Sesi Perjumpaan Pengerusi Jawatankuasa Audit UKM (YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim) Bersama Staf Unit Audit Dalam UKM

Sesi perjumpaan Pengerusi Jawatankuasa Audit UKM (YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim) Bersama Staf Unit Audit Dalam UKM telah diadakan pada 11 April 2018 (Rabu) bertempat di Bilik Mesyuarat UAD. Perjumpaanini diadakan adalah bagi saling mengenali antara satu sama lain diantara kedua-dua pihak. UAD UKM amat bertuah kerana YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim telah sudi berkongsi pengalaman peribadi beliau dalam bidang pekerjaan dan semasa beliau menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).   Beliau juga bersedia menjawab semua persoalan yang diajukan oleh staf UAD UKM kepada beliau. Di samping itu, beliau turut mencadangkan pendekatan baru dalam proses pengauditan yang diharapkan mampu untuk meningkatkan lagi reputasi UAD UKM di peringkat pengurusan Universiti mahupun PTJ. Beliau juga menggalakkan staf UAD UKM untuk mendapatkan pensijilan profesional dalam bidang pengauditan seperti Certified Internal Auditor (CIA) bagi meningkatkan kompetensi dan membina laluan kerjaya di masa akan datang.

Selain itu, beliau berkesempatan mengadakan perbincangan bersama Ketua dan pegawai UAD UKM berkenaan kaedah perancangan audit berasaskan risiko yang dibangunkan oleh UAD UKM yang mana beliau berpuas hati dengan kaedah yang dilaksanakan. Beliau turut mencadangkan satu tajuk audit iaitu Audit Loji Kumbahan di UKM memandangkan beliau ada menerima aduan berkaitan perkara ini.

Di akhir perjumpaan, YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahimmemaklumkan yang beliau tidak keberatan untuk menerima panggilan atau mesej daripada pihak Unit Audit Dalam sekiranya ingin mendapatkan pandangan atau nasihat dalam bidang tugas. Beliau juga melahirkan hasrat untuk berkunjung sekali lagi ke UAD UKM sekiranya berkesempatan.

Bagi pihak UAD UKM pula, jutaan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato’ Dr. Lukman Bin Ibrahim di atas kesudian beliau berkunjung ke UAD UKM. Bagi menghargai kesudian beliau, dititipkan 2 rangkap pantun seperti berikut:

Indahnya kolam banyaknya ikan

Airnya jernih terbit ketenangan

Jutaan terima kasih UAD ucapkan

Budi Dato’ menjadi kenangan

 

Terbang selisih siburung kedidi

Terbang bersama di waktu pagi

Terima kasih daun keladi

di lain masa berjumpa lagi