Pada pagi itu ketika datang melapor diri saya berpakaian hari
raya yang baru saja disambut. Seluar panjang yang saya pakai merupakan seluar
panjang pertama dalam hidup saya dan yang ditempah mengikut potongan terkini
ketika itu dengan kaki kecil ala penyanyi pop yeh! yeh! Baju juga merupakan baju
pertama ditempah mengikut potongan yang terkini. Kasut yang dipakai pun kasut
jenis 'boot' dengan tapak tinggi tetapi bukan daripada kulit. Sudahlah datang
melapor diri tidak memakai pakaian seragam sekolah, berpakaian seperti penyanyi
pop yeh! yeh! pula dan baju pula dibiarkan keluar, sudah tentu cik gu Omar
(kemudiannya saya dapat tahu adalah warden asrama) terbeliak memandang saya.
Walau bagaimanapun dia tidak marah hanya menyuruh saya 'tuck in' baju saja.
Dalam benaknya, mungkin bertanya, 'budak ini datang dari kampung mana di hutan
Pahang'.
Saya ditempatkan di kelas 4 Sains 2 bersama murid-murid lain dari
negeri-negeri semenanjung, antaranya Mat bin Zakaria dari Trengganu, Jailani
Ahmad Khan dari Johor, Mahzan Bakar dari Perlis, Jamaluddin Shamsuddin, Izzuddin
Hamzah dan Zuber Ramli dari Pulau Pinang, Mizan Wahid, Aziz Dolah, Ishak Doh,
dan Mohd Aspollah. Pertama kali masuk ke kelas 4 Sains 2, saya merasa agak asing
kerana mereka yang lain telah datang beberapa hari lebih awal, tambahan pula
mereka mempunyai kawan dari sekolah lama. Dari SMART Kuantan saya seorang saja
dalam kelas itu. Kawan-kawan saya yang lain ditempatkan dalam kelas 4B. Mereka
itu ialah Wan Abdullah b. Wan Salleh, Hassan Ashaari b. Zainal Abidin dan
Hussein b. Long. Tentang keputusan SRP saya dapati mereka semuanya jauh lebih
cemerlang dengan 4 A hingga 6 A, Saya amatlah bimbang dan takut tidak boleh
menyaingi mereka kerana keputusan SRP saya adalah yang paling rendah dengan
hanya 3 A. Tambahan pula buku teks semuanya dalam Bahasa Inggeris dan saya lemah
Bahasa Inggeris. Di asrama pula saya di tempatkan di rumah C di bilik 4B1. Dalam
bilik itu, terdapat murid dari pelbagai tingkatan. Antara yang masih saya ingati
ialah, Masuri (tingkatan 6 atas), Karsono (tingkatan 6 bawah), Latiff Awang
(tingkatan 6 atas), Yahya Bakar (tingkatan 4), Ishak Doh (tingkatan 4), dan
Ismail (tingkatan 6 atas). Saya juga telah berjumpa dengan dua orang murid
senior dari Pahang, iaitu Ali Ahmad (tingkatan 6 atas) dan Abdullah Abdul Kadir
(tingkatan 5).
Pada suatu malam ketika kami masih baru, dua orang pelajar
tingkatan 5 (kemudiannya kami menjadi rakan mereka - Jidin dan Kamaruzaman)
masuk ke kelas kami, mempromosi keahlian Kelab Boxing Sekolah Alam Shah. Kami
semua diam saja ketakutan kerana mereka nampak bengis saja. Akhirnya mereka
keluar bila tiada seorang pun yang menyahut pelawaan mereka. Kemudian kami dapat
tahu, tiada Kelab Boxing di Sekolah Alam Shah. Apalah agaknya akan diperlakukan
jika ada yang mahu menjadi ahli Kelab berkenaan.
Kami dibenarkan pulang untuk bercuti penggal ketiga di akhir tahun pada 28 November 1967. Ketika itu keadaan di Pahang sentiasa hujan dan ada tempat-tempat mengalami banjir. Saya bersama Wan Abdullah mengambil teksi untuk ke Temerloh dengan bayaran RM5.50 seorang. Cadangannya untuk menyambung perjalanan dengan bas dari Temerloh ke Kuantan. Teksi kami naiki pada mulanya berjaya mengharungi air beberapa lintasan air tetapi akhirnya tersekat berhampiran dengan bandar Lanchang. Kami berdua meneruskan juga perjalanan dengan menaikki sampan yang disediakan oleh penduduk tempatan dengan bayaran seorang 50 sen. Antara dua lintasan banjir kami menumpang kereta penduduk tempatan dengan bayaran 50 sen juga. Selepas melepasi dua kawasan banjir, kami berdua sampai ke bandar Lanchang. Banjir di Lanchang lebih teruk, walau bagaimanapun kami masih cekal untuk meneruskan perjalanan. Ketika hendak membayar wang sampan untuk menyeberang banjir di Lanchang, kami dipelawa oleh seorang terhormat di bandar itu, namanya Engku Khadijah supaya singgah makan di rumah beliau. Selesai makan, kami bertemu pula dengan Cikgu Syed Ali, iaitu guru besar Sekolah Kebangsaan Lanchang. Cikgu Syed Ali mengenali Wan Abdullah kerana beliau pernah berkerja di Sungai Karang, Kuantan, kampung Wan Abdullah. Beliau melarang kami meneruskan perjalanan dan mempelawa kami bermalam di rumah beliau sehingga banjir surut. Keesokan harinya banjir di Lanchang surut tetapi kawasan di Mentakab pula mengalami banjir menyebabkan kami berdua terpaksa menangguhkan lagi perjalanan ke Kuantan. Semasa berada di Lanchang semua kami tidak mandi kerana pam air rosak kerana banjir. Air untuk minum Cikgu Ali ambil dari sekolah. Petang 29 November, kami berdua dan penduduk di Lanchang diberi suntikan demam thypoid. Wan Abdullah demam kerana suntikan berkenaan. Pada 30 November 1967, banjir mulai surut, dan kami berdua menyambung semula perjalanan dengan menumpang kereta penduduk tempatan ke Temerloh. Dari Temerloh kami ambil bas ke Kuantan dan tiba di Kuantan sebelah petang 30 November.
Dalam aktiviti sekolah, saya tidak terlibat dengan aktif
kecuali menjadi ahli biasa sahaja. Antara persatuan yang saya terlibat ialah
Persatuan St John Ambulance. Antara aktivitinya ialah memberi pertolongan ketika
berlaku kecemasan pada Hari Sukan Tahunan dan mengutip derma menerusi jualan
bendera di bandar Kuala Lumpur. Saya tidak terlibat aktif dengan sukan kerana
tidak pandai main semua permainan. Jadi saya malu dengan kawan-kawan yang
kebanyakannya pandai dalam permainan. Pernah saya bermain badminton dengan rakan
sebilik, Yahya Bakar. Saya dikalahkan dengan teruknya dalam tempoh yang amat
singkat. Ini menyebabkan saya langsung tidak terlibat dengan permainan. Walau
bagaimanapun saya amat berminat melihat permainan seperti bola keranjang, hoki,
sepak takraw dan bola sepak. Jika ada perlawanan antara pasukan sekolah dengan
sekolah luar, saya sentiasa berada di tepi gelanggang untuk memberi sokongan.
Satu-satu permainan yang saya agak baik ialah catur, yang saya hanya mula
belajar selepas peperiksaan SRP pada 1966. Hanya dalam beberapa bulan di Sekolah
Alam Shah, saya dapat mengalahkan ramai rakan-rakan dalam kelas. Walau
bagaimanapun saya masih tidak dapat menandingi pemain catur sekolah seperti
Nasiman Sapari.
Blok kelas tingkatan 4 dan tingkatan 5 - 1967 |
Menonton berbalas pantun dengan Sekolah Menengah Anderson, Ipoh - 1967 |