/** Disable File Editing - 26/10/2015 */ define('DISALLOW_FILE_EDIT', true); Jurnal e-Personalia Pelajar
Jurnal e-Personalia Pelajar Rotating Header Image

Panduan

PANDUAN KEPADA PENYUMBANG

 

SKOP

Jurnal Personalia Pelajar menekankan tentang perkembangan pelajar peringkat pendidikan tertiari. Jurnal ini menerima makalah berkaitan dengan pembinaan kompetensi generik, kemahiran insaniah pelajar, pentadbiran dan pengurusan profesionalisme perkembangan pelajar dan isu-isu berkaitan dengan pembelajaran dan masyarakat.

Jurnal ini juga menerima makalah berbentuk hasil penyelidikan dan penulisan kertas konsep berkaitan perkembangan personal dan profesioanal pelajar.

 

PROSEDUR PENYERAHAN MANUSKRIP

Jurnal Personalia Pelajar menerbitkan manuskrip yang ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Manuskrip yang diserahkan untuk diterbitkan dalam jurnal ini hendaklah merupakan karya asli yang belum pernah diterbitkan atau tidak dihantar untuk pertimbangan oleh mana-mana penerbitan lain.

Dua salinan manuskrip atau salinan soft copy, ditaip selang dua baris di atas kertas bersaiz A4, hendaklah diserahkan kepada Ketua Penyunting Jurnal Personalia Pelajar, Pusat Perkembangan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia atau dihantar melalui e-mail ke alamat personalia@ukm.my. Setiap manuskrip akan dinilai  oleh dua penilai. Manuskrip yang dihantar akan dipertimbangkan untuk penerbitan setelah sidang penyunting menerima laporan dari kedua-dua penilai.

Penulis yang manuskripnya telah diterima untuk penerbitan dikehendaki menghantar sesalinan manuskrip akhir yang telah disunting beserta dengan salinan soft copy. Satu nota ringkas biografi  nama penuh, jawatan, kelulusan akademik tertinggi dan institusi penulis perlu disertakan bersama-sama dengan manuskrip. Semasa manuskrip masih dalam pertimbangan Sidang Penyunting, penulis bertanggungjawab menghubungi Ketua Penyunting untuk memaklumkan tentang sebarang perubahan alamat.

 

FORMAT DAN GAYA

Tajuk  dan abstrak perlu ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sesuatu manuskrip. Tajuk perlulah ringkas, deskriptif, dan tidak melebihi 15 perkataan. Setiap manuskrip harus mempunyai abstrak  antara 150 hingga 250 perkataan  yang memerihalkan isi-isi utama. Pihak Penyunting akan memberikan bantuan kepada penulis  antarabangsa yang manuskripnya diterima untuk penerbitan bagi menterjemahkan abstrak ke dalam Bahasa Melayu. Abstrak harus diiringi dengan 5 kata kunci (dipisahkan dengan koma) berkaitan dengan kandungan manuskrip bagi tujuan sistem pengesanan komputer.

Semua ilustrasi termasuk jadual, rajah, carta dan graf, mesti dilabel. Semua ilustrasi ini harus dirujuk dan dinomborkan secara berturutan. Semua ilustrasi hendaklah sama ada dilukis dengan jelas menggunakan dakwat kekal, difotografkan dalam bentuk hitam putih atau warna dan dicetak di atas kertas yang bermutu, atau dalam bentuk imej digital, dan disediakan dalam bentuk camera-ready.

 

Format penulisan dan rujukan dalam teks hendaklah menggunakan sistem APA. Satu senarai rujukan yang disusun mengikut abjad hendaklah dimasukkan di bahagian akhir manuskrip. Kesemua rujukan yang dipetik dalam teks haruslah muncul dalam senarai rujukan. Penulis bertanggungjawab memastikan ketepatan dan kesempurnaan maklumat dalam senarai rujukan.

 

HAKCIPTA

Penulis bertanggungjawab memastikan manuskrip mereka tidak melanggar mana-mana hakcipta yang sedia ada. Penulis seharusnya mendapatkan keizinan untuk menerbitkan semula atau mengubahsuai bahan-bahan yang mempunyai hakcipta, dan menunjukkan bukti keizinan tersebut semasa menyerahkan naskhah akhir manuskrip.

 

PROSES PEWASITAN

Sesebuah manuskrip akan dinilai dan diwasitkan oleh dua pewasit. Keputusan tentang penerbitan sesebuah manuskrip didasarkan kepada laporan pewasit dan saranan Sidang Penyunting. Sesebuah manuskrip akan dinilai berasaskan kesesuaiannya dengan skop Jurnal Personalia Pelajar, sumbangan kepada disiplin ilmu, kejituan analisis, keluasan konsepsual, persembahan yang jelas dan kesempurnaan teknikal. Bagi memastikan sesebuah manuskrip dinilai berdasarkan merit, identiti penulis tidak didedahkan kepada pewasit.

 

NASKHAH SEMAKAN, OFF-PRINTS DAN ALAMAT

Satu set pruf akan dihantar kepada penulis bagi tujuan penyemakan kesilapan percetakan. Adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk memaklumkan sebarang pembetulan kepada Sidang Penyunting. Penulis akan dibekalkan dengan 10 off-prints manuskrip sebaik sahaja ia diterbitkan beserta dengan tiga naskhah jurnal yang mengandungi manuskrip berkenaan. Sila nyatakan alamat semua penulis utama manuskrip (termasuk nombor telefon, faks dan e-mail) bagi tujuan surat menyurat.