran ini dibancuh bersama sedikit air dan seterusnya diminum.
Selain dijadikan ubat, halia juga dijadikan minuman yang popular di kalangan masyarakat Malaysia. Ia juga kadang-kala dicampurkan dalam teh dan diminum sebagai teh halia.
SENDUDUK
Bunga Ungu Penghilang Parut
Secara amnya, pokok senduduk mudah tumbuh di kawasan sekitaran kerana ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Ia sering kelihatan di tepi-tepi semak dan pinggir hutan. .
Pokok ini dikenali dengan berbagai-bagai nama oleh sesetengah masyarakat. Misalnya dengan nama akar senduduk hitam, sekenduduk, keduduk, seduduk dan kodok. Nama saintifik dan genus, masing-masing ialah Melastoma malabathricum dan Melastomataceae.
Pokok senduduk ini merupakan sejenis pokok yang rendah dan hanya boleh mencapai ketinggian 3 meter sahaja. Batangnya berwarna kemerahan dan terdapat bulu-bulu halus di keseluruhan pokok ini. Bunganya yang berwarna ungu menjadikan ia sebagai faktor penarik kepada serangga. Manakala daunnya yang berwarna hijau mempunyai permukaan yang kesat dan bersaiz kira-kira 5-10 cm.
Daun dan pucuk pokok senduduk digunakan dalam perubatan traditional sebagai ubat cirit-birit. Bagi mengubati kudis, daun serta akarnya digiling dan ditabur di atas kudis. Kadang-kala pesakit cacar menggunakan daun dan akar pokok ini untuk menhilangkan parut. Caranya ialah dengan menggiling daun dan akarnya. Kemudian ia disapu pada bintik-bintik yang terdapat pada pesakit itu.
Selain daripada itu, akarnya digunakan untuk membasuh mulut bagi merawat sakit gigi.daunnya pula digunakan untuk merawat penyakit Leukorea. Leukorea merupakan sejenis penyakit apabila lendir pekat dan putih keluar dari faraj wanita. Caranya ialah dengan mengambil satu atau dua genggam daunnya dan direbus bersama sedikit gula, halia dan bonglai. Kemudian air rebusannya diminum.
RUJUKAN
1. Medicanal Plants And Traditional Medicine in Africa. (John Wiley And Sons Limited)
2. Flora Of Malaysia – Illustrated. (David T.Jones)
3. Tumbuhan – Siri Alam Sains Macmillan. (Michael Chinnery)
4. Tumbuhan Ubatan. (Mustafa Ali Mohd)
ISI KANDUNGAN