KANDUNGAN

 

PENGENALAN

SUKUN

-Morfologi Buah

-Indeks Kematangan Buah Atau Pemetikan

-Nilai Pemakanan

MARKISA

-Morfologi Pokok dan Buah

-Indeks Kematangan Atau Pemetikan

-Nilai Pemakanan

BETIK

-Morfologi Pokok dan Buah

-Indeks Kematangan Atau Pemetikan

-Nilai Pemakanan

CIKU

-Morfologi Pokok dan Buah

-Indeks Kematangan Atau Pemetikan

-Nilai Pemakanan

KESIMPULAN

BIBLIOGRAFI

 

PENGENALAN

Etnobotani ialah istilah daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘Ethnic’ dan ‘Botany’. ‘Ethnic’ merujuk kepada suku kaum, puak, bangsa dan masyarakat yang mengamalkan sesuatu cara hidup atau budaya. ‘Botany’ pula merujuk kepada kajian mengenai tumbuhan.Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa gabungan antara perkataan ‘ethnic ‘ dan ‘botany’ yang membentuk istilah ‘Etnobotani’ bermaksud satu kajian mengenai bagaimana masyarakat sesuatu budaya menggunakan tumbuh-tumbuhan dalam kehidupan harian mereka.

Masyarakat menggunakan berbagai jenis tumbuhan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, akar-akar kayu, bunga dan sebagainya untuk berbagai kegunaan seperti makanan, ubat-ubatan, minuman, perhiasan dan lain-lain lagi. Apa yang ingin diterangkan di dalam kertas kerja ini ialah mengenai empat jenis buah-buahan iaitu buah sukun, markisa, betik dan ciku. Penerangan diberi mengenai asal-usul, ciri-ciri pokok dan buah, tahap kematangan buah dan kegunaan buah-buahan tersebut.

 

SUKUN

 Artocarpus communis atau lebih dikenali dengan nama vernakularnya iaitu buah sukun adalah tumbuhan dari genus Artocarpus dalam famili Moraccae. Terdapat juga buah-buahan lain dalam famili yang sama seperti nangka, cempedak, terap tempunik dan kulur. Pokok sukun dipercayai berasal dari Polynesia. Kini ia banyak terdapat di kawasan tropika lain seperti di Malaysia, Sri Lanka , India Selatan dan Kepulauan Pasifik yang lain. Ia merupakan sumber makanan utama di kawasan Polynesia. Terdapat dua jenis buah sukun di Malaysia iaitu yang berbiji dan tidak berbiji. Kebiasaannya buah sukun yang berbiji terdapat di kawasan hutan , manakala pokok buah sukun yang tidak berbiji mudah didapati di kampung-kampung. Varieti yang tidak berbiji inilah yang biasa dimakan. Ketinggian pokok sukun boleh mencapai sehingga 20 meter tinggi. Pokok sukun mempunyai kanopi yang cantik. Sukun bukan merupakan sejenis buah yang bermusim. Walau bagaimanapun, ia mengeluarkan bunga dan buah dua kali setahun.

Musim bunganya ialah antara bulan Februari hingga Mac dan antara bulan Julai hingga Ogos. Buah sukun sudah boleh dipetik di antara bulan April hingga Jun dan di antara bulan Oktober hingga November.

Morfologi Buah

Buah sukun terbentuk dari keseluruhan jambak bunganya. Buahnya terbentuk bulat atau sedikit bujur,. Ukuran garis pusatnya ialah di antara 10 hingga 30 cm. Berat normal buah sukun ialah di antara 1 hingga 3 kg. Ia mempunyai kulit yang berwarna hijau kekuningan dan terdapat segmen-segmen petak berbentuk poligonal pada kulitnya. Segmen poligonal ini dapat menentukan tahap kematangan buah sukun. Poligonal yang lebih besar menandakan buahnya telah matang manakala buah yang belum matang mempunyai segmen-segmen poligonal yang lebih kecil dan lebih padat.

Buah sukun biasanya dipetik sebelum ia mencapai peringkat ranum atau masak. Buah sukun yang dipetik pada peringkat yang terlalu matang akan cepat menjadi lembut. Sebaliknya, ia akan mengeluarkan getah yang banyak apabila kulitnya dikupas dan mempunyai rasa kelat jika dipetik pada peringkat terlalu muda.

Indeks Kematangan Atau Pemetikan

Kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti tahap kematangan atau pemetikan sesuatu jenis buah bergantung kepada kegunaannya. Antaranya ialah kaedah pengamatan (pemerhatian), melihat perubahan fisiologi, kimia atau fizikal dan kaedah perkiraan masa dari mula ia berputik. Teknik perkiraan masa merupakan teknik paling sesuai untuk sukun. Dr. Azizah Osman dan kumpulannya dari Jabatan Sains Makanan, UPM telah menjalankan kajian dan mendapati buah sukun mengandungi kanji yang maksimum pada minggu kedua belas selepas berputik. Selepas minggu kedua belas juga didapati

kandungan gula (fruktosa, glukosa dan sukrosa) meningkat. Buah sukun untuk digoreng

perlu dipetik antara minggu ke 11 hingga 12 selepas berputik, manakala untuk

penghasilan kanji , ia perlu dipetik pada minggu kedua belas.

 

Nilai Pemakanan

Kebiasaannya bahagian yang boleh dimakan adalah lebih kurang 68 peratus dari berat

asal buah sukun yang telah dibuang kulit dan empulurnya. Berbagai jenis hidangan boleh

dihasilkan menggunakan buah sukun. Buah sukun yang dipotong kepada bentuk

kepingan boleh digoreng seperti pisang goreng, keledek atau keladi. Ia juga boleh

dijadikan bubur, pengat, kerepek atau direbus. Selain itu, sukun juga boleh dihidang

sebagai hidangan sayur setelah direbus. Ia boleh dimakan dengan sambal kacang bersama

sayuran lain yang telah dicelur. Sukun juga boleh dimasak lemak. Tepung atau kanji

daripada sukun boleh digunakan untuk membuat puding dan pelbagai kuih. Chips juga

boleh dihasilkan dari buah sukun. Sememangnya ia mempunyai pelbagai kegunaan dalam

hidangan dan rasanya sedap.

Bagi setiap 100 gram bahagian yang boleh dimakan, sukun mengandungi:

-70.8g air -0.90mg niasin

-1.7g protein -29.0mg vitamin C

-0.3g lemak -0.03mg riboflavin

-26.2g karbohidrat -439.0mg kalium

-1.2g fiber -0.1mg thiamin

-1.0g abu -15.0mg natrium

-33.0mg kalsium -1.2mg besi

-32.0mg fosforus

MARKISA

Markisa merupakan sejenis tanaman dari genus Passiflora dalam famili passifloraceae. Ia

adalah buah-buahan jenis beri. Ia mempunyai perikarp tebal dengan kulit seperti

cangkerang yang rapuh. Hanya 30 spesies daripada 400 spesies genus Passiflora yang

menghasilkan buah dan boleh dimakan. Taburan pokok markisa ini ialah di negara-

negara tropika dan subtropika terutama di Australia, India, Kenya, New Zealand,

Kepulauan Norfolk, New Guinea, Afrika Selatan dan Hawaii. Negara-negara tropika dan

subtropika menanam tumbuhan markisa ini sebagai tanaman komersil.

 

Untuk tujuan komersil ini, terdapat 2 varieti yang biasa ditanam iaitu markisa berkulit

kuning (Passiflora edulis f.flavicarpa) dan markisa berkulit ungu (Passiflora edulis sim).

Di Malaysia, varieti kuning lebih sesuai ditanam dan mengeluarkan hasil yang lebih

tinggi berbanding varieti ungu. Varieti kuning ini telah dibawa ke Malaysia dari Australia

dan Hawaii pada tahun 1960an.

 

Morfologi Pokok dan Buah

Markisa tumbuh menjalar dan mempunyai sulur paut pada pangkal daunnya. Bentuk

daunnya pula bulat mambujur dan rata di tepi. Warnanya berbeza dari hijau ke hijau

kekuningan. Di Malaysia, jangka hayat pokok markisa dari varieti kulit kuning adalah

dalam lingkungan 3 tahun. Selepas penanaman, ia mula menghasilkan buah dalam

tempoh 5 hingga 6 bulan. Kira-kira 75 hari selepas pendebungaan, bunga akan menjadi

buah yang bujur. Ukurannya ialah kira-kira 7cm x 6cm dan mempunyai berat dalam

lingkungan 80g. Kulitnya berwarna kuning cerah dan licin. Isinya (aril) lembut dan

mempunyai banyak sacs yang mengandungi jus jernih berwarna kuning oren disertai biji-

biji hitam yang banyak.

Buah markisa rasanya manis dan baunya sedap. Buah markisa boleh didapati sepanjang

tahun tetapi kemuncak pengeluarannya ialah di antara bulan Disember hingga Januari dan

Julai hingga Ogos. Pengeluaran buah markisa adalah berkurangan dari tahun pertama

hingga ke tahun seterusnya.

 

Indeks Kematangan Atau Pemetikan

Buah markisa akan jatuh dari tangkai ke tanah secara semulajadi apabila ia cukup

matang. Pada tahap ini bolehlah ia dituai. Kajian di Jabatan Sains Makanan, UPM

menunjukkan buah markisa boleh dituai sebelum ia jatuh dari tangkainya ke tanah, iaitu

di antara minggu ke 8 hingga minggu ke 9 selepas pendebungaan. Pada peringkat ini,

kandungan gula dan asid askorbiknya adalah di tahap optimum. Buah yang jatuh pula

akan mudah terhidrat dan tercemar oleh patogen yang terdapat pada tanah jika dibiarkan.

 

Nilai Pemakanan

Buah markisa ungu sesuai dimakan mentah dan dimasak sebagai sayur, manakala buah

markisa kuning sesuai dijadikan jus. Pulpa buah markisa boleh dijadikan jem, agar-agar,

perasa ataupun campuran kepada yoghurt dan aiskrim. Jus buah markisa juga merupakan

sumber pro-vitamin A, niacin, riboflavin dan vitamin C di samping citarasa dan

aromanya yang unik. Ia juga boleh dijadikan komponen untuk minuman sirap, kek, roti

dan susu. Kulit buah markisa pula boleh dijadikan makanan ternakan.

Komposisi buah markisa segar adalah seperti berikut:

i) Kulit 52%

ii) Jus 34%

iii) Biji 14%

Bahagian yang boleh dimakan ialah kira-kira 48%.Bagi setiap 100g bahagian yang boleh

dimakan, markisa mengandungi:

-75g Air -1.5-2.5g Unsur surih

-2.2-2.5g Protein -500i.u Vitamin A

-15-20g Karbohidrat -1.8mg Vitamin B Kompleks

-2.5-3.5g Kanji -20-30mg Vitamin C

-0.75-1.5g Lemak -6.5-8.0mg Gula penurun

-0.60-0.80g Abu -1.5-3.0mg Gula bukan penurun

BETIK

Betik atau nama saintifiknya Carica papaya L. adalah dari genus Carica dalam famili

Caricaceae . Ia adalah buah-buahan jenis beri. Perikarpnya berisi dengan rongga tengah

yang besar, berasal dari ovari superior. Hanya 3 spesies sahaja yang mempunyai

kepentingan hortikultur walau pun sebenarnya terdapat 40 spesies dalam genus carica ini.

Spesies yang biasa ditanam dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi ialah spesies

Carica papaya L.Betik dipercayai berasal dari Amerika tropika. Orang-orang Sepanyol

telah membawa spesies betik ke Filipina dan kemudian dibawa pula ke Malaysia.

Kini betik banyak ditanam di kawasan tropika dan subtropika. Di Malaysia, betik banyak

ditanam di persekitaran rumah. Selain itu, pekebun-pekebun kecil menanam pokok betik

sebagai tanaman komersil. Varieti betik yang biasa ditanam ialah seperti Batu Arang,

Sitiawan, Subang 6 dan Eksotika. Betik boleh didapati dengan banyak di Johor,sekitar

Daerah Larut Matang, Perak dan beberapa kawasan di Selangor dan Pahang. Keluasan

tanaman betik meningkat dari 1903 hektar pada tahun 1992 kepada 4300 hektar pada

tahun 1994. Pengeluaran betik juga meningkat dari 57,090 tan metrik pada tahun 1984

kepada 93,930 tan metrik pada tahun 1992. Ini disebabkan pengeluaran varieti baru seperti

Eksotika.

Morfologi Pokok dan Buah

Pokok betik dapat dikelaskan kepada 3 jenis iaitu:

i)Diesius - bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang berasingan;

ii)Monoesius - bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang sama;

iii)Ginodiesius (hermafrodit) – bahagian bunga jantan dan betina pada bunga yang

sama.

Walau bagaimanapun, spesies Carica papaya L. yang biasa ditanam ialah dari jenis

diesius atau ginodiesius (hermafrodit). Pokok-pokoknya kelihatan sama sahaja kecuali

setelah bunganya keluar. Hanya bunga betina dan hermafrodit akan hasilkan buah.

Setelah 9 hingga 12 bulan penanaman barulah ia mengeluarkan buah.

Varieti yang berlainan akan menghasilkan rasa, rupa bentuk dan saiz yang berbeza.

Biasanya ia berukuran di antara 7 hingga 60cm panjang dan beratnya boleh mencapai

sehingga 9kg. Buah yang muda berwarna hijau dan menjadi kuning apabila masak. Isi

atau pulpa betik berwarna kuning dan juga seakan-akan oren. Bahagian tengah buahnya

mempunyai biji-biji kecil bulat berwarna hitam perang.

Terdapat dua kumpulan betik yang popular di negara-negara ASEAN iaitu kumpulan

pertama yang terdiri daripada varieti yang menghasilkan buah yang besar dan panjang

bujur seperti Subang, Sitiawan, Batu Arang, Kaegdum, Kaegnuan dan Sainampeung.

Kumpulan kedua pula lebih kecil dan bulat seperti Solo dan Eksotika. Kumpulan pertama

adalah lebih berat iaitu lingkungan 1 hingga 3kg dan isinya berwarna merah. Kualiti

buahnya dikatakan tidak begitu baik jika dibandingkan dengan kumpulan kedua yang

mempunyai kualiti lebih tinggi dan berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Indeks Kematangan dan Pemetikan

Buah betik perlu dipetik pada peringkat yang sesuai untuk mengelakkan terjadinya

peranuman yang tidak sempurna dan untuk mendapatkan rasa buah yang sedap. Biasanya

ia dipetik berdasarkan perubahan warna kulit buahnya. Buah betik yang ingin dieksport

ke pasaran yang lebih jauh akan dipetik pada peringkat di mana kuning baru wujud di

bahagian hujung buah. Manakala untuk pasaran tempatan, buah boleh dipetik apabila

sebahagian besar buahnya berwarna kuning.

Nilai Pemakanan

Betik sememangnya buah yang berkhasiat. Bagi setiap 100g bahagian yang boleh

dimakan, betik mengandungi:

- 84.4–90.7g air -0.6-0.7mg besi

-1.0-1.5g protein -2-3mg natrium

-0.1g lemak -39-337mg kalium

-7.1-13.5g karbohidrat -1160-2431ug karoten

-0.5g fiber -0.03-0.08mg vitamin B1

-0.1-0.5g abu -0.07-0.15mg vitamin B2

-11-31mg kalsium -0.1mg niasin

-7-17mg fosforus -69.3-71.0mg vitamin C

Buah betik yang mengkal (agak keras) biasanya dibuat rojak bersama buah-buahan lain

seperti mangga, timun, kedondong dan nanas. Betik muda juga sesuai dijadikan halwa

(jeruk manis). Selain rasanya yang sedap, ia juga boleh dijadikan sebagai manisan untuk

hantaran peminangan atau perkahwinan dengan mengukir buah yang muda kepada

bentuk kelopak bunga sebelum dijeruk.

Betik muda juga mempunyai kegunaan tersendiri dalam petua orang Melayu. Getah betik

muda boleh digunakan untuk menghaluskan tumit kaki yang pecah-pecah. Walau

bagaimanapun, getah betik muda ini juga merbahaya kerana jika ia terkena mata akan

mengakibatkan mata gatal dan bengkak seperti digigit serangga.

Buah betik yang masak selalu dimakan segar sebagai pencuci mulut. Kulitnya dikupas

dan dipotong. Walau bagaimanapun, betik Eksotika lebih sesuai dibelah dua dan dimakan

menggunakan sudu. Betik masak juga boleh dijadikan jem, puree, jus minuman, perisa

aiskrim dan puding. Betik matang yang tidak begitu ranum boleh juga dimasak sebagai

sayur.Daun betik boleh direbus dan dimakan sebagai sayur bersama sambal belacan. Air

rebusannya jika diminum berkhasiat untuk menurunkan suhu badan mereka yang demam

dan menghidapi malaria.

Betik juga boleh digunakan untuk melembutkan daging kerbau yang liat. Satu jenis

keluaran yang dihasilkan untuk tujuan ini ialah papain, sejenis enzim proteolitik dari

getah buch yang hijau muda. Papain juga digunakan dalam penyediaan chewing gum.

Proses-proses yang berkaitan pelembutan kulit binatang (tanning hides) juga

menggunakan papain.

CIKU

Ciku atau nama saintifiknya Achras sapota L adalah daripada famili Sapotaceae. Ia

adalah buah-buahan dari jenis beri di mana mesokarpnya bergabung dengan endokarp.

Ciku dikatakan berasal dari Amerika tropika. Buah ciku merupakan jenis klimakterik dan

dikenali dengan berbagai nama mengikut tempat. Di United Kingdom dan Amerika

Syarikat ia dikenali sebagai sapodilla, sapote di India, chico atau chico sapote di Mexico

dan naspero di Venezuela.

 

Morfologi Pokok dan Buah

Pokok ciku boleh mencapai ketinggian sehingga 10 hingga 30 meter. Pokok ciku berbuah

sepanjang tahun.tetapi penghasilan adalah tidak seragam. Dikatakan hanya 11% daripada

bunga-bunga ciku yang dapat menghasilkan buah yang matang. Buah ciku kebiasaannya

mempunyai bentuk bujur atau seperti telur ayam. Faktor-faktor utama penentuan gred dan

jenis buah ciku ialah bentuk, saiz, warna isi dan citarasanya. Di Malaysia, varieti ciku

yang boleh didapati ialah Jantung, Betawi, Pasir dan Subang. Ciku varieti Jantung dan

Pasir berbentuk bujur telur dan mempunyai berat dalam lingkungan 91g. Varieti Subang

pula berbentuk bujur lonjong dan mempunyai berat dalam lingkungan 59g. Manakala

varieti Betawi berbentuk bulat dan beratnya adalah dalam lingkungan 78g.

Kajian yang dijalankan di Jabatan Sains Makanan, UPM mendapati ciku varieti Betawi

mempunyai tekstur paling berpasir diikuti varieti Pasir, Jantung dan Subang. Varieti yang

didapati berpotensi ialah varieti Jantung dan Subang. Bagi varieti Subang, musim

pengeluaran buahnya ialah antara bulan Februari hingga April dan dari bulan Jun hingga

Oktober . Manakala bagi varieti Jantung , musim pengeluarannya ialah dari bulan Februari hingga Mei bagi musim pertama dan musim kedua pula dari bulan Ogos hingga bulan

November.

 

Indeks Kematangan dan Pemetikan

Secara amnya, buah ciku mengambil masa antara 6 hingga 8 bulan dari tempoh berbunga

untuk mencapai peringkat kematangan. Ciku varieti Jantung mencapai kematangan

fisiologi selepas 6 bulan dari waktu berbunga. Walau bagaimanapun, ciku yang dipetik

selepas 7 bulan daripada peringkat berbunga adalah lebih besar dan manis. Perbezaan

masa untuk mencapai peringkat kematangan bagi ciku yang berlainan adalah disebabkan

oleh perbezaan varieti, cuaca dan keadaan tanah.

Nilai Pemakanan

Buah ciku kaya dengan gula bebas, vitamin C dan mineral terutama kalsium. Bagi tiap-tiap 100g bahagian yang boleh dimakan, ciku mengandungi:

-82kcal tenaga -2.3mg zat besi

-79.1g air -21mg kalsium

-0.4g protein -31mg kalium

-0.8g lemak -130ug karoten

-18.4g karbohidrat -22ug retinol

-0.9g fiber -0.01mg vitamin B1

-0.4g abu -0.06mg vitamin B2

-16mg kalsium -2.8mg niasin

-4mg fosforus -6.5mg vitamin C

Selain boleh dimakan segar, ciku juga boleh dijadikan jem, jus, kepingan ciku kering dan ditinkan dalam bentuk kepingan untuk membuat sherbet dan candy. Bukan itu sahaja, ciku juga boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pengeluaran pektin, glukosa dan jeli. Di negara lain seperti Amerika Latin, pokok ciku digunakan untuk mengekstrak chicle gum.

KESIMPULAN

Sememangnya tumbuhan memberikan banyak manfaat kepada manusia. Walaupun masih banyak lagi spesies tumbuhan yang masih belum dikenal pasti oleh para saintis, namun kepentingan tumbuhan kepada manusia memang meluas. Oleh itu usaha-usaha perlu dijalankan untuk mengkaji spesies-spesies baru yang berpotensi, manakala spesies yang sedia ada perlu dipelihara agar tidak berlaku kepupusan dalam sumber spesies tersebut dan sumber yang bermanfaat kepada manusia.

BIBLIOGRAFI

  1. Mohamad Nordin Abdul Karim, 1995. Fisiologi Lepas Tuai, Pengendalian dan Penggunaan Buah-buahan dan Sayur-sayuran Tropika dan Subtropika.
  2. (Terjemahan dari Er.B. Pantastico, 1975. Postharvest Physiology, Handling and Utilization of Tropical and Subtropical Fruits and Vegetables).

  3. Slamet Soeseno, 1968. Buah-buahan Di Kebun Rumah.
  4. Dewan Kosmik, Edisi Januari 1996.
  5. Dewan Kosmik, Edisi Februari 1996.
  6. Dewan Kosmik, Edisi Mac 1996.
  7. Dewan Kosmik, Edisi april 1996.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

i