TUMBUH-TUMBUHAN DALAM PERUBATAN TRADISIONAL

SUANA JAID

Di dunia ini terdapat begitu banyak sekali tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan khususnya dalam perubatan tradisional. Sebelum adanya perubatan moden , perubatan tradisional memainkan peranan yang sangat penting dalam merawat pelbagai penyakit. Pengamal perubatan tradisional mencari tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan ubat. Sesuatu jenis tumbuhan itu bukan sahaja mempunyai kesan ke atas satu jenis penyakit tetapi lebih dari itu. Ini dapat di lihat apabila satu jenis tumbuhan yang mempunyai kepelbagaian kegunaan mengikut kaum , tempat dan budaya masyarakat yang terdapat di dunia ini. Misalnya , negara-negara yang terdapat di Asia Tenggara yang mana setiap bangsa dalam negara itu mempunyai kegunaan yang sama dan berbeza ke atas satu jenis tumbuhan . Apa yang jelas ialah perubatan tradisional yang diamalkan itu adalah berasaskan kepada tumbuh-tumbuhan. Di sini, akan dihuraikan beberapa jenis tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisonal oleh bangsa dalam negara yang mana tumbuhan tersebut terdapat di tempat mereka seperti buah asam jawa , mengkudu besar, pegaga dan sebagainya.

Asam jawa mempunyai banyak kegunaan terutamanya dalam aspek perubatan tradisional. Nama sainsnya ialah Tamarindus inidica dan nama Inggerisnya ialah tamarind .Nama Inggerisnya adalah berasal daripada nama Arab dan Parsi iaitu tamar yang bermakna kurma India. Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika iaitu sebahagian selatan padang pasir sahara. Pokok asam jawa tumbuh paling baik dalam keadaan cuaca yang mengalami musim kemarau yang nyata tetapi sederhana. Ketinggian pokok asam jawa boleh mencapai 26 meter tetapi di negara ini biasanya pokok asam jawa tumbuh rendang dengan ketinggian yang jarang-jarang melebihi 10 meter.Daun pokok asam jawa adalah malar hujan dan banyak anak daun yang halus. Ia berwarna hijau muda dan menjadi hijau tua apabila matang. Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang yang bengkok. Isinya pula berketul-ketul dan berwarna perang seperti kayu. Isi buah mudanya berwarna hijau dan bertukar menjadi coklat apabila buahnya masak, kulitnya akan rapuh dan senang diasingkan dari isinya.

Pokok asam jawa terbahagi kepada dua jenis iaitu yang masam dan yang manis sedikit. Asam jawa banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Di India, orang India mengunyah kulit pokok asam bersama -sama dengan daun sirih atau dimakan begitu saja bagi menjaga kesihatan badan ,terutamanya bagi wanita yang mengandung manakala dalam perubatan tradisional orang Timur, asam jawa dan akar pokoknya digunakan bagi menyejukkan badan dan sebagai pelawas. Kayu terasnya pula sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati dan penawar kurang selera. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa dijadikan ubat cirit-birit. Ini adalah kerana kulit buah dan kulit kayu mengandungi banyak tanin manakala isinya banyak asid tartar. Kulit kayu juga dijadikan losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser dan gatal kerana terkena gigitan serangga. Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas dan dapat melegakan lelah. Manakala daun muda ditumbuk lumat dan di tampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan.

Di Yukatan pula, air rebusan asam jawa yang dicampur dengan gula diminun sebanyak tiga kali sehari sebagai ubat cacing dalam perut dan penawar penyakit disenteri berdarah . Manakala di Curacao, air rebusan asam jawa diguna untuk mengubati selesma dan air rebusan daunnya pula diminum untuk mengubati penyakit kencing manis dan batuk kerana gatal kerongkong dan di Jamaica pula, air rebusan daun asam jawa dijadikan sebagai penawar demam campak dan dibuat air mandian penawar demam panas dan sakit otot. Di Cuba, air rebusan akar asam jawa digunakan untuk mengubati jaundia dan pendarahan.( Lihat gambar 1 –lampiran )

Selain daripada asam jawa, mengkudu besar juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional khususnya di negara Asia Tenggara.Nama botani bagi mengkudu besar ialah Morinda citrifolia Linnaeus . Pokok mengkudu besar tumbuh secara semulajadi di kawasan lapang, terutamanya di Asia Tenggara. Dikatakan spesis ini berasal dari Quueensland di Australia dan tersebar ke kawasan lain hasil tanaman manusia dan tumbuh secara semulajadi dibawa ombak laut. Ketinggian pokok ini boleh mencapai 6 meter. Bahagian batang kayunya pendek dan bahagian silaranya pula berbentuk bujur telur, meruncing ke atas. Kulit kayunya pula berwarna cerah manakala daunnya berwarna hijau tua. Buahnya berbentuk bujur seperti buah pir, berbintik-bintik,semasa muda berwarna hijau dan bertukar jadi putih kuning apabila masak dan mengandungi banyak biji.

Seperti juga tumbuhan lain, khasiat perubatan mengkudu besar amat banyak. Bagi penduduk di Semenanjung Malaysia, mereka menanam pokok mengkudu besar sebagai ubatan. Buah yang sangat masak dimakan sebagai perangsang aliran haid dan ubat kencing manis. Sementara itu, air perahan buahnya diminum sebagai ubat penawar sengugut dan sakit otot, sakit semasa buang air kecil dan air besar. Bagi mendapatkan kulit yang lembut, air buah disapu pada kulit dan buah juga boleh dimakan bersama bahan lain untuk mengubati penyakit limpa, penyakit hati , beri-beri, pendarahan dan batuk-batuk.

Di Jawa pula, isi buah mengkudu besar diasingkan dengan bijinya , dihancurkan bersama gula dan dicampur air dan jusnya ini kemudian diminum sebagai perangsang buang air besar. Air rebusan kulit kayu pokok ini digunakan sebagai ubat demam panas , demam mengigil dan demam malaria. Kulit kayu juga dijadikan sejenis tonik dan antiseptik untuk masalah kulit seperti kudis, luka-luka dan ulser. Selain itu , daun dipanaskan dan diletak atas badan sebagai ubat batuk-batuk, bengkak limpa, demam panas dan sakit perut. Sementara air rebusan daun diminum sebagai ubat cirit-birit, disentri, muntah-muntah, kolik, sawan dan tonik. Akar, daun dan buah pula digunakan untuk membunuh cacing dalam perut.

Di Vietnam pula, akar kayu digunakan sebagai penawar kejang otot, tentanus dan darah tinggi. Di negara Virgin Island, tumbuhan ini digunakan sebagai ubat sakit jantung. Sementara itu, orang di negara Dominica melumatkan daun mengkudu besar dan ditampal pada sendi-sendi untuk mengubati sakit reumatisme. Di negara Trinidad, daun ditampal pada kepala sebagai mengubati sakit kepala dan di negara El Salvardor, akar pokok ini digunakan sebagai ubat penyakit hati, masalah gastrik dan usus-usus.(Lihat gambar 2 )

Selain daripada pokok mengkudu, gelenggang cukup dikenali sebagai daun kurap dan ludangan juga merupakan tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional kerana kegunaan daun ini sebagai ubat kurap. Dalam sains botani, gelenggang dikenali sebagai Cassia alata daripada famili Leguminosae.Famili ini juga dikenali sebagai Fabaceae. Sinonim yang dahulu digunakan dalam dunia sains untuk Cassia alata ialah Herpetica alata.

Gelenggang boleh didapati di semua kawasan tropika tetapi kawasan asalnya ialah Amerika Tropika. Di negara ini, gelenggang tumbuh pada tanah terbiar, tebing sungai, tepi ladang, tepi jalan, tepi pagar, pinggir hutan dan kawasan lain yang terdedah kepada cahaya matahari . Pokok gelenggang yang sedang berbunga memang kelihatan cantik dan ia berwarna kuning emas.

Daun gelenggang memang mujarab sebagai ubat kurap dan penyakit kulit yang lain. Cara mengubatinya ialah dengan menggosok daun pada tempat berkurap atau ditumbuk lumat dan dicampur kapur atau bahan lain sebelum ditampal pada kulit yang berkurap. Penggunaan daun gelenggang sebagai ubat kurap ini telah lama diamalkan dari negara China hinggalah ke Indonesia. Daun yang telah direbus dimakan , akan bertindak sebagai julap untuk merangsang pembuangan air besar dan mencuci perut tetapi kemungkinan akan manjadi cirit-birit. Sementara itu, biji gelenggang boleh juga digunakan sebagai ubat cacing. Walaupun begitu, haiwan yang makan terlalu banyak daun gelenggang boleh mati akibat keracunan bahan kimia yang terkandung dalam daun gelenggang iaitu asid krisofonik.

Di Venezuela, daun gelenggang yang segar dijual sebagai ubat perangsang buang air kecil dan baik untuk kesihatan hati. Sementara di Trinindad pula, air rebusan gelenggang digunakan sebagai penawar cirit-birit dan untuk membunuh cacing. Di kawasan Hindi Barat lain , daun gelengggang digunakan sebagai ubat sakit veneral dan ia juga baik untuk ubat badan seperti terkena penyalit ekzeme, gigitan akar, serangga dan ubat larva jenis chigger. Sementara itu, di Puerto Rica, teh bunga gelenggang diminum sebagai penawar sawan, resdung, bengkak saluran nafas dan berhinggus. Di negara Surinam pula, biji gelenggang dimakan sebagai ubat cacing dan sebagai julap .Manakala air rebusan untuk mengubati sakit uterus. Air rebusan akar gelenggang dicampur dengan akar alamanda boleh diminum untuk merawat penyakit malaria dan bengkak limpa. Ternyata pokok gelenggang begitu banyak kegunaannya dalam perubatan tradisional di kebanyakan negara yang mengalami iklim tropika.

Pegaga merupakan ulam yang cukup popular di kalangan orang Melayu kerana khasiatnya yang boleh menyihatkan tubuh badan. Pegaga juga mempunyai nama lain iaitu daun kaki kuda, pegaga terkulur dan pegaga ular. Nama sainsnya ialah Centella asiatica. Pegaga tumbuh menjalar dan mempunyai ruas yang panjang. Daunnya berbentuk bulat dengan bahagian tepinya bergerigi kasar. Bunganya pula sangat halus dan kelopak bunga pegaga berwarna merah. Sementara itu, saiz buahnya adalah kecil dan berbentuk leper.

Pegaga banyak didapati di kawasan tropika dan subtropika seperti di selatan China dan utara India. Pegaga hidup subur terutamanya di kawasan tanah terdedah yang lembab manakala di kawasan yang kering , pegaga yang tumbuh adalah lebih pendek dan kecil.

Pegaga telah lama digunakan sebagai ubat di India. Hal ini telah pun disebut dalam karya sanskrit. Umpamanya, sebagai penawar racun makanan jenis alergi, antikanser, ubat cirit-birit, peransang buang air kecil, ubat darah tinggi, tibi, penawar demam panas, sakit kerongkong, batu karang, kencing berdarah , ubat kusta, gonorea, bronkitis, asma, luka-luka, kudis dan bisul. Penduduk di India percaya bahawa daun pegaga yang ditumbuk lumat dan ditampal akan menyembuhkan penyakit kudis di badan. Air perahan akar yang dipanaskan dipercayai boleh mengubati kudis berdarah. Selain itu, daun yang telah ditumbuk boleh dijadikan penawar demam panas dan merawat penyakit kusta dan reumatisme apabila ditampal pada bandan.

Daun pegaga apabila dimakan dua helai pada setiap pagi akan memulihkan penyakit gagap. Bagi masyarakat di Jawa pula, pegaga digunakan untuk mengubat sakit telinga dengan cara mencampurkan air pegaga dengan minyak kelapa dan dimasukkan ke dalam telinga yang sakit. Selain dijadikan ubat untuk melangsingkan bandan , pegaga juga berfungsi membakar lemak.Malah, sesetengah orang yakin,badan yang sihat dan boleh jadi panjang umur kalau selalu memakan pegaga.

Bagi orang Cina pula, pegaga dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit hepatitis, campak, selsema, sakit tonsil, sakit kerongkong, bronkitis, batu karang dan jangkitan pada pundi air kecil, muntah berdarah, kencing berdarah dan senggal-senggal badan. Malah ada juga orang Cina yang menggunakan pegaga sebagai penawar racun ular , bisul bernanah dan luka-luka. Caranya ialah dengan menampalkan pegaga yang telah ditumbuk lumat pada bahagian yang diserang atau berpenyakit. Walaupun pegaga mempunyai pelbagai kegunaan dalam perubatan tradisional , orang ramai lebih mengenali pegaga sebagai ulam yang boleh dimakan terus.(lihat gambar 3 )

Jarak adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai kepentingan ekonomi dan kesihatan. Nama sains bagi pokok jarak ialah Ricinus communis dan nama Inggeris ialah castor oil plant. Jarak berasal dari benua Afrika. Pokok jarak biasanya tumbuh sendiri dan jarang ditanam sebagai tumbuhan pertanian untuk mendapatkan hasilnya.

Orang Mesir pada zaman purba menggunakan minyak jarak dari biji jaeak untuk menyalakan pelita. Minyak jarak sangat penting kepada tamadun sebelum penemuan kuasa elektrik. Sungguhpun begitu,kepentingan pokok jarak dari segi ekonomi dan minyak jarak tidak lagi mempunyai pasaran kerana mengalami persaingan dari minyak tanah, semakin malap. Namun demikian , kegunaan jarak dalam perubatan tredisional terutamanya sebagai ubat tidak dapat dinafikan. Akan tetapi ubat yang diminum perlu diamalkan secara berhati-hati kerana semua bahagian pokok jarak mengandungi racun. Kanak-kanak boleh menemui maut jika memakan tiga atau lebih biji jarak. Walaupun biji jarak mengandungi racun tetapi minyak jarak tidak mengandungi racun kerana ia tidak cair di dalam minyak.

Orang Cina menggunakan biji, akar dan daun jarak sebagai ubat tradisional. Dipercayai biji jarak yang dihancurkan dan digosok pada kepala boleh mengubati uterus atau rektum yang terkeluar. Jika digosok pada kaki, ia boleh merangsang plasenta keluar selepas bersalin. Biji jarak juga dijadikan ubat sakit kepala, pekak, tibi, penyakit kulit, berak berdarah, buasir dan bengkak-bengkak . Akar dan daun juga dijadikan sebagai ubat tibi, lumpuh saraf pada muka, sawan, sakit sendi dan pelbagai penyakit.

Sementara itu, Di Amerika Tengah pula, terdapat amalan memakan dua atau tiga biji jarak sebagai perangsang untuk membunag air besar. Di Maxico, daun jarak yang disalai dilekapkan pada payudara ibu yang menyusukan anak untuk merangsang pengaliran susu dan ubat untuk melegakan penyakit reumetisme dan tumor yang teruk. Di Brazil pula, air rebusan daun jarak digunakan untuk berendam kerana ia dapat mengecutkan buasir manakala air rebusan akar jarak pula diminum untuk mengatasi masalah kolon.

Daun segar jarak juga ada kegunaannya iaitu apabila ia dibalut pada kepala atau diletakkan di bawah topi untuk melegakan sakit kepala dan demam panas. Selain itu, ia juga berguna untuk mengatasi sakit perut dengan menumbuknya sehingga lumat dan ditampal pada perut yang sakit. Ia juga boleh ditampal pada bisul, kudis dan penyakit kulit yang lain.(lihat gambar 4)

Selom seperti juga tumbuhan yang lain banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Nama botani bagi selom ialah Oenanthe jaavanica. Oenanthe berasal dari perkataan Greek oenanthe yang bermaksud jambak bunga yang menyerupai setangkai anggur, manakala perkataan javanica merujuk kepada Pulau Jawa yang merupakan tempat tumbuhan selom mula-mula sekali dikutip untuk dibuat kajian. Genus Oenanthe mempunyai 30 spesis yang tumbuh merata tempat di seluruh dunia di kawasan beriklim sederhana hemisfera utara, Afrika Selatan, Asi dan Australia. Selom tumbuh liar di kawasan paya, di tepi sungai dan di kawasan tanah lembap air tawar.

Umumnya, selom merupakan tumbuhan saka, herba, tidak berbulu, licin dan biasanya tumbuh secara akuatik. Batang selom berbuku dan mempunyai ruas yang jelas dan berongga. Di kawasan Asia Timur dan Asia Tenggara, selom telah lama dimakan sebagai sayur dan digunakan sebagai perisa. Di China, selom dimakan sebagai sayur sejak tahun 700 SM dan di Jepun pada tahun 750 M. Di negaraa ini, selom telah lama dimakan tetapi masih tidak begitu terkenal dan tidak mencapai tahap kepentindan ekonomi yang tinggi.

Selom juga mempunyai berbagai-bagai kegunaan dalam perubatan tradisional. Daun dan batang selom didapati boleh meredakan penyakit dengan cara melumatkan kedua-duanya dan menyapunya pada bisul, tempat yang terkena gigitan kuda, ular, kala jengking dan di tempat yang kerana kanser. Air rebusan selom pula diminum sebagai penawar demam panas, selesme, susah buang air kecil dan air besar. Sementara biji selom digunakan sebagai penawar jika terlalu banyak darah dalam saluran darah. Buah selom digunakan untuk mengeluarkan angin dalam perut usus.( lihat gambar 5)

Berdasarkan huraian di atas , amat jelaslah kepada kita bahawa tumbuh-tumbuhan sememangnya mempunyai nilai yang tidak terhingga terutamanya dalam perubatan ,khususnya dalam perubatan tradisional. Kegunaan tumbuh-tumbuhan seperti yang tercacat di atas di beberapa negara ada perbezaan dan juga persamaan antara bangsa-bangsa yang berlainan. Sungguhpun demikian , sebenarnya masih banyak lagi tumbuhan yang terdapat di dunia ini yang digunakan oleh masyarakat dalam perubatan tradisional. Dalam Hal ini, kajian etnobotani ke atas tumbuh-tumbuhan patut dikembangkan lagi walaupun ia mengambil masa yang lama. Masyarakat moden pada hari ini tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada perubatan moden walaupun kecanggihan teknologinya tidak dapat dinafikan kerana ada sesetengah penyakit itu tidak dapat disembuhkan oleh perubatan moden. Oleh itu, seperti yang kita maklumi bahawa perubatan tradisional kebanyakannya berasaskan kepada tumbuh-tumbuhan, maka seharusnya kita patut memelihara dan menjaga serta melindungi tumbuh-tumbuhan demi kebaiakan semua.

BIBLIOGRAFI

Ong Hean Chooi . 1996. Etnobotani : Selom . Dewan Budaya , Oktober : 26-27

Onr Hean Chooi . 1997. Etnobotani : Gelenggang . Dewan Budaya , April : 28-29

Ong Hean Chooi . 1997 . Etnobotani : Mengkudu Besar . Dewan Budaya , Mei : 28-29

Ong Hean Chooi . 1997 . Etnobotani : Pegaga . Dewan Budaya , Jun : 28-29

Ong Hean Chooi . 1997 .Etnobotani : Jarak . Dewan Budaya , Ogos : 28-29

Ong Hean Chooi . 1997 . Etnobotani : Asam Jawa . Dewan Budaya , Oktober : 28-29