| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
...

Dari ADO ke CEO: Biografi Tun Abdullah Salleh. 2007. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 978-967-942-829-2 (kulit keras). RM180.00. 180 hlm. Harun Johari (1948-2004), Salleh Hj. Yusof.

Abdullah anak daripada keluarga guru di Kampung Padang Sebang, berhampiran sempadan Melaka-Negeri Sembilan. Latar hidupnya yang berlatarbelakangkan sawah lumpur dan kerbau menjadi titik tolak kebangkitan kepercayaan diri, perjuangan, usaha, kerajinan dan ketekunan mengejar ilmu yang tidak kenal patah semangat. Masanya bukan sahaja ditambat di meja ilmu tetapi juga membantu ibu bapanya dalam urusan seharian. Perjalanan pendidikannya bermula dari Sekolah Melayu Padang Sebang, Sekolah Melayu Air Pak Abas, kemudian ke Kelas Khas Melayu Satu dan Dua sebelum ke Bandar Hilir English School dan Sekolah Tinggi Melaka. Kejayaan demi kejayaan diperolehinya sehinggalah pada 1950 beliau terpilih untuk mengikuti Tingkatan Enam di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan seterusnya menyambung pengajian ijazah di Universiti Malaya, Singapura. Minat Abdullah yang mendalam untuk berkhidmat dan menyumbang kepada negara dan bangsa mendorong beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah (Assistant District Officer – ADO) di Johor. Semangat ketekunan, kebolehan dan kejujurannya membawa manfaat kepada bangsanya apabila dipertanggungjawabkan sebagai Pendaftar pertama untuk menggerakkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1970. Beliau ibarat tiang seri tempat bersandar kepada permulaan sebuah universiti yang merealisasi dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu untuk memenuhi dasar pelajaran kebangsaan bagi sebuah negara merdeka. Jasa bakti dan sumbangan Abdullah mendapat pengiktirafan tertinggi dari UKM apabila beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Majlis Konvokesyen pada 1980. Berbekalkan semangat waja, daya kepimpinan yang tinggi, berwibawa dan bersungguh-sungguh dalam segala hal menjadikan perjalanan kerjaya Abdullah tidak terhenti di situ, malah beliau memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara, jawatan perkhidmatan awam tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang pegawai perkhidmatan awam. Pada 1978 Abdullah memperoleh satu lagi penghormatan apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn melantik beliau sebagai Pengerusi Eksekutif Petronas (Chief Executive Officer – CEO), satu jawatan tertinggi dalam badan korporat. Jasanya yang tidak ternilai kepada negara disanjung dan beliau dianugerahkan Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2003. Pengasuh Setia UKM ini telah kembali ke rahmatullah pada 22 Jun 2006. Kini kata-katanya “sesungguhnya saya anggap perkhidmatan saya di UKM adalah sumbangan saya yang sangat bermakna yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit” akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga Universiti.


080807