Rumusan Audit 2022
LAPORAN RUMUSAN PENEMUAN-PENEMUAN AUDIT TAHUN 2022
Berdasarkan perbandingan graf penarafan yang diberikan kepada laporan audit yang dibentangkan di dalam MJA UKM dari tahun 2018 sehingga 2022 belum ada laporan audit yang mendapati penarafan cemerlang. Walaubagaimanapun, penarafan lemah telah tidak diberikan sejak 3 tahun lepas. Laporan yang mendapat penarafan kurang memuaskan juga telah menurun dari 9 laporan pada tahun 2019 dan 2020, 7 laporan pada 2021 dan menurun lagi kepada 4 sahaja laporan kurang memuaskan pada tahun 2020. Laporan yang mendapat penarafan baik juga meningkat daripada 3 pada tahun 2021 kepada 4 laporan baik pada tahun 2022. Ini memberi gambaran bahawa tahap kesedaran warga UKM terhadap keperluan untuk mematuhi dan memahami prosedur, peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan adalah sesuatu yang perlu dalam merencanakan perancangan dan pencapaian objektif yang telah ditetapkan.
Secara umumnya, penemuan audit yang berteraskan kepada kerangka kerja COSO dapat diringkaskan dengan menggunakan pendekatan Persekitaran, Sosial dan Governan (ESG). Pendekatan ESG ini digunakan bagi menjelaskan kepada pengurusan universiti dan pihak berkepentingan berkaitan kajian risiko yang dilakukan semasa pengauditan yang merujuk kepada kemampuan dan arah tuju universiti berdasarkan pelan strategik TERAS 2021-2025
Persekitaran – Dibawah Prakarsa kelestarian dalam usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada warga UKM, pelbagai usaha dan daya telah dilakukan terutama melibatkan PTJ yang mempunyai tanggungjawab yang berat dan besar secara langsung dalam penyediaan perkhidmatan kepada seluruh warga UKM seperti Jabatan Pengurusan Prasarana, Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari. Pengauditan berkaitan Pengurusan Janakuasa Tunggusedia Gen-Set, Pengurusan Bayaran Pembekal, Audit Kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran di FSK dan Audit Pengurusan DSC walaupun secara keseluruhannya memuaskan tetapi terdapat isu-isu berkaitan pemantauan yang efektif dan tindakan yang proaktif yang berkesan amat penting diterapkan di dalam jati diri warga kerja yang diberi tanggungjawab. Ini kerana hasil daripada pengauditan yang dijalankan mendapati impak dan kesan jangka panjang yang berlaku merugikan universiti seperti wabak kulat, sistem penyejukan yang tidak sekata serta penyelenggaraan peralatan dan bangunan tidak mengikut jadual yang sepatutnya.
Sosial – Di dalam kebitaraan prihatin dibawah Prakarsa kebajikan dinyatakan dengan jelas hasrat dan tujuan menjaga kebajikan staf UKM. Walaubagaimanapun, hasil audit di FSK mendapati belum ada perancangan khusus untuk menaik taraf kemudahan dan kebajikan warga di Kampus KL. Dengan saiz keluasan 20 hektar di kawasan metropolis Kuala Lumpur, UKM perlu bertindak segera dalam merancang sebagai pusat pendidikan atau pusat teknopolis yang berkonsep maya dan digital selaras dengan keperluan dan kehendak masyarakat kini. Dalam usaha untuk membangunkan nilai dan kompetensi warganya melalui peningkatan mutu dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan melalui pengurusan yang sistematik, hubungan sosial primer dan sekunder serta keperluan modal insan di dalam sesuatu PTJ ianya perlu dipantau dan diselaraskan. Laporan pelaksanaan dan keberhasilannya perlu dilaporkan supaya kesannya dapat dirasai dan dinikmati bukan sahaja warga UKM tetapi termasuk pihak yang berkepentingan. Pengauditan terhadap tuntutan Bil Rawatan Pesakit, Pengurusan Pusat Endoskopi, Pematuhan Peraturan- Peraturan Akademik dan Tadika Tunas menampakkan ciri-ciri yang dinyatakan.
Governan – Pengabungan Sistem Perkhidmatan Kualiti Perkhidmatan dan Sistem Perkhidmatan Kualiti Pengurusan Perkhidmatan Pra-Siswazah dan Siswazah kepada Sistem Perkhidmatan Kualiti Pengurusan Pengajian dan Perkhidmatan merupakan satu tindakan positif kearah memartabatkan penggunaan peraturan dan prosedur dikalangan warga universiti. Tahap pemahaman dan pelaksanaan peraturan-peraturan universiti adalah memuaskan. Walaubagaimanapun masih ada dikalangan warga di PTJ- PTJ tertentu yang tidak peka atau tidak mengetahui kewujudan sesuatu prosedur @ peraturan. PTJ yang menjalankan penguatkuasaan kepada pematuhan peraturan dan piawaian yang diikitiraf oleh universiti perlu dipergiatkan dan diaktifkan aktivitinya seperti ROSH-UKM, Jabatan Bendahari, Unit Integriti dan Ombudsman, PJK dan lain-lain. Ini dapat menyedarkan warga universiti tentang pematuhan itu dan akhirnya akan menjadi budaya kerja warga UKM. Penemuan di dalam pengauditan Dana Wakaf Ilmu UKM, Pengurusan Kompleks Asrama Teluk Intan dan Aset Penyelidikan melebihi RM 200,000.00 membuktikan perkara yang dinyatakan.
Kesimpulan – Sebagai universiti watan, Pengurusan Tertinggi UKM telah berjaya memastikan governan universiti sentiasa diutamakan. Tiada penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa yang ditemui dalam pengauditan yang dijalankan pada tahun 2022. Pemberian kenaikan pangkat secara KUPD sesuatu yang positif dan merupakan pemangkin kepada kakitangan untuk terus bekerja bersama-sama dengan pihak pengurusan universiti. Agenda utama universiti dalam kebolehpasaran graduan dan penjanaan pendapatan juga telah berjaya di fahami dan usaha-usaha kearah itu telah dilakukan oleh PTJ – PTJ yang terlibat. Namun, usaha-usaha itu perlu diselia dan dipantau supaya impak yang dihasilkan mencerminkan moto, falsafah, visi, misi dan nilai TERAS yang menjadi pegangan UKM dicapai.