Menunggu keputusan SPM tambah meresahkan, apabila abang menyuruh memohon masuk ITM, kerana bimbangkan saya tidak dapat masuk ke Sekolah Alam Shah semula. Berita pertama didengar menerusi radio (di rumah tiada TV) tentang keputusan SPM ialah pada 12 Mac 1969 bahawa keputusan baru tiba dari London dan pada jangkaan diumumkan dalam jangkaan 1 minggu. Berita seterusnya menyatakan bagi mereka yang layak sahaja akan ditawarkan ke tingkatan 6. Yang selebihnya perlu mencari laluan sendiri sama ada mencari perkerjaan atau belajar di kolej-keloj swasta yang sangat terhad ketika itu. Bagi saya dengan pendapatan ayah yang kecil sudah tentu tidak mampu untuk ke kolej swasta. Jalan yang terbaik sama ada memohon masuk ITM atau mengikut jejak langkah abang-abang dan kakak mencari perkerjaan.
Pada 14 April 1969 saya menerima surat panggilan dari Sekolah Alam Shah untuk mengikuti kelas tingkatan 6 dan kembali semula ke sekolah pada 19 April 1969 (Sabtu) dengan menaiki bas ekpres. Saya ditempatkan ke kelas 6 Sains B2 dan guru-guru sains dan matematik datangnya dari Indonesia. Pak Yusuf Nasoetion mengajar Fizik, Pak Nohi Nasoetion mengajar Kimia dan Pak Ariffin Harahap mengajar Matematik. Apabila kami naik ke Tingkatan 6 Sains A2 guru-guru ini ditukar, guru Fizik-Pak Adja Radjeman , guru Kimia - Pak Hitler Natasawarna, guru Matematik masih tetap Pak Ariffin. Di tingkatan 6 ini, kami menerima dua orang rakan baru dari sekolah lain, iaitu Jaafar Sulong dan Zaini. Rakan-rakan lain dari Sekolah Alam Shah yang berada dalam kelas 6 Sains B2, antaranya ialah Mohd Embong, Mat Zakaria, Radzi Sudin, Wan Ali, Zuber Ramli, Durganaidu, Omar Taib, Mohamad Md.Tan, Jasin, Jalil, Ab Manan Jais, Sulaiman Md Nor, Aziz Hussain dan Hussein Long menjadi monitor kelas. Di asrama saya ditempatkan di bilik 1B1.
Ketika kami ditingkatan 6 bawah ini, berlaku peristiwa 13 Mei, yang mana kami pelajar di asrama turut merasa kesannya. Berita pertama tentang krisis 13 Mei dan dikenakan perentah berkurung 24 jam ialah pada 7:45 malam selepas sahaja selesai makan malam. Semua murid dikehendaki berada di asrama dan kelas persediaan malam dibatalkan. Kami juga melihat kebakaran besar dari arah stesen bas di Jalan Cheras. Apa yang terbakar tidaklah kami mengetahuinya. Kemudian kami semua diberi pesanan bahawa jika loceng keselamatan dibunyikan, semua murid perlu menutup semua tingkap dan turun ke lapangan antara asrama dan dewan makan. Mungkin pesanan itu merupakan langkah keselamatan menangkis serangan dari luar. Pesanan ini menambah keresahan kami. Pada hari siangnya, semua kami perlu ke kelas tetapi tiada guru yang datang mengajar kerana rasanya guru-guru pun dalam keadaan ketakutan.
Mata pelajaran yang dipelajari murid kelas 6 Sains B1 dan B2
ialah Matematik, Fizik, Kimia, Kertas Am Khas dan Biologi (di peringkat 'O').
Kami telah memohon untuk tidak mengambil Biologi sebaliknya ingin mengambil
matapelajaran Matematik Gunaan di peringkat prinsipal, tetapi permohonan kami
tidak dibenarkan oleh pengetua. Hanya kelas 6 Sains A1 dan A2 pada tahun
berikutnya dibenarkan mengambil dua mata pelajaran matematik. Pada satu
peristiwa dalam kelas Kimia tentang jadual berkala oleh Cikgu Noehi Nasoetion,
kami disoal seorang demi seorang tentang satu rumusan. Siapa yang menjawab salah
tidak boleh duduk. Jadi seorang demi kena berdiri kerana menjawab salah. Saya
pun tidak tahu juga rumus apa yang dimaksudkannya. Bila sampai giliran saya,
cikgu Noehi tidak bertanya saya tetapi bertanya murid selepas saya sehinggalah
habis satu kelas kena berdiri. Saya makin mengelabah kerana sudah tentu cikgu
sangat mengharap jawapan yang betul daripada saya seperti mana sebelum itu.
Apabila tiba giliran saya, saya masih juga tidak tahu jawapannya. Saya pun
bangun dan menyebut sesuatu tanpa berfikir pun - teka sahaja. Rupa-rupanya apa
yang saya sebut itulah jawapannya. Sampai sekarang tiada siapa dari rakan
sekelas yang tahu bahawa jawapan itu hanya tekaan saja.
Saya dilantik
menjadi pengawas, ketika saya di Tingkatan 6A2. Tugas saya kini bertambah
membantu warden mengawal murid-murid 24 jam sehari. Saya berpindah bilik ke
bilik B1 rumah C sebagai ketua bilik. Pada sebelah malam kena mengawas kelas
persediaan malam. Selain tugas ini saya turut menjadi ahli dalam komiti makanan
yang bertugas menentukan menu yang disediakan oleh kontraktor makanan seperti
yang disenaraikan. Saya juga terlibat dalam Kelab Catur sekolah dan hanya
menjadi pemain simpanan sahaja. Sepanjang menjadi pemain simpanan sekolah pada
1970, tidak pernah sekalipun saya berpeluang bermain untuk sekolah.
Pada
penggal ke 3 persekolahan 1970, saya dan rakan-rakan diberi peluang untuk
memohon biasiswa MARA untuk ke Australia. Saya telah memilih kursus kejuruteraan
elektronik kerana kecanggihan peralatan elektronik di pasaran ketika itu bukan
kerana benar-benar mengetahui bidang itu. Kami telah ditemu duga yang hasilnya
saya dan beberapa rakan dijanjikan melalui sekeping surat tawaran umum akan
dihantar ke Australia pada bulan Januari /Febuari 1971. Penantian tawaran
sebenar untuk ke Australia tidak pernah sampai tetapi tawaran yang sampai kepada
saya dan rakan-rakan amat mengecewakan. Iaitu tawaran biasiswa untuk belajar di
Fakulti Sain Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya juga menerima tawaran
dermasiswa daripada Kementerian Pendidikan. Oleh kerana tidak mahu menjadi guru
saya terus menolak tawaran berkenaan. Untuk tidak menerima tawaran biasiswa
terbuka MARA, sudah tentu merumitkan ayah dan ibu untuk menanggung saya ke
peringkat universiti. Dengan terpaksa saya menerima saja tawaran biasiswa
daripada MARA dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Fakulti Sains
UKM.